“Sesungguhnya Allah Ta’ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta’ala berfirman: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh). Dan Allah Ta’ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu) . Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”
[HR Imam Muslim]
[HR Imam Muslim]
“Majoriti kopitiam tiada sijil halal diiktiraf”
“Restoran mamak kelirukan pengguna Muslim”
“Status halal Bufet Ramadhan hotel meragukan”
Penyataan di atas adalah 3 dari sekian banyak berita di dada akhbar mahupun kaca televisyen. Ia menceritakan hal sebenarnya yang berlaku di sekeliling kita berkaitan isu halal.
Apakah kriteria atau penanda aras yang anda gunakan ketika makan di luar? Adakah kerana pekerjanya memakai kopiah, berwajah Melayu, kebersihan premis, kecekapan servis, hiasan ayat-ayat Al-Quran atau persembahan makanan yang menarik?
Tahukah anda tiada semua yang disebut di atas, tiada satupun yang menjamin status kehalalan makanan yang dijual di premis seumpama itu.
Media pernah melakukan tinjauan mendapat 30 pengusaha restoran bukan Islam (konsep restoran mamak) di Lembah Kelang mempamerkan ayat-ayat suci Al-Quran di premis masing-masing bagi menarik masyarakat Islam mengunjunginya. Antara yang biasa dipamer termasuklah kalimah Allah dan Muhammad, ayat Kursi dan Seribu Dinar dan Surah Al-Fatihah. Turut sama digantung dalam premis berkenaan ialah gambar Kaabah, Masjid Al-Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al-Aqsa.
Berdasarkan pemerhatian saya ke atas restoran masakan Jepun (Sushi) pula, mendapati kebanyakkan pelanggannya selain daripada orang Cina adalah dari kalangan orang Melayu. Ada beberapa restoran yang mempamerkan tanda halal atau ditanggung halal bagi menarik pelanggan.
Rata-rata pelanggan Muslim merasakan hidangan Jepun seperti sushi adalah halal kerana ia diambil dari sumber laut seperti ikan, udang dan sotong. Seperkara ianya betul. Tetapi tahukah anda sushi dimasak dengan menggunakan sake (arak dari pemeraman beras) yang haram di sisi Islam. Halal bukan boleh 50-50.
Sama juga halnya dengan hotel dan resort. Perhatikan sahaja di bulan Ramadan. Penuh dan melimpah ruah hotel dikerumuni umat Islam untuk berbuka puasa. Pantang promosi Bufet Ramadan (istilah yang sangat mengelirukan dan terselit elemen pembaziran), berbondong masyarakat kita bertandang. Walhal yang diperakui kehalalannya hanyalah terlalu sedikit berbanding ribuan hotel dan resort di Malaysia ini.
Lebih membimbangkan ialah kebanyakkan program, mesyuarat dan seminar sama ada dari agensi kerajaan mahupun swasta, kebanyakkannya dibuat di hotel dan resort. Ini kerana hotel adalah simbul budaya korporat dan kelas elit.
Kenapa pilihan tertumpu kepada kategori tersebut?
Sering kita mendengar keluhan bahawa restoran Melayu Islam memberikan perkhidmatan yang mengecewakan terutamanya dari sudut kecekapan. Jauh berbeza kadar menunggu pesanan yang diminta antara restoran mamak dengan restoran Melayu. Ini fakta. Tidaklah semua, tapi kebanyakannya memang begitu.
Hari ini masyarakat tertumpu dan lebih berminat untuk menjamah makanan di restoran-restoran yang lebih moden. Berhawa dingin, premis yang kemas lagi bersih, pakaian pekerja yang seragam dan mutu servis yang cekap. Pelanggan sanggup mengeluarkan belanja yang lebih sedikit asalkan semua kriteria itu dimiliki. Atas sebab itu jugalah, kopitiam tumbuh bagai cendawan selepas hujan.
Sayangnya, kita terlupa atau mungkin saja tiada perasaan apa-apa terhadap aspek yang sangat asas dan penting, halal atau tidak.
Bagi mengelakkan kita menjamah hidangan yang haram mahupun syubhah ketika makan di luar, beberapa perkara perlu diberi perhatian. Ini adalah sebagai panduan umum untuk kita memilih premis makanan:
1. Periksa status halal – Periksalah dahulu status halal sesebuah premis terutamanya restoran mamak, kopitiam, restoran makanan segera, kedai kek dan roti, restoran makanan Jepun dan hotel. Di zaman langit terbuka ini, segalanya lebih mudah. Layari lawan sesawang Bahagian Hab Halal JAKIM, www.halal.gov.my. Ini bagi mengelak anda ditipu oleh pengusaha yang menyeleweng dan memalsukan sijil halal.
2. Logo Halal – Pilihlah premis yang memilik dan mempamerkan logo dan sijil halal yang diiktiraf (JAKIM, JAIN). Perhatikan logo, sijil dan tarikh sahlaku. Sekiranya sijil tidak dipamer, sila bertanya dan mintak ditunjukkan sijil halal berkenaan. Jangan ragu untuk meninggalkan premis premis sekiranya mereka gagal memenuhi permintaan anda.
3. Ringan mulut – Adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk anda ringankan mulut bersoal jawab dengan pengusaha, pekerja dan pengendali makanan di premis berkenaan. Anda boleh bertanya sama ada mereka Muslim atau tidak. Sekiranya Muslim, anda juga ada hak meminta mereka bersyahadah atau membaca Al-Fatihah. Sekiranya mereka enggan atau gagal, adalah menjadi hak anda untuk meninggalkan premis. Ingat, masih banyak restoran yang berstatus halal.
4. Berprasangka – Keadaan hari ini memerlukan kita dua kali lebih berhati-hati. Maka berprasangka adalah salah satu tuntutan. Lihat bagaimana para ulama sangat menjaga warak dan thiqah mereka dengan tidak melazimi makan di luar. Ini adalah untuk mengelak dari menjamah perkara yang syubhah apalagi haram. Justeru, adalah lebih baik kita menyediakan sendiri juadah di rumah. Jimat dan selamat. Ataupun hanya memilih restoran yang kita yakini ia adalah pengusaha Muslim dan pekerjanya 100% Muslim. Insya-Allah, rasanya itu adalah langkah yang lebih tepat dan berkat.
No comments:
Post a Comment