Wednesday, December 2, 2009

Syukur, Kebenaran Bersama Kita


"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya akan aku tambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu ingkar (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku amatlah berat" [Ibrahim 14:7]

Maka bersyukurlah kepada Allah kerana Dia telah menjadikan kita makhluk yang berspesis manusia. Justeru sebagai manusia kita dipikulkan oleh Allah dengan amanah dan tanggungjawab bagi memakmurkan bumi ini sesuai dengan apa yang diperintah oleh-Nya. Air, udara, besi, kayu, gunung, dan lain-lain manusialah yang Allah minta untuk urustadbirnya. Bukan jin, bukan juga malaikat apalagi iblis.

Allah Yang Maha Mencipta sudah menentukan peraturan dan kaedah bagaimana cara mentadbir alam ciptaan-Nya di dalam kalam-Nya, Al-Quran dan sunnah rasul-Nya, As-Sunnah.

Yang dikatakan bersyukur itu ialah apabila mengambil aturan dan undang-undang Allah sebagai panduan. Yang tidak bersyukur memandai-mandai mereka cipta peraturan dan undang-undang sendiri.

Kalau kita dijadikan makhluk kayu, ada juga gunanya. Dibuat bahan membina bangunan, penawar sebagai ubat-ubatan, diukir menjadi cantik, atau mungkin juga dibuat keranda dan dibakar. Maka itulah kita, bergerak tidak. Kemana pun tidak.

Kalau kita dijadikan binatang seperti babi tunggal, maka berkeliaranlah kita di semak dan hutan, menyondol-nyondol perdu pokok dan tanaman untuk mengisi perut yang lapar. Pada masa yang sama kita juga mungkin menjadi buruan singa dan harimau yang kita adalah rezekinya. Mungkin juga ditembak dan dijerat dek pemburu sebagai rezeki buat mereka yang tidak beriman.

Kalau kita dijadikan jin, maka itulah kita. Sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia. Tiada apa yang mampu kita lakukan kerana begitulah kita.

Kalau kita dijadikan sebagai malaikat pula. Tetap patuh dan setia pada setiap arahan Yang Kuasa. Tidak diberi-Nya makan, minum, bersenggama dan berkeluarga. Makan, minum, tidur, berfikir dan bernafsu itu sifat dan nikmat atas manusia.

Nyata wajar kita bersyukur kerana dijadikan makhluk bernama manusia. Bukan binatang, tumbuhan, jin, iblis atau malaikat. Kerana manusia itu kalau baik darjatnya lebih tinggi dari malaikat. Kalau jahat darjatnya hina mengalahkan binatang. Tak mustahil sedarjat iblis dan syaitan.

Untungnya kita sebagai manusia. Dijadikan Allah sebagai orang Islam dan orang beriman. Itulah sebesar-besar nikmat Allah kepada kita.

Bukan semua makhluk berspesies manusia dikurnia Allah nikmat Iman dan Islam. Antara sekian banyak manusia itu Allah berikan kebebasan memilih jadi Majusi, Yahudi, Nasrani dan atiesme.

Tetapi kita diberi Allah, Iman dan Islam. Sayugialah kita bersyukur. Tanda syukur itu ialah kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Jika itu dibuat, maka bersyukurlah namanya.

Kita bersyukur juga kerana Allah menjadikan kita orang Melayu kerana orang Melayu itu tinggi pekertinya, sopan santun tutur kata. Berbudi bahasa atau orang yang kaya dengan budi bahasa, bertimbang rasa, mudah menerima dan sangat bertolak ansur dengan masyarakat di sekelilingnya.

Maka sebagai orang Melayu juga, kita bersyukur kerana selama sekurang-kurangnya 6 kurun orang Melayu itu 100% Islam.

Kalau kita dijadikan orang Melayu sebelum enam kurun yang lalu seperti di zaman Sang Nila Utama membuka Temasik, tentu saja kita menyembah berhala. Kalau kita orang Melayu zaman Kedah Tua atau Pahang Tua, jangan-jangan kita sedang kekenyangan kerana baru menjamah daging biawak dan babi bersama tegukan arak dan tuak.

Rugilah kita kalau menjadi orang Melayu ketika itu sebagaimana yang dilalui oleh nenek moyang kita dulu. Mereka menjadi penyembah berhala dan memuja semangat alam yang pastinya itu bukan sifat orang bersyukur. Dicipta Allah tetapi tidak menyembah-Nya. Patutkah hamba berlaku begitu?

Kita sememangnya patut bersyukur kerana kita dilahirkan sebagai orang Melayu yang menerima Islam sebagai agamanya.

