photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, July 31, 2012

Halal Haram: Surimi, Plasma Darah

Beberapa tahun sebelum ini negara pernah digemparkan dengan hasil kajian oleh Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Ia adalah kajian berkenaan penggunaan plasma darah dalam beberapa sampel isi daging ikan (surimi) yang diambil daripada beberapa pasar raya di sekitar Putrajaya dan Nilai, Negeri Sembilan.

ENAK...Produk Surimi

Hasil kajian mendapati kehadiran plasma darah dalam produk makanan terutamanya produk surimi.

Plasma darah merupakan bahagian cecair yang tidak berwarna sebahagian daripada darah. Pada asasnya ia adalah larutan cecair yang mengandungi albumin, bahan pembekuan darah, immunoglobin (antibodi), hormon, protein dan garam.
Bagi lebih faham

Plasma boleh diasingkan daripada darah melalui kaedah pengemperan (centrifuged). Setelah diasing, ia dikeringkan sehingga berbentuk serbuk. Plasma ini boleh didapati daripada pelbagai sumber, darah daripada lembu atau babi adalah sumber yang paling meluas dan lazim.

Kelebihan yang ada pada plasma darah ialah ia mempunyai banyak kegunaan dan menjimatkan. Dua ciri ini sudah menarik untuk pihak industri menggunakannya dalam pemprosesan dan pembuatan produk mereka.

Plasma darah mempunyai kemampuan melarut dan pengemulsi yang baik, rendah likat, serta kemampuan membentuk gel-gel yang kuat, anjal serta dapat mengekal dan memperbaiki ciri-ciri tersebut yang pastinya sangat digemari pengguna. Bahkan ia juga boleh menambah tekstur pada daging dan ikan.

Walaupun terdapat kelebihan-kelebihan yang boleh diperolehi daripada plasma darah dalam meningkatkan kualiti makanan, penggunaannya sebagai salah satu ramuan boleh menimbulkan permasalahan kepada pengguna Muslim. Ini kerana darah adalah haram di sisi Islam. 

MENARIK...Siapa yang tidak terliur

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barangsiapa dalam keadaan (darurat) terpaksa (memakannya) sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tiada ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Begitu juga dalam surah Al-Maidah 5:3, Al-An’aam 6:145, An-Nahl 16:115.
Lazimnya plasma darah ini digunakan dalam produk surimi, iaitu produk makanan tiruan berasaskan ikan, sotong, udang, ketam. Contoh mudah, yong tau foo. Sajian Cina yang kini terkenal dan digemari oleh masyarakat Melayu.

Surimi dihasilkan daripada isi ikan yang dinyahtulang. Oleh kerana mutunya dari sudut tekstur yang rendah dan lemah, isi ikan tersebut tidak mampu untuk mengental dan menganjal. Bagi mengatasi masalah ini, pengeluar atau pengilang akan mencampurkannya dengan bahan pengental seperti serbuk protein plasma darah.

Begitu juga dengan produk daging seperti sosej ayam, daging burger dan seumpamanya.
Percampuran dan penggunaan plasma darah ke dalam surimi, atau makanan berasaskan surimi sukar dikesan oleh pengguna dan tidak akan memberikan perbezaan penampilan yang jelas. Untuk setakat ini, kesedaran telus daripada pengilang berkaitan penggunaan plasma protein, dapat memastikan pengguna Islam memilih surimi yang halal.

Walaubagaimanapun, tidak semua pengilang menggunakan plasma darah dalam proses membuat produk surimi. Sesetengahnya menggunakan putih telur dalam meningkatkan kualiti produk mereka.
Tetapi agak sukar bagi pengguna untuk membezakan hasil produk akhir yang mengandungi plasma darah atau putih telur.

Namun begitu, pengguna boleh tahu dan mencurigai sesuatu makanan atau minuman yang dibeli itu halal atau sebaliknya. Sebagai contoh, bentuk fizikal bebola ikan yang dilihat cantik, sempurna dan berkualiti pembuatannya seperti kenyal, sempurna lazimnya mengandungi plasma darah haiwan.

Oleh itu, pengguna seharusnya prihatin dan bijak apabila ingin membeli produk berasaskan produk isi daging di pasaran seperti bebola ikan, ketam, sosej atau daging burger kerana ia mungkin mengandungi bahan yang tidak halal. Kita perlu ada sifat ingin tahu dan sensitif mengenai perkara ini supaya terhindar daripada produk makanan yang syubhah dan haram.

Wallahu a’lam.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Halal Haram: Surimi, Plasma Darah"