SMA AL-ATTAS...Tahun terakhir di sana. |
Perit sungguh membayarnya.
Entah mengapa mutakhir ini, hati disapa rindu bertalu-talu. Rindukan sahabat-sahabat seperjuangan dan peribadi-peribadi yang berjasa kepada saya.. Mereka yang memberi warna pada kanvas kehidupan saya. Mereka yang mencampak benih di ladang kematangan saya.
Sekejap terkenangkan kawan-kawan di bangku sekolah rendah. Sekejap teringat pada guru-guru yang mendidik dan bersabar dengan karenah saya yang nakal dan memeningkan. Sekejap mengelamun mengingat zaman di menara gading.
Ada tangis dalam tawa. Ada sendu dalam ria.
Semua dari kita telah membawa haluan masing-masing. Berkelana di bumi Allah mencari sesuap nasi dan membina penghidupan baru. Ada yang sudah berkahwin dan berkeluarga. Tak kurang juga yang masih bersendiri.
Dahulu di zaman kanak-kanak, hujung minggu saya sudah pasti bukan di rumah. Siang adalah masa untuk meneroka. Sungai tempat pilihan utama. Bermandi-manda bersama rakan-rakan sekampung. Berbasikal di bawah terik mentari demi mencari dingin di Sungai Mentiga. Jemin, Pami, Ee, Hero, Yuyi, Acho, Adi adalah antara yang selalu bersama. Bagai sebuah kontinjen sukan.
Ada masa terjah ke rimba mencari ayam hutan dan serindit. Kalau bernasib baik, anak kucing hutan juga boleh menjadi hasil. Tapi saya memang tak pernah setuah itu.
Mak sudah pasti orang yang paling bising kalau tahu saya ke sungai dan rimba. Iyalah, ibu mana yang tidak risaukan keselamatan anak-anaknya
"Mak, ikan kap dengan jelawat. Lampan pun ada! Tadi menjaring kat Sungai Tarzan", cepat-cepat saya menunjukkan ikan setimba bila mak mula bersyarah saat menanti di muka pintu.
"Pergi dengan siapa?", mak mula mengendur. Dia tahu anaknya yang nakal ini cuba mengelat namun hasil sungai itu memang tidak mungkin ditolak.
Tapi semua itu sudah lama berlalu. Lebih 15 tahun yang lalu.
"Pergi Air Terjun Tekala nak?", saya mengusul idea.
TANDA KENANGAN...Blue Valley, Port Dickson |
"Esok kita pergi Port Dickson jom!. Aku tak pernah hayat lagi pergi Port Dickson", Khairi membuka cadangan lain. Mungkin dia terbayang pantai dan laut. Iyalah, dia orang laut. Saya orang sungai.
Saya, Hafiz Yahya dan Muhaimin setuju. Berkenderaan Kancil kami melungsuri lebuh raya ke sana. Memenuhi hajat sahabat yang seorang itu.
"Tak bestlah. Aku ingat best Port Dickson ni. Kita balik mandi kat Air Terjun Telakalah!", Khairi mengomel.
"Pulak! Jauh-jauh datang ke mari", saya menebuk dahi. Beria-ria kita penuhi hajat dia, sampai-sampai dia nak patah balik. Sudahnya kami sekadar bergambar sahaja sebagai tanda kenangan kami di Port Dickson. Wal hasil balik asal! Air Terjun Tekala jawabnya.
MEMORI..Air Terjun Tekala |
Itulah kenangan. Sebuah memori mencari ruang untuk saya bersantai. Lari dari kekusutan dan mengah seorang penuntut ilmu.
Sebenarnya saya seperti tidak percaya masa berlalu dengan begitu pantas. Usia saya sudah melepasi suku abad. Sahabat-sahabat yang sentiasa bersama kini sudah tiada. Kita berpisah membawa haluan masing-masing sesuai dengan ketetapan rezeki Yang Maha Kuasa.
Perpisahan ini memang mendukakan. Tapi mahu tidak mahu, kita tetap memilihnya. Keadaan yang membuat kita begitu. Bukan apa, ia mengajar kita erti dewasa dan nilainya sebuah pertemuan.
GILA-GILA REMAJA...Bergambar sehari sebelum ke Maghribi |
No comments:
Post a Comment