Zaman berganti zaman, Islam berkembang dengan pesatnya di Nusantara yang mana Melayu adalah penghuninya. Kita bersyukur kerana seluruh orang Melayu di alam Melayu menjadi Islam.

Namun adakah orang Melayu yang sudah menerima Islam itu benar-benar beriman? Tidak kata Allah, sehinggalah mereka diuji dahulu.

Maka sekitar beberapa ratusan tahun orang Melayu hidup sebagai orang Islam, diuji Allah dengan datangnya penjajah ke rantau ini. Sepanyol yang baru saja mengalahkan kerajaan Islam Cordova belayar ke timur dunia memburu orang Islam. Dilanggarnya Filipina dan menjarahnya.

Feringgi mendarat di Melaka dan menakluknya. Kemudian datang pula Belanda mengusir Feringgi dan berdiam pula ia di Melaka. Lepas itu datang pula Inggeris menghalau Belanda dan dijajahnya seluruh Tanah Melayu yang Melaka di dalamnya. Belanda takluk pula sebahagian besar alam Melayu yang dinama Indonesia.

Belanda, Portugis, Sepanyol, dan Inggeris entitinya berbeda. Namun kesannya sama. Diajak Melayu meninggalkan Tuhannya dan menyembah selain Dia. Masing-masing menindas orang Melayu Islam. Penindasan itu ujian. Ia benar-benar mengancam iman mereka.

Dulunya Filipina tidak disebut Filipina. Amanillah nama asalnya. Kini yang berbaki cuma Manila. Amanillah tiada.

Kita bersyukur kerana ujian dijajah beberapa kurun berjaya dihadapi oleh orang Melayu Tanah Melayu. Apabila penjajah terpaksa keluar dari Tanah Melayu, orang Melayu 100% Islam. Singapura terkeluar dari Tanah Melayu, orang Melayu di Singapura masih saja beragama Islam.

Sebelum merdeka Singapura yang dulunya Temasik, didatangi pendatang asing dan menjadi mereka rakyat di situ. Orang Islam tenggelam dalam kebanjiran pendatang yang kini berstatus rakyat. Selepas merdeka, ia sudah menjadi republik yang orang Melayu bukan lagi tuannya. Tetapi orang Melayu Singapura tetap jadi Islam.

Apabila Sepanyol keluar dari Amanillah. Nama itu sudah lama digugurkannya. Orang hanya mengira ia Filipina. Orang Filipina menanggalkan kemuliaan mereka dengan membuang Islam dari anutannya. Mereka sudah bertukar agama. Hanya sebahagian kecil di selatan negaranya yang mahu Islam sebagai pegangan hidup.

Indonesia juga ada ceritanya. Keluar Belanda, rakyat Indonesia tidak lagi 100% Islam. Di bawah satu bumbung bermacam agama adanya. Dirasa semua agama adalah sama. Bagaimanapun Islam masih majoriti di Indonesia.

Tetapi di Tanah Melayu, Inggeris keluar setelah sedekahkah merdeka kepada United Malayan National Organization yang juga anak didiknya. Tiada upaya ia menggugat Islam pada orang Melayu. Rekodnya masih 100% Islam.

Kehidupan semestinya satu ujian. Orang Melayu sekali lagi diuji oleh Tuhannya. Didatangkan pula nikmat kemerdekaan. Orang Melayu memerintah sendiri. Undang-undang dibuat sendiri. Perbendaharaan negara diurus sendiri. Pemimpin-pemimpin Melayu dipuji kiri kanan, depan belakang. Semua dibuat dikata baik. Tiada cacat, kalis cela.

Tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka dengan penuh ujian kesenangan itu, ramai orang Melayu mengambil dadah dan ganja. Yang teramai anak-anak orang Melayu yang Islam itu agamanya. Yang jadi mat rempit belia Melayu, yang melepak juga anak Melayu, yang rosak dan runtuh akhlak pun ramainya orang Melayu. Sekarang yang ditangkap di negara orang kerana membawa dadah juga beliawanis Melayu.

Semasa diuji dengan penjajahan, orang Melayu kental. Mungkin saja kebal. Tiada yang terfikir mahu keluar dari agamanya kerana kahwin dengan orang lain, bahkan orang lain pula yang menganut Islam. Sesudah diuji kesenangan, gadis Melayu mengikut jantan lain bukan lagi luar biasa. Ditukar agama juga jadi biasa. Kehidupan beragama dalam kalangan orang muda tidak lagi semacam dulu.

