“Sebarkan salam, sambungkan tali silaturrahim, bersolatlah di malam hari di saat manusia terlelap tidur, nescaya kamu akan masuk surga dengan selamat.”
[HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Majah]
Persaudaraan adalah kekayaan sebenar |
"Mak, macam mana nak hala ke rumah Nenek Abah?", saya bertanya mak di hujung talian.
Saya asing dengan kawasan itu. Tersangat asing. Seingat saya kali terakhir saya datang ialah di waktu umur saya baru sahaja 6 tahun. Saya masih di PASTI.
Akhirnya saya menemui rumah yang saya cari-cari. Namun rumah itu tidak berpenghuni. Jirannya khabarkan yang Nenek Abah dan Nenek Achik (bapa dan ibu saudara mak) tak berapa sihat. Mereka berdua berdiam di rumah cucunya.
Mak saya berketurunan Banjar. Budaya orang Banjar mereka memanggil datuk dengan panggilan nenek. Maknanya lelaki atau perempuan, kedua-duanya dipanggil nenek. Cuma di sana ada tambahan. Nenek Abah, Nenek Ayah, Nenek Mak dan seumpamanya.
Kampung yang saya pergi itu adalah kampung mak. Di situlah tempat lahir dan membesarnya mak. Kampung Parit Mati, Selekoh. Itulah namanya. Terletak di Bagan Datoh, Perak Darul Ridzuan.
"Tak sangka setelah 20 tahun baru saya menjejakkan kaki semula", detik saya di dalam hati.
Rumah arwah Nenek Mak hanya tinggal dapurnya sahaja. Yang lain sudah dirobohkan. Rumah Nenek Abah masih lagi seperti dahulu. Kalau berubah pun mungkin pada tandasnya sahaja.
Dahulu ada perigi di bawah rumah itu. Masih terasa dingin dan nyaman airnya. Tapi itu tinggal kenangan.
Saya memerhati di sekeliling rumah Nenek Abah fikiran cuba mengimbau-imbau kenangan zaman kecil. Ya, zaman yang penuh riang dan tiada taklifan.
Tiba-tiba fikiran ini terkenang-kenang arwah Nenek Mak. Arwah telah pergi meninggalkan kami semua pada 2006. Saya sendiri tidak dapat menghadiri pengkebumiannya kerana menduduki peperiksaan semester.
Kami sekeluarga sangat jarang balik ke kampung. Sebelah jari tangan pun tak cukup lagi. Almaklumlah jarak yang memisahkan. Kami di Pekan Pahang. Kampung mak dan abah di Perak dan Selangor. Dengan tak punya kereta, pasti itu kekangan paling besar.
Tambahan pula adik beradik mak kebanyakannya menetap di Chini dan Nenek Mak semasa separuh dari hayatnya duduk bergilir di rumah anak-anak di Chini. Pak Lang, Pak Ngah, Mak Su peneroka FELDA Chini. Mak Anjang dan Pak Uda di Selancar. 100km sahaja jaraknya. Maka Chini itulah kampungnya.
Yang agak jauh Mak Long dan Pak Ulik di Sungai Tengi dan Damansara.
Sebenarnya kedatangan saya ke rumah Nenek Abah adalah untuk menguatkan silaturrahim dan persaudaraan kami yang selama ini dipisah oleh jarak.
"Nanti cari saudara-saudara. Kena kenal semua. Dulu kita susah. Nak balik kampung payah sekali", pesan mak dengan abah buat kami adik-beradik.
Petang itu saya pulang dengan azam agar keluarga besar kami akan diperteguhkan silaturrahim. Yang jauh didekatkan, yang dekat diserasikan.
***
Nenek Mak - Ibu kandung mak
Nenek Ayah - Bapa kandung mak
Nenek Abah - Bapa saudara mak
Nenek Achik - Ibu saudara mak, isteri Nenek Abah
***
Nenek Mak - Ibu kandung mak
Nenek Ayah - Bapa kandung mak
Nenek Abah - Bapa saudara mak
Nenek Achik - Ibu saudara mak, isteri Nenek Abah
No comments:
Post a Comment