photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Saturday, July 23, 2011

Halal Haram: Teliti Logo Halal


"Mak, jangan ambil yang ini. Logo halal takde"

"EMULSIFIER. Ramuan kritikal ni. Logo halal buat-buat. Tak boleh!"

"Ambil lain, ambil lain. Syubhah ni, mak."

Ayat-ayat inilah yang biasa keluar dari mulut saya ketika menemani emak membeli belah barang jualannya di pasar borong. Pendek kata, risiko untuk terbeli makanan yang sumbernya haram tidak mustahil bahkan sangat besar. Kalau emak ambil 5 produk, 3 yang saya akan letak semula adalah biasa.

"Macam mana nak tahu produk tu halal ke tidak, Chik?" soal ibu angkat saya saat menziarahinya di Shah Alam. Soalan yang ringkas tapi sarat dengan rasa ingin tahu yang mendalam. Saya percaya setiap pembaca juga berkongsi persoalan yang sama.

Baik. Ada beberapa aspek yang perlu diambil kira.

Label pada bungkusan makanan adalah sangat penting dan membantu. Pengilang tidak saja-saja melabel itu ini. Setiap yang tertera adalah terikat dengan undang-undang.

Jadi untuk memilih makanan yang halal pastinya yang pertama harus diteliti ialah logo halal. Undang-undang hanya mengiktiraf logo halal yang dikeluarkan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri. Selain dari itu, tidak diperakui dan sah.

Dalam banyak kes saya mendapati ada pengilang makanan yang meletakkan logo halal 'syok sendiri'.

Maksud saya begini. Bagi mendapatkan sijil halal daripada JAKIM, pemohon (pengilang) akan membuat permohonan. Setelah itu, pihak JAKIM akan menghantar 2 orang wakil bagi membuat audit halal dalaman. Mereka adalah pegawai syariah dan kesihatan samaada dari Kementerian Kesihatan Malaysia atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Mereka ini bertanggungjawab untuk meneliti dokumen berkaitan, premis, ramuan dan seumpamanya. Setelah itu, sijil akan dikeluarkan sekiranya pemohon memenuhi piawaian yang ditentukan. JAKIM akan membuat audit dari semasa ke semasa.

Formulanya mudah. Macam juga memandu, hanya yang mendapat lesen diakui di sisi undang-undang. Kenapa? Sebab mereka yang memiliki lesen sudah diuji dan teruji pemanduannya. Memang banyak juga kes pemandu yang tidak memiliki lesen memandu dengan baik dan selamat. Tetapi pihak berkuasa tetap hanya mengiktiraf yang ada lesen.

Bagaimana pula produk makanan yang tidak ada sijil halal? Adakah semuanya haram?

Kita sambung perbincangan ini pada penulisan akan datang. Masih banyak yang perlu kita ketahui dan fahami.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Halal Haram: Teliti Logo Halal"