Monday, July 2, 2012

Dr Mursi: Harapan Baru Dunia Islam

Prof Ir. Dr. Muhammad Mursi
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." 

[Ali Imran 3:26]

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Bergema takbir di Medan Tahrir. Bergetar seluruh jiwa dalam laungan membesarkan Yang Maha Pencipta.Berhimpun seluruh anak merdeka bersujud pada-Nya atas kemenangan pejuang agama, Dr Muhammad Mursi.

Pilihanraya Presiden pasca revolusi menyaksikan sejarah indah tercipta. Ikhwanul Muslimin melalui parti yang ditubuhkannya Parti Keadilan dan Kebebasan mencapai kemenangan atas calonnya, Prof. Ir. Dr. Muhammad Mursi sebagai Presiden Republik Arab Mesir.

Mesir sekali lagi menjadi tumpuan dunia atas perkembangan yang berlaku. Antara keresahan Barat dan sekutu-sekutunya dengan kegembiraan gerakan Islam meraikan era baru kebangkitannya di Mesir.

Kegembiraan atas kemenangan Dr. Mursi tidak hanya menggembirakan rakyat Mesir. Bahkan ianya dikongsi dengan pencinta dan pejuang Islam di seluruh dunia.

Hakikatnya Dr. Mursi adalah harapan baru umat Islam. Kemenangan Dr. Mursi melonjakkan semangat di jiwa pejuang Islam mendaulatkan kalimah Allah di negara masing-masing.Sungguhpun kebangkitan Islam bermula di Tunisia dengan kemenangan Parti En-Nahda pimpinan Dr Rasyid Ghanoushi tetapi perkembangan di Mesir lebih berpengaruh. Mesir turut digelar Ketua Negara Arab. Maka setiap perkembangan yang besar di Mesir ia akan mempengaruhi Negara Teluk dan dunia amnya.

Latar belakang Dr. Mursi

RAI...Presiden Mesir yang baru
Dr. Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah.  Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana dan beragama, bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah. Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu ini. Difahamkan kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah al-Quran, malah beliau sendiri dan isterinya juga adalah hafiz/hafizah al-Quran.

Pengajian tinggi Dr. Mursi apabila beliau berpindah ke Kaherah dengan melanjutkan pendidikannya di Universiti Cairo dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperoleh Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Cairo) pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya memperoleh Sarjana Kedoktoran, memperolehnya pada tahun 1982 di Universiti Southern California.

Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.

Dr. Mursi adalah seorang pemimpin dan pendakwah yang ikhlas, tegas dan istiqamah atas jalan Islam. Seluruh kehidupannya diwaqafkan untuk perjuangan menentang kezaliman dan kebathilan yang bermaharajalela di Mesir di bawah pimpinan Presiden Husni Mubarak.

Berjuang memang menempah susah. Ada mahar yang perlu dibayar. 

Sikapnya yang terus menentang kemungkaran dan kezaliman pemerintah, menyebabkan Dr. Morsi berkali-kali ditangkap. Selepas Parlimen dibentuk dengan penuh penipuan pada Pilihan Raya 2005, Dr. Mursi menjadi pencatur dan perancang utama dalam siri-siri demonstrasi jalanan dan menyokong sistem kehakiman bebas. Natijahnya, pada tarikh 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwan di hadapan bangunan Mahkamah Kaherah dan bangunan Mahkamah Al-Jala di Kaherah. Dr. Mursi dihumban ke penjara selama 7 bulan.

SURATAN...Allah s.w.t Maha Merencana
Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwan yang lain, pada  Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab), 28 Januari 2011 supaya tidak terlibat dengan demonstrasi. Pemerintah Mesir bukan sahaja mensasarkan Dr. Mursi, bahkan keluarganya turut ditangkap, anaknya Dr. Ahmad Mursi ditangkap di saat Dr. Mursi mencalonkan diri pada Pilihan Raya tahun 2000.

