Thursday, July 12, 2012

Secantik Berlian, Seteguh Karang


"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (begitu sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta" 

[Al-Ankabut 29:2-3]

"Kenapa ?" saya mula mengaju soalan. Sahabat saya itu seakan merunsingkan sesuatu.

"Hmm.. Tak tahulah". Dia menghela nafas sambil menceritakan satu persatu.

Ya, dia berdepan dengan ujian yang menyesahkan. Kesabarannya cuba diuji. Ketaqwaannya sedang diukur.

Kita pastinya merasa puas jika kehidupan seharian bebas dari halangan, sunyi dari masalah, dan sentiasa bergelak ketawa. Alangkah indahnya hidup. Betapa senangnya hati.

Tapi bila masalah datang menimpa, bila ada yang cuba menganggu. Memang kita mula ada terhimpit. Apalagi jika musibah yang datang itu bukan kita yang memulakan atau menyebabkannya. Tambah-tambah kusut dan runsing di kepala.

Saya pernah mengalami. Anda juga pastinya sama.

Itulah ujian, cubaan, dugaan, bebanan dan cabaran. Allah Taala sudah mematri dalam Kalam Suci-Nya, Al-Quran yang ujian itu pasti akan ditimpakan kepada umat manusia.

"Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar". [Al-Baqarah 2:155]

Tinggal lagi kita bagaimana menghadapinya. Redha dan usaha atau hampa dan putus asa?
BERNILAI...Ada proses yang perlu dilalui
"Orang kala jumpe berlian mane ade sebijik maca yang kita tengok hari tu. Cantik, bersino-sino. Die ade prosesnye. Kene dibersihkan. Kena dicanai lagi. Kala tak rasanye engka jumpe berlian dalam bentuk asal, engkapun tak terfikir yang itu berlian!", terang Ustaz Tolhah Abd Jabbar dalam pekat loghat Pekannya. Guru Bahasa Arab Tinggi saya semasa di bangku sekolah menengah.

"Kena canaikan sakit. Kite pun macam tu lah. Ujian memang sakit. Tapi mende tu lah yang mencantikkan kite seme. Tahu langek tinggi rendoh. Tahu mane hita, mane puteh. Tahu mane mala, mane siang!", sambung Ustaz Tolhah.

Semasa saya di sekolah menengah juga, saya ada menelaah novel Seteguh Karang. Sesiapa yang belajar di Pahang, Perak dan Terengganu akan belajar novel ini dalam Kesusasteraan Bahasa Melayu (silibus kesusasteraan berbeza mengikut zon). Novel yang menceritakan jatuh bangun seorang anak gadis dalam hidupnya. Dan batu karang adalah simbol penceritaan itu.

KENTAL...Seteguh karang di pukul ombak

Novel yang sangat bagus dan itulah novel pertama yang saya baca.

Perumpamaan batu karang di pantai. Setiap masa dipukul ombak. Ada masa pukulannya ganas dek cuaca dan musim. Lihat apa hasilnya.

CANTIK...Menggamit rasa
 Batu karang itu hidup dengan cantiknya. Ia mempesona setiap mata yang melihat, menggamit penyelam untuk menikmati keindahannya.

Bagaimana dengan batu karang di kuala? Berselut lumpur dan berbau. Setahu saya, tiada pengelam yang berenang di kuala untuk menikmati pemandangan batu karang di situ.

Di sana tiada ombak. Airnya tenang. Tapi karangnya?

Maka, bersyukurlah bila kita diuji. Sungguh kita ada Allah Taala yang sentiasa mendengar doa dan rintihan hamba-Nya. Andai ibubapa memukul anak kerana sayang. Sesungguhnya Allah menguji juga kerana kasih dan cinta-Nya kepada kita.

Agar kita seteguh karang...



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Secantik Berlian, Seteguh Karang"