Cadbury Malaysia |
Kemudian media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan perkhabaran tersebut dan JAKIM selaku badan yang bertanggungjawab terhadap pensijilan halal Malaysia menyusul kemudiannya.
Hasil daripada analisa yang dibocorkan dapatlah kita mengeluarkan beberapa noktah (point).
1. Keputusan analisa bertarikh 27 Februari 2014
2. Sampel: Coklat susu dengan kacang hazel – Cabbury Dairy Milk
3. Ulasan: DNA khinzir (porcine) dikesan
4. Tiada akreditasi SAMM
5. Keputusan analisa berdasarkan sampel yang diterima
Merujuk kenyataan JAKIM, audit halal terakhir dijalan di premis ialah pada 20 Februari 2014. Ini bermakna sampel ini diambil dan dianalisa seminggu selepasnya. Sampel di ambil di pasaran.
Analisa yang didedahkan |
Pembocoran Keputusan Analisa
Analisa ini dibocorkan melalui laman sosial dan menjadi viral. KKM hanya membuat kenyataan dan tindakan setelah 3 bulan berlalu. Berbeza dengan JAKIM yang mengadakan mesyuarat tergempar pada hari mereka menerima kenyataan rasmi daripada KKM. Saya tertanya-tanya apakah KKM memandang remeh isu halal haram yang jenis bukan sahaja umat Islam terkesan bahkan imej Malaysia yang bercita-cita menjadi Hab Halal Dunia turut dicemari.
Sepatutnya KKM terlebih dahulu bermesyuarat dengan JAKIM. Siapalah pegawai yang membocorkan maklumat yang tidak ranum, tak tentu sahih.
Makmal Tanpa SAMM
Rujuk Jabatan Standard Malaysia |
Perhatikan lagi. Tertera “Tiada akreditasi SAMM”. SAMM akronim bagi Skim Akreditasi Makmal Malaysia. Akreditasi ini dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI). “SAMM only accredits those facilities that meet all its criteria for testing competence and sound laboratory practice” supaya “The test was done in accordance with the stated specification, test or calibration method and correct test environment.”
Ini juga bermaksud mana-mana makmal yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan dari sudut peralatan, makmal dan kepakaran sememangnya tidak mendapat SAMM. Bahasa mudahnya, tidak layak.
Persoalan yang berlegar-legar di kepala saya ialah bagaimana etika kerja KKM bergantung kepada makmal yang tidak punya kompetensi? Bukankah nanti boleh dipertikaikan? Isu besar sebegini apalagi melibatkan kemaslahatan ummah pasti besar kesannya. Bukankah sepatutnya sepatutnya Ketua Pengarah Kesihatan KKM menunggu terlebih dahulu keputusan analisa daripada makmal yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia, MOSTI?
JAKIM menghantar sampal ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia. Ia merupakan makmal rasmi yang digunakan oleh Jakim/Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam pensijilan halal sebagaimana yang ditetapkan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia. Makmal Jabatan Kimia ini juga telah diwartakan sebagai makmal makanan yang kompeten dalam menjalankan analisa makanan selain mendapat akreditasi dari Jabatan Standard Malaysia di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM) berdasarkan Standard MS ISO/IEC 17025: 2005 bagi pengujian DNA termasuk bagi pengujian produk makanan terproses (highly processed food).
Sampel Cadbury
Kenyataan KP JAKIM; “Jakim telah menghantar sampel kedua-dua produk berkenaan dan produk-produk lain dalam aliran pemprosesan (processing line) yang sama di kilang tersebut ke Makmal Jabatan Kimia Malaysia untuk tujuan pengujian.”
Ini berbeza dengan KKM yang menganalisa sampel di pasaran. Bukankah ia boleh terdedah kepada sabotaj?
Jika kita berniaga, mana yang puas hati antara orang ambil sampel produk kita di tangan orang lain dengan ambil dari tangan kita sendiri?
JAKIM Culas Isu Halal Haram?
Ramai mengomel itu dan ini. “JAKIM tak buat kerja!”,” JAKIM kerja macam UMNO”, “KKM lebih bagus dari JAKIM”.
Saya tidak menyebelahi mana-mana. Saya bercakap tentang SOP dan praktis kerja.
Prosedur audit pensijilan halal mesti dilakukan sekurang-kurang dua (2) orang auditor; Pegawai Syariah dan Pegawai Teknikal. Pegawai Syariah daripada JAKIM atau JAIN manakala Pegawai Teknikal daripada KKM (melibatkan makanan, barang gunaan dan farmaseutikal) atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV, sekiranya berkaitan rumah sembelihan).
Jika JAKIM melakukan audit tanpa pegawai teknikal, maka audit itu tidak sah dan ditolak. Audit pensijilan halal bukan hanya mengambil kira aspek Syariah semata-mata bahkan teknikal sekali. Maka itulah, menjadi syarat untuk 2 pegawai (syariah dan teknikal) terlibat cakupi dua aspek tersebut.
