photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, January 5, 2009

Antara Dua Penamaan Calon

6 Januari - Hari ini penuh dengan lakaran sejarah. Semuanya berlaku secara serentak seakan kebetulan. Hari Asyura (10 Muharram), Penamaan Calon PRK Kuala Terengganu dan Penamaan Calon PRK KUIS.

Penamaan Calon di Kuala Terangganu pastinya panas dengan natijah yang sangat menguji kedua-dua belah pihak sama ada PAS (Pakatan Rakyat) dan UMNO (Barisan Nasional). Pertembungan dua parti naungan orang Melayu yang terbesar ini dengan masing-masing mempertaruhkan YB Senator Dato' Wan Ahmad Farid (UMNO) dan YB Abdul Wahid Endut (PAS) bagi mempertahan dan merebut kerusi P36.

Saya tinggalkan kisah Pilihanraya Kecil P36 kerana tidak bercadang untuk mengulas panjang. Biarlah orang politik yang bercakap soal itu.

KUIS masih menjadi bahan komentar eksklusif saya sehingga kini. Maka tak sah bagi saya jika ada perkara besar di kampus sana tanpa saya sentuh. Apalagi bila berkesempatan.

Hari ini para calon, pencadang dan penyokong akan berduyun ke JPM bagi menyerahkan borang penamaan calon PRK kepada pesuruhjaya SPR, En. Halim Mokhtar. Siapakah orangnya itu saya tidak pasti dan tidak tahu. Hanya beberapa nama sahaja yang dimaklumkan kepada saya.

PRK ke-11 ini sebenarnya sangat penting untuk masyarakat kampus. Ia menjadi indikator apalagi KUIS akan dinaiktaraf sebagai sebuah universiti penuh. MPMKUIS akan datang akan mencorakkan kampus dan warganya selama setahun kepimpinan mereka. Semestinya taraf universiti penuh nanti memerlukan mereka berkhidmat dengan lebih wibawa dan progresif sesuai dengan status universiti itu sendiri. Ini juga bermakna mereka mesti lebih dalam segenap tindakan daripada yang lepas-lepas.

Namun apa yang lebih utama sebelum kita memperkatakan perkara sejauh tindakan, adalah baik jika perhatikan pemilihannya terlebih dahulu.

Semestinya kita mahu yang diangkat itu benar-benar wibawa dan punya kemampuan. Di sinilah letaknya peranan masyarakat kampus untuk meneliti terlebih dahulu individu-individu yang ingin diangkat menjadi wakil mahasiswa.

Saya menanti penamaan calon dengan penuh debaran dan saya juga percaya mereka yang prihatin dengan kepemimpinan mahasiswa juga merasainya. Doa dan harapan dikirim bersama.

SPR pasti sudah bersedia dengan jerangkap samar dan muslihat. Mereka berjalan dan kita berlari.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Antara Dua Penamaan Calon"