Tarbiyyah dan Dakwah

Dr. Mursi adalah pemimpin Ikhwanul Muslimin. Gerakan Ikhwanul Muslimin diasaskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna bersama hanya beberapa orang yang lain pada tahun 1928 di Mesir, namun kini telah menjadi satu gerakan Islam paling berpengaruh di Mesir khasnya dan di dunia umumnya. Bahkan gerakan Islam di Malaysia turut dipengaruhi oleh Ikhwan. Lebih dari itu ramai pemimpin gerakan Islam di Malaysia yang mendapat didikan langsung dari Ikhwan. Antaranya Almarhum Ust. Dato' Fadzil Noor, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Almarhum Sheikh Tarbiyyah Tuan Guru Yahya Othman, Almarhum Ust Hasan Shukri, Almarhum Sheikh HALUAN Ust Dato' Dahlan Ahmad, dan ramai lagi.

Dr. Mursi adalah anak didik Ikhwan yang melalui proses tarbiyyah dan dakwah. Dr. Mursi berdiri atas manhaj tarbiyyah Islamiyyah. Benarlah manhaj tarbiyyah mampu menggarap ummah mencapai kemenangan atas kebatilan.

Tarbiyyah mencakupi keseluruhan aspek seperti menghubungkan silaturrahim, menahan marah, memaafkan saudara seaqidah, berlapang dada, ikhlas, benar, berani, tinggi himmah, tajarrud dengan fikrah, mengutamakan amal dan jihad, izzah diri di hadapan musuh dan sebagainya.
Hanya melalui wasilah tarbiyyah seperti katibah, rehlah, mukhayyam dan pengorbanan untuk perjuangan Islam akan menonjolkan kepimpinan sebenar yang sanggup itsar demi ummah dan berjaga malam demi cintakan Tuhannya.

Kisah menarik

"Siapa yang kamu akan pilih (calon presiden Mesir)?", tanya pemandu setelah seorang gadis menaiki teksinya.

"Muhammad Mursi!", ringkas jawapannya namun ada nada tegas bersama.

"Kenapa? Bukankah dia Ikhwan (Muslimin)...?", soal pemandu itu sepertinya memancing.

"Saya seorang Muslim dan nama saya juga Muhammad!", sambungnya lagi 

"Saya Kristian dan nama saya Maria!", balas gadis tersebut. Jawapan yang membuatkan pemandu itu kehairanan malah bingung.

"Bukankah Shaffiq akan membenarkan Bible dalam buku pelajaran dan menghapus ayat-ayat Al-Quran?”, tanya pemandu sambil teksi terus meluncur laju di atas jalan raya.

"Bagaimana mungkin saya akan memberikan suara saya kepada orang yang tidak menghormati agamanya? Ketika gereja saya diletupkan, Shaffiq ada bersama Mubarak, sementara Ikhwan ketika itu di penjara! Ketika syuhada’ berguguran, Shaffiq menjawat sebagai Perdana Menteri, sementara Ikhwan ada bersama para demonstran!", jawab gadis itu.

Hujah dan logik si gadis membuatkan pemandu teksi itu kelu tak terkata. Tidak sekadar itu, pemandu teksi terbabit turut sama bersetuju dan menyokong Dr. Mursi.

Sinar buat Palestin

Sisi lain yang perlu dilihat ialah masa depan Palestin yang bersempadan dengan Mesir akan lebih terjamin selepas ini. Gaza yang menjadi penjara terbesar di dunia pastinya sudah boleh menarik nafas lega.

Palestin riang raikan kemenangan Dr. Mursi
Israel menangis duka atas kemenangan Dr. Mursi
 Sempadan Rafah-Gaza pasti akan dibuka dan bantuan kemanusiaan serta aliran keluar masuk rakyat Palestin dipermudahkan dan dilayan seperti sebuah negara merdeka.

Sungguh ini adalah berita yang sangat menggembirakan rakyat Palestin.




Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Dr Mursi: Harapan Baru Dunia Islam"