Pelik benar jika KKM tidak tahu SOP ini. Apalagi ia melibatkan pegawai KKM sendiri. Untuk rekod, Ketua Auditor Halal di JAKIM sekarang ini pun ialah pegawai teknologi makanan KKM.
Isu DNA Babi
DNA babi boleh mencemari makanan melalui beberapa cara. Cuma nak dipasti kemasukannya secara sengaja (ramuan dan aditif itu sendiri) atau tidak.
Sepatutnya semua pihak perlu menunggu analisa daripada Makmal Jabatan Kimia Malaysia itu nanti.
Bagi memudahkan pemahaman umum, saya bagi dua situasi.
Pertama: Katakanlah anda ada besen dan besen itu pernah dicelup
anjing. Anda sucikan ia sebagaimana yang diajar Islam. Kemudian gunakan besen
itu sebagai bekas menguli tepung untuk buat mi kuning. Katakanlah juga sampel
mi kuning itu ada pelanggan hantar ke makmal dan dikesan DNA anjing (sudah
tentulah ada). Akhirnya anda dituduh mengkhianati kepercayaan pelanggan kerana
menjual mi kuning yang ada DNA anjing. Tidakkah jatuh terjelupuk kita
dibuatnya?
Kedua:
Duit dalam poket kita boleh jadi sebelum ini berada di tangan penyembelih atau
penjual daging babi. Seterusnya bertukar tangan, bertukar tangan sampailah kepada
kita. Kita pegang dan simpan dalam dompet. Kemudiannya kita uli tepung untuk
buat donat, kasui dan lain-lain. Kalau kita hantar ke makmal, sudah tentu DNA
babi dikesan kerana pencemaran silang telah berlaku tadi. Solat jadi tak sah?
Makanan kita jadi haram? Kena kumur air tanah? Kena cuci darah? Anak-anak kata
kita khianati mereka kerana hidang makanan ada DNA babi?
Kalau pada tangan, bakarlah tangan tu. Saya bukan bergurau ni. Saya bersungguh!
Ada
Qawaid Fiqhiyyah dalam isu ini.
Al-ashlu baqou ma kana ‘ala ma kana
(Hukum asal adalah ketetapan yang dimiliki sebelumnya)
Al-yaqinu la yazalu bi asy-syak
(Keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak)
Tulisan
saya ini boleh ditolak dan dibahaskan lagi. Faktor mengejar masa atas desakan
rakan-rakan mungkin ada aspek yang saya lupa dan tak sempat untuk sentuh.
Saya
tutupi tulisan ini dengan fatwa Negeri Selangor berhubung isu DNA babi
bertarikh 20 Disember 2012.
HUKUM
PENCEMARAN ASID DEOKSIRIBONUKLIEK (DNA) BABI PADA PRODUK MAKANAN YANG DISAHKAN
HALAL : PENELITIAN DARI ASPEK SAINS DALAM MENENTUKAN KAEDAH PENYELESAIANNYA
MENGIKUT ASPEK SYARAK
1.
Produk makanan atau minuman yang telah dikaji secara
terperinci dan semua ramuan, kandungan dan cara pemprosesannya telah disahkan
sebagai bersih, suci dan halal serta telah menjadi bahan makanan dan minuman
umat Islam secara meluas, tetapi kemudiannya didapati produk tersebut mengandungi
bahan-bahan najis seperti DNA babi akibat daripada pencemaran yang tidak
disengajakan atau tidak disedari, maka adalah harus bagi umat Islam
mengambilnya sebagai makanan atau minuman kerana kandungan asal produk tersebut
adalah halal.
2.
Bagi bahan-bahan peralatan pemprosesan yang telah
melalui proses samak seperti yang ditetapkan oleh syarak dengan pemantauan/penyeliaan
pihak berkuasa agama, tetapi masih lagi didapati mengandungi DNA babi, proses samak
tidak perlu diulang lagi.
3.
Keputusan ini adalah berdasarkan pensyariatan Islam
yang tidak mentaklifkan kepada manusia apa yang mereka tidak memperlakukannya atau
membebankan dan menyukarkan mereka. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. dalam
Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : Allah Taala menghendaki
kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.
Wallahu a'lam.
Alhamdulillah, rasa "kenyang" dgn ulasan ustaz , thank you!
ReplyDeleteAlhamdulillah...... TQ ustaz....
ReplyDeleteAlhamdulillah...... TQ ustaz....
ReplyDeleteTerima kasih.....Ustaz
ReplyDeleteMintak maaf. Untuk pengetahuan lab berkenaan berstatus ISO 17025 dan berakreditasi SAMM. Report tu kata. Kalau ade tanda (*) pada no siri di method baru boleh kata tiada SAMM. Tapi sekarang tiada tanda (*) di method. Boleh rujuk Makmal berkenaan. Jangan tuduh melulu kalau kita tak bekerja di makmal.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteSaya rasa mmg ada unsur sabotaj kepada industri halal negara dan pengalihan isu dengan menggunakan isu DNA Babi ni. Paling utama sekolahkan balik PPIM n ngo yang membuat isu ni jadi panic. I. Anyway tahniah ustaz atas pencerahan.
ReplyDeleteUntuk pencerahan Tuan Syamsul Kamar, maklumat tuan mengenai makmak tersebut diakreditasi mmg benar. TAPI akreditasinya adalah untuk produk haiwan n ikan. Bukannya produk makanan seperti coklat ni. Elok tuan semak semula.
ReplyDeletekebanyakan contoh yang di beri di atas adalah tak sengaja dan bukan dengan tujuan mencampurkan babi....tapi dalam kes coklat ni,DNA babi di masukkan secara sengaja,berkala dan tetap untuk semua keluaran.........adakah kita masih boleh pakai hukum al-balwa ni?
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
Deletesebelum tahu,selepas tahu dua keadan yg berbeza fikirlah sendiri......
ReplyDelete#isu yg ada jalan penelesain tapi dirumitkan hanya kerana emosi...
Sehingga kini Hab Halal Jakim tidak pernah ada makmal sendiri. Makmal yg digunakan adalah Makmal Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Makmal tersebut pula dikendalikan oleh pegawai makmal yg tiada kaitan dengan Hab Halal Jakim. Sehingga kini makmal tersebut je yg diakreditasi utk ujian dna ni. Makmal KKM yg mengeluarkan keputusan awal tidak diakreditasi utk ujian dna produk makanan seperti coklat, tp utk produk ikan n daging. Cadbury juga melantik eksekutif halal berbangsa melayu dan beragama islam bagi memastikan aspek halal tiada kompromi. Kenyataan memasukkan dna babi secara sengaja dan tetap merupakan fitnah yg nyata pada saya. Sekiranya tuan hasdi punya bukti kelakuan itu sila kemukan kepada pihak berautoriti. Macam mana nak masukkan dna babi secara sengaja, sedangkan dna babi bukan sesuatu yang boleh dipegang atau dirasa dalam bentuk fizikal. Jangan sampai jadi Fitnah. Padang masyar terlalu luas utk kita cari mangsa fitnah kita.
ReplyDeleteterima kasih atas pencerahan dan penjelasan terakhir ini........akhirnya saya faham sepenuhnya.........asas kepada masalah ini adalah fitnah.......sebelum ini takde siapa pun bagitau kat saya ini adalah fitnah......apabila kkm membuat pengumuman,diikuti pula tindakan dari jakim,disusuli pula penjelasan dari majlis fatwa,saya ingatkan ia adalah benar.......jadi ia fitnah semata-mata
ReplyDeleteKepada yg tidak tahu alhamdulilah ustaz memang halal.. tapi sekarang dah tahu..tapi mkn juga bagaimana ustaz.. biar pun sampel telah di ambil dan di buat analisis sekali lagi dan menunjukan tidak ada DNA demikian.. tapi bagaiman pulak kemudian hari.. di mana kita tshu perkara itu tidak mustahil berlaku lagi ??
ReplyDeleteBermakna dipasaran ada yg bercampur dna babi dan ada yg tidak la ye...
ReplyDeletenasib baik banyak lg makanan halal :)
ReplyDeleteAdakah berkemungkinan wujudnya cadbury tiruan?
ReplyDeleteAdakah berkemungkinan wujudnya cadbury tiruan?
ReplyDeleteFatwa Kebangsaan telah menetapkan produk yang berada dipasaran tergolong di dalam umum albalwa. Dimana keadaan produk tersebut tak boleh elak drpada berlakunya pencemaran. Sama konsepnya dengan najis cicak dekat surau n masjid. Adakah perlu kita memeriksa karpet tersebut hingga ke DNA baru setuju bahawa ia bersih dr najis? Islam mengajar hilangkan bau rasa dan warna maka bolehlah solat ditempat tersebut. Dalam isu cadburu di pasaran mapukah kita tahu sudah berapa orang memegang produk tersebut, dengan kenderaan apa ia dihantar atau bagaimana proses simpanannya sebelum ini. Maka dengan ini Islam memberi penyelesaian yang sangat indah dan praktikal kepada umatnya. Dengan kaedah umum al balwa ini bagi perkara diluar kemampuan kita dapat diselesaikan. Islam tu mudah dan Islam itu menyelamatkan.
ReplyDeleteTerima kasih Ustaz di atas penjelasan berkenaan isu ini.
ReplyDeleteSekiranya arab saudi sendiri manrik semula semua produk cadbury dr malaysia setelah dilakukan ujian DNA, dan mengeSAHkan ada DNA babi dlm tu. Perlukah kita abaikan?
ReplyDeleteterima kasih atas penerangan ustaz. Jadi kalau kita was-was kira lebih elok sekiranya tak makan kan ...
ReplyDelete