photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, June 21, 2010

Terima Kasih Abah

Rezeki... Memancing ikan di bendang antara aktiviti di musim cuti.
"Janganlah kamu menyembah selain Allah, dan berbuat kebaikanlah kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat."

[Al-Baqarah 2:83]

Dalam banyak perkara yang jarang disebut-sebut ialah bapa. Kalau adapun sedikit cuma. Yang diingat-ingat, dikenang-kenang pastinya ibu. Lihat saja lagu-lagu yang didendang yang banyaknya ibu. Bapa? Adalah sikit-sikit.

Bila seorang anak kecil menangis yang disebut dahulu juga nama ibu. Payahlah kalau nak jumpa yang sebaliknya.

Jasa bapa yang juga disebut ayah, abah, abi, walid dan sewaktu dengannnya tak siapa boleh nafi. Sangat besar, sangat bermakna.

Saya cuba-cuba untuk mengimbas detik-detik kehidupan yang sangat bererti dengan kehadiran seorang bapa.

Abah. Itu panggilan kami adik-beradik.

Memiliki seorang bapa yang bertanggungjawab dan berhikmah dalam membesarkan seorang anak yang nakal seperti saya pasti sesuatu yang cukup istimewa.

Abah bukan orang kaya. Dia cuma kaya budi bahasa. Maka saya tidak dibesar dalam sebuah rumah yang besar apalagi mewah. Abah peneroka FELDA. Jadi rumah FELDA memang sekadarnya. Bilik pun cuma satu sahaja.

Demi membesarkan kami adik-beradik, Abah dan Mak menggagahkan diri berhijrah dari Selangor ke Pahang sebagai peneroka.

"Dulu rumah kita bukan di sini. Kita dapat kawasan yang berbatu-batu. Kebetulan Abah pusing-pusing jumpa satu rumah bersebelahan sungai yang bumbungnya rosak agak teruk. Jadi Abah minta dekat Pengurus FELDA untuk tukar rumah. Bumbungnya takpe Abah bela."

Abah menceritakan asal teratak yang kami berteduh sehingga kini. Dulu pun masa baru sampai lalang tinggi pinggang. Abahlah yang membersihkannya. Depan rumah yang agak berbukit Abah tarah sampai rata. Abah mahukan penempatan yang terbaik untuk keluarganya.

Kemudahan asas pun tak ada. Yelah, kawasan baru diteroka tiada apa yang nak diharapkan sangat untuk selesa. Semua cukup-cukup saja.

"Dulu kecik-kecik aku mandi kat sinilah. Orang kampung membasuh baju pun kat sini." Kak Long mengingati memori silamnya sambil tangan menunjuk ke arah sungai kecil di tepi rumah.

Dalam dunia ini watak bapa itu pelbagai. Ada yang garang, ada yang lemah-lembut, ada yang begis baran dan 1001 ragam lagi.

Saya berbapakan seorang yang tegas. Cuma tegas, bukan garang. Mungkin itu attitude seorang bekas tentera simpanan. Seingat saya masa kecil dulu Abah jarang bercakap. Bab-bab cakap semuanya emak yang take over.

"Engkau ni degil-degil nanti Mak yang kena bising" keluh Mak dengan telatah kami.

Mak kata Abah hanya bersuara soal anak dalam bilik, berbincang. Tapi kalau sudah melarat dan berat barulah Abah masuk campur.

Bulan Ramadhan bagi saya adalah satu bulan yang sangat istimewa dalam hubungan dengan Abah terutamanya kami 3 beradik yang akhir. Bagi mengurangkan rasa lapar puasa, dengan menaiki motorsikal Abah membawa kami bersiar-siar keliling kampung. Kadang-kadang masuk ladang, ada juga ke kandang lembu rakannya, dan ke mana sahaja yang Abah bawa. Sambil makan angin Abah dendangkan zikir dan kami menuruti. Adakalanya Abah bercerita dan kami tekun mendengar. Sebagai kanak-kanak yang berumur 7 tahun pastinya puasa satu yang memenatkan, lapar sudah tentu. Tapi cara Abah memujuk itu menyebabkan penuh sebulan berpuasa.

Disebabkan kami bukanlah dari golongan yang kaya, maka bukan mudah untuk kami mendapat hadiah berbentuk material daripada Abah. Pastinya hadiah dari Abah ketika di Darjah 2 menjadi sesuatu yang sangat bermakna. Mendapat tempat pertama di sekolah agama dan sekolah kebangsaan menyebabkan Abah hadiahnya sebuah basikal racing untuk saya. Tak sangka, tapi itulah kisahnya.

Masuk usia remaja dan Abah lebih banyak berbicara dengan kami adik-beradik. Bergurau, berbincang seperti seorang kawan yang menyantun kawannya. Ya, Abah betul-betul berkawan dengan kami anak-anaknya.

Abah masih di situ. Setia melayan karenah kami anak-anak. Teguran dan nasihat sentiasa di bibir. Abah tidak pernah tua buat anak-anaknya.

Selamat Hari Bapa, Abah. Terima kasih atas jasamu yang melangit tinggi, melaut luas...
read more...

Saturday, June 12, 2010

Satu Dunia Tahu.....Tapi


"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam Syura 'Adn. Itulah keberuntungan yang besar."

[As-Saff 61: 10-12]

Satu dunia sudah tahu tentang serangan tentera laut regim Israel ke atas frotilla kebebasan, Mavi Marmara yang di dalamnya terdiri daripada wakil 50 negara yang membawa bantuan kemanusia kepada penduduk Gaza. Satu dunia sudah tahu bahawa Gaza tak ubah seperti penjara terbesar di dunia yang dihuni 1.5 juta rakyatnya.

Satu dunia dimaklumkan kematian 9 orang aktivis yang terlibat akibat serangan itu. Satu dunia bangkit melaungkan kecaman dan kutukan atas sikap kebinatangan regim Israel. Satu dunia tau Amerika Syarikat yang mendabik dada mengaku sebagai pejuang dan penegak hak asasi manusia berdiam diri tanpa mengutuk apalagi berjuang di PBB untuk bertindak ke atas regim Israel.

Satu dunia tahu PBB sekadar menjadi tukang tonton kekejaman itu sebagaimana yang selalu dilakukan apabila ia berkait isu Palestin. Satu dunia juga tahu OIC yang dulunya diwujudkan atas isu Palestin turut menjadi tukang angguk tanpa apa-apa usaha walaupun sekecil kejian dan kutukan.

Satu dunia tahu Perdana Menteri Turkey Reccep Tayib Erdogan dengan lantang dan keras memberi amaran kepada regim Israel yang melampau dan mengada-mengada. Amaran perang Turkey jelas kedengaran.

Satu dunia tahu Equador memanggil pulang Duta Besarnya di Tel Aviv atas protes sikap kebinatangan regim Israel. Satu dunia juga tahu Nicaragua memutuskan hubungan diplomatiknya serta merta dengan negara haram itu.

Namun saudara-saudaraku, cukupkah sekadar satu dunia tahu? Saya tidak mahu merungkai isu yang memang sering kali dibicara tetapi saya mahu memulangkan kepada kalian untuk sejenak berfikir tentangnya.

Akan tiba saat besar itu dimana kita akan ditanya, siapa saudara kamu?

APA JAWABMU?
read more...