Pelajaran, ekonomi, agama, budaya, siasah orang Melayu bukanlah yang terbaik. Rasuah, bom orang, salah guna kuasa, penyelewengan, tidak berdisiplin adalah satu fenomena biasa yang jauh dari luar biasa.

Tidak pintar untuk meramal masa depan orang Melayu selepas merdeka. Dulu ada bangsa hebat namanya, Babylon. Sekarang bangsa itu tiada lagi. Dulu ada bangsa Kibti membina tamadun agung di Mesir. Kubur sahaja sudah cukup mengkagumkan. Piramid diberi nama. Bangsa itu lenyap. Dulu juga ada bangsa Tsamud. Soleh itu rasulnya. Dipahat gunung menjadi istana. Bangsa itu juga lenyap kerana sifat syukur tiada padanya.

Kalau Babylon yang membina Taman Tergantung itu bisa lenyap, Kibti yang membangunkan piramid dan bandar terancang juga lenyap, begitu juga Tsamud apa tidak mungkin bangsa Melayu juga daripada ada menjadi tiada.

Tetapi kalau orang Melayu bersyukur jadi orang Islam, orang beriman dan syukur itu tidak cuma di mulut, tetapi diamalkan seperti yang disaran oleh Penciptanya, Islam selamat, Melayu sejahtera.




Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

3 comments: on "Syukur, Kebenaran Bersama Kita"

Akmal Hakim said...

Salam..

Adakalanya saya berfikir bahawa tertindasnya melayu kita hari ini bererti akan terbawa penindasan bersama-sama Islam.

Ini bukan fakta.

Tetapi ini situasi kita hari ini.

Kita tidak dapat mengubawa 'wayar' yang telar diikat ketat ke minda kaum kita, mahupun kaum-kaum lain di seluruh Malaysia ini bahawa Melayu itu berasosiasi kuat dengan Islam.

Tak mengapalah jika Islam menjadi identiti.

Maka di situ kita perlu bersyukur kerana apa-apa sahaja masalah sosial dan sebagainya, kita masih terikat dengan identiti Islam itu.

Andaikan seorang anak melayu minum arak.

Maka tentu masyarakat Melayu lain yang prihatin akan mengaitkan hal ini dengan masalah kurang agama, bertentang dengan budaya, dan melawan arus. Mereka akan marah dan menganggap itu kes berat.

Sekali lagi kita bersyukur bahawa identiti Melayu kita adalah beridentitikan Islam. Setakat ini ia tidak tercabut.

Tetapi sanggupkah satu hari kita melihat bahawa budaya Melayu yang kita ada hari ini semakin pudar akhlak hingga menghilangkan identiti Islam itu?

Atau akhirnya akan wujud golongan Melayu yang ala-ala barat, berkembang hingga semua menganggapnya "standardlah, zaman dah maju"

Akh Razi,

Pada saya kita perlu perjelaskan minda umat kita bahawa kita perlu mengiklankan budaya Islam sebanyak-banyaknya. Kalau tidak, budaya barat yang sangat laju ini meresap pula ke kalangan anak-anak muda kita hari ini..

Tak gitu?

Entahlah.. sekadar pandangan~

(Akmal Hakim, senikehidupan)

arrazzi alhafiz said...

Sdr. Akmal Hakim

Saya setuju dengan pandangan anta itu. 100%.

Apa yang berlaku hari ini sememang ke arah itu, budaya kotor dan keji. Kita ditujah dari segenap segi dan ruang. Tutp sana, dia masuk ikut sini. Tutup sini dia lompat masuk ikut sana. Sungguh kita sedang berperang sampai kita tak punya kubu yang ampuh.

Mengembalikan rasa pelik masyarakat terutamanya generasi muda terhadap perkara-perkara yang bertentangan dengan norma hidup umat Islam adalah satu keperluan masa kini.

Dulunya orang akan rasa pelik dan jelik akan maksiat. Angkut anak dara orang ke sana sini dulu akan dipandang pelik dan jelik sebab masyarakat tak terima perkara itu. Berzina itu haram dan pantang nenek moyang kita jika anak keturunan dia berzina. Tapi kini ia macam makan kacang. Masyarakat jadi tak pelik dan jelik.

Justeru atas bahu kitalah untuk meneliti perkara ini seterusnya berdakwah agar biah solehah subur dalam masyarakat.

Akmal Hakim said...

Sama-samalah kita bermuhasabah dan menjauhi budaya masyarakat yang buruk..

Mungkin kemelayuan yang kita ada ini sebenarnya kita mempunyai kepakaran dalam meniru.

Jadi, kalau benar, kita menirulah mana yang baik, dan jauhkan segala yang buruk2.. :D