Cabaran kita dalam bab halal hari ini bukan sedikit. Justeru, memerlukan ketahanan dan kesabaran yang tinggi. Hakikatnya di sisi Islam, adalah lebih baik berkadar dengan yang halal daripada berkenyang-kenyang dengan yang haram.
“Habis itu tak boleh makan, ini tak boleh guna. Apa yang bolehnya, ustaz?”, tanya seorang pelajar ketika kuliah saya di UKM seakan berputus asa kerana banyak kehendaknya sama ada makanan atau barang gunaan bermasalah dari aspek kehalalannya.
“Yang halal”, saya menjawab ringkas.
“Ustaz, produk kosmetik yang berkualiti dan berkesan susah sangat nak dapat yang ada sijil halal. Yang adapun kualiti tak setanding dengan jenama-jenama yang hasilnya hebat dan berkesan”, keluh seorang gadis di dinding Facebook saya.
“Nak cantik pada pandangan manusia atau pada pandangan Allah dan Rasul-Nya?”, saya memulangkan soalan yang mungkin sahaja jawapan.
Sabda Nabi s.a.w, “Mencari yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam”. [HR Al-Dailami].
Penegasan baginda jelas, tinggal lagi kita bagaimana. Tambah kompleks teknologi sains makanan dan kosmetik semakin hari semakin canggih dan pelbagai.
Saya cuba senaraikan beberapa noktah untuk perhatian anda:
1. Bulu dan kulit khinzir – Kebanyakan berus sama ada untuk mengecat rumah, lukisan dan kegunaan kosmetik dari China diperbuat daripada bulu khinzir kerana ianya murah dan mudah didapati. Kulit khinzir juga digunakan untuk membuat kasut atau pelapik kasut bahagian dalam. Juga untuk membuat jaket, beg sandang dan dompet.
2. Plasma darah – Darah diambil dari rumah-rumah sembelihan dan diemper (centrifuged). Kemudian dikeringkan dan digunakan sebagai sumber protein. Antaranya surimi, produk berasaskan ikan.
3. Tulang – Pernah berlaku kes Bone China. Menggunakan tulang-tulang haiwan untuk dibuat barangan pinggan mangkuk. Tak terkecuali penapis air.
4. Gelatin – Protein yang diambik daripada sumber haiwan (lembu dan khinzir). Digunakan secara meluas dalam pembuatan aiskrim, pencuci mulut, agar-agar, marsmellow dan seumpamanya.
5. L-cystein – Asid amino berbentuk serbuk yang bersumberkan rambut dan bulu manusia. Ada industri yang menggunakannya sebagai ramuan tambahan.
Saya hanya membawa 5 perkara di atas sebagai contoh dari sekian banyak lagi keadaan dan produk. Kadang-kadang tak terfikir dek akal kita masyarakat awam ini. Zaman kapitalis menyebabkan seboleh-bolehnya semua sisa tidak disia-siakan. Memaksimumkan keuntungan, meminimumkan modal. Implikasinya sangat besar dan menyeluruh kepada kehidupan seharian kita.
Bermula dari makanan, minuman, kosmetik, pakaian dan barang penjagaan diri, kesemuanya jika tidak berwaspada akan membawa kita ke lembah haram dan syubhah.
Pada saya, jalan selamatnya ialah memindahkan taklifan tersebut kepada pihak berkuasa dengan membeli makanan dan menggunakan produk yang mendapat pensijilan halal adalah langkah bijaksana. Selain kita mengalihkan kebergantungan kita terhadap produk keluaran pengusaha bukan Islam. Ini bukan sahaja lebih meyakinkan bahkan memperkukuh ekonomi umat Islam.
Saya utarakan 5 langkah mudah bagi memeriksa produk yang ingin dibeli sama ada makanan, minuman, kosmetik atau barang penjagaan diri.
1. Kenal pasti – Teliti dahulu logo halal pada label produk tersebut. Jika logo halal tidak dapat dikenal pasti, teruskan langkah-langkah yang berikut.
2. Teliti ramuan – Baca dan perhati ramuan yang tersenarai pada label produk. Cuba kenal pasti statusnya. Boleh rujuk pada Kolum Halal Haram Majalah Q&A Bil.2. Tanpa ilmu mengenai ramuan kritikal, anda pasti sukar menentukannya.
3. Haram – Sekiranya mendapati produk berkenaan ada ramuan haram, maka produk tersebut wajib dihindar.
4. Halal – Jika semua ramuan yang digunakan adalah halal, semestinya bukan ramuan kritikal dan haram, maka produk berkenaan tersebut boleh digunakan.
5. Syubhah – Jika terdapat perkara yang syubhah dan mengelirukan ataupun ramuan kritikal, maka produk tersebut sewajarnya dielakkan kerana itu adalah lebih baik.
Allah s.w.t berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api Neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu” [At-Tahrim : 6)].
Justeru, dengan menjaga halal haram dalam kehidupan kita, itulah tuntutan sebenar Islam bagi menjamin keselamatan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya halal adalah pilihan bijaksana!
No comments:
Post a Comment