Pages

Sunday, March 18, 2012

Halal Haram: Kolagen Haram?


Hari ini jenama kosmetik dan penjagaan diri sangat banyak di pasaran. Bukan sedikit. Tengok sahaja di televisyen dan dada-dada akhbar. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Jenama kosmetik dan penjagaan diri kini sering mendedahkan ramuan yang dahulunya disimpan sebagai rahsia industri. Antaranya kolagen (collagen).

Kini, ramuan khas seperti kolagen, yang juga digunakan secara meluas dalam pelbagai barangan penjagaan kecantikan, bukan lagi sesuatu yang baru, terutamanya di kalangan mereka yang arif dan mementingkan kecantikan.

Kolagen merupakan ramuan yang lazimnya terkandung dalam kebanyakan produk awet muda. Kajian klinikal telah menunjukkan keberkesanan kolagen mengurangkan bilangan, kepadatan dan kejelasan kedutan, serta memastikan keanjalan dan kesegaran kulit.

Beli, dik. Produk ini mengandungi kolagen yang sangat baik untuk tubuh badan. Lebih-lebih lagi untuk kulit. Cerah, anjal dan awet muda”, sapa jurujual mempromosikan produk kosmetik dan kesihatan keluaran syarikatnya.

Ya, sentuh sahaja bab cerah, kulit anjal, mulus dan kekal muda, insan mana yang tidak mahu. Lagi-lagi perempuan. Nabi Adam a.s pun diperdaya oleh Iblis dengan pohon Khuldi (abadi) kononnya akan mengekalkannya di dalam Syurga tanpa perlu menjadi khalifah di Bumi.

Kolagen adalah sejenis protein. Serat semulajadi (alami) yang menyambung dan menyokong tisu-tisu badan lain, seperti kulit, tulang, tendon, otot, dan tulang rawan. Ia juga menyokong organ-organ dalaman, bahkan hadir dalam gigi. Terdapat lebih daripada 25 jenis kolagen yang secara semulajadi wujud di dalam tubuh. Kolagen membentuk kira-kira 25% hingga 35% kandungan protein seluruh badan.

Sesetengah saintis dan pakar perubatan merujuk kolagen sebagai gam yang memegang badan bersama-sama. Lebih kurang satu per tiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen, memberikan struktur kepada badan, melindungi dan menyokong tisu-tisu lembut serta menyambungkannya dengan tulang badan.

Turut berperanan sebagai kerangka tulang. Masalah osteoporosis dan kekejangan kaki adalah berpunca daripada kehilangan kolagen yang membentuk 80% daripada kepadatan tulang sedangkan kehilangan kalsium magnesium dan fosforus hanya 20%.

Penghasilan kolagen berkurangan dengan kadar 1.5% pada setiap tahun selepas usia 25 tahun. Kesan penurangannya mula dirasai lebih kurang 10 tahun kemudian. Selepas usia 45-50 tahun, badan kita akan kehilangan hampir separuh daripada kolagen yang ada. Jadi, semakin tua, semakin berkurangan kolagen dalam badan.

Oleh itu kolagen diambil sebagai makanan kesihatan untuk pelbagai penyakit seperti osteoarthritis (sakit sendi), arteriosclerosis selain untuk kegunaan kosmetik dan pelembab kulit.

Untuk mendapatkan kolagen pasti ada sumbernya bukan? Ada beberapa sumber antaranya daripada lembu (bovine), kambing dan biri-biri, khinzir (porcine), sumber laut (ikan, gamat) dan manusia (plasenta).

Bagi meneliti soal halal dan haramnya kolagen, seharusnya kita perlu balik kepada sumber asal kolagen itu sendiri. Sekiranya sumbernya dari babi, semestinya ia haram. Sekiranya dari sumber laut seperti ikan, tiada masalah bahkan harus.

Tetapi sekiranya ia daripada binatang seperti lembu, kambing dan seumpamanya, seperkara ia adalah binatang yang halal di sisi Islam. Tinggal lagi, adakah ianya disembelih menurut syarak atau bagaimana? Justeru, ianya bolehlah kita golongkan dalam kategori syubhah (tidak pasti, samar). Di dalam pensijilan halal, ia dinisbahkan sebagai ramuan kritikal.

Sabda Nabi s.a.w: "Yang halal itu jelas dan yang haram itu pun jelas,dan di antara kedua-kedua itu ada perkara-perkara yang syubhah (samar), maka barangsiapa yang telah menjauhi perkara syubhah tersebut bererti dia telah menjaga agamanya." [HR. Al-Bukhari].

Dalam ikhtiar untuk mencari sihat dan cantik, ambillah agama sebagai panduan. Selamat dunia, selamat akhirat.


| Ikuti penulisan saya di Kolum Halal Haram, Majalah Q&A

No comments:

Post a Comment