Suara nikmat Allah yang tiada tara |
[An-Nahl 16:81]
Telefon bimbit lama berbunyi tanda ada panggilan. Sama halnya dengan telefon di pejabat. Sememangnya banyak urusan penting yang memerlukan saya berkomunikasi. Namun saya membiarkan sahaja.
Bukan tidak mahu menyahutnya. Tapi apakan daya, nikmat saya ditarik oleh tuan empunya suara (Allah Maha Kurnia).
Seminggu saya hilang suara. Hanya sekadar mengangguk, menggeleng atau menulis di atas kertas sebagai cara berkomunikasi. Ada juga menggunakan bahasa isyarat yang saya kira boleh saya dan orang lain fahami.
Nikmat suara itu dibekukan sementara. Tapi saya ada juga terfikir jika ia ditarik selamanya.
Akhir kalam saya ialah ketika menyampaikan ceramah di PWTC bersempena Pesta Buku Antarabangsa KL. Tarikh 5 Mei itulah detik-detik akhir saya masih bersuara.
Saya terpaksa menyampaikan ceramah berkenaan Halal Haram Makanan dan Barang Gunaan dalam nada yang tinggi. Walaupun ada pembesar suara namun ia akan tenggelam dengan bingar suara pengunjung apalagi jerit pekik promoter di gerai masing-masing.
Sudahnya, saya kehilangan suara yang paling lama dalam sejarah hidup.
Ya, hilang suara seminggu memang satu cabaran. Bukan sikit-sikit. Maka fahamlah saya mereka yang dilahirkan bisu pasti menempuh kesukaran yang memerlukan ketabahan yang luar biasa.
Mungkin saja Allah membisukan kita agar kita tidak mengungkap kata yang sia-sia. Mungkin juga Allah membisukan kita agar kita tahu benar bagaimana hidup tanpa suara.
Sungguh bisu itu mendidik jiwa.
No comments:
Post a Comment