Pages

Tuesday, June 19, 2012

Serambi Mekah, Al-Muntazhar

Sultan Muhammad V dikagumi kerana ketakwaan dan sifat rendah dirinya
Hari ini sudah betul-betul kita berada di penghujung Rejab. Maknanya esok kita sudah melangkah ke Syaaban.

Rejab bulan Israk dan Mikraj Nabi s.a.w. Saya tidak berniat untuk mengungkapkan apa dan bagaimana peristiwa itu berlaku di sini. Semoga kita mengambil ibrah darinya dalam usaha meningkatkan taqwa dan menggapai redha-Nya.

"Kalau tidak kerana anta, ana tidak menjejakkan kaki ke Kelantan", ulas saya pada pertanyaan Rasyidi Ali di dalam talian.

Mercu tanda Kelantan
Selama saya hidup, memang saya belum pernah menjejakkan kaki ke Kelantan Darul Naim. Gelar orang, itu Serambi Mekah. Bukan saya tidak teringin ke sana. Cuma saya tidak berkesempatan atau berpeluang ke Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Sudah lama benar menyimpan hajat.

Berita sahabat saya bakal melangsungkan perkahwinan bukan sahaja menggembirakan saya, lebih dari itu ia membuka satu peluang untuk saya benar-benar menjejakkan kaki ke sana. Saya ingin merasai sendiri pengalaman di sana. Hanya dengar-dengar dari mulut sahaja lain sangat dengan merasa sendiri.

Perjalanan ke Kelantan sememangnya memakan masa yang lama. Apalagi saya ke sana menggunakan bas. Pukul 2.30 petang saya bertolak, 11.00 malam baru saya selamat tiba di Kota Bharu.

Bermula di Gua Musang saya tidak lagi membenarkan diri untuk lena. Saya memerhati dan menilai.

Pandangan mata saya disambut dengan tulisan-tulisan jawi di setiap papan tanda dan iklan. Setiap model yang terpampang di ruang-ruang iklan menutup aurat.

"Inilah yang aku mahukan. Bukan sahaja aku, bahkan kita umat Islam", detik saya di dalam hati.

Pembangunannya pesat. Lebih baik dari Kuantan ibu negeri sendiri. Jauh maju dari Pekan tempat kelahiran saya.

Simbol penguasaan ekomomi umat Islam
Hampir setiap bangunan adalah milik umat Islam. Tidak kiranya bangunan kediaman, komersil dan perhotelan ia benar-benar menjadi kekuatan ekonomi dan pemilikan umat Islam.

Kalau di negeri lain, yang tinggi-tinggi bukan umat Islam punya. Yang besar-besar dan megah yang dibangga-banggakan oleh kerajaan negeri itu pun bukan kita yang punya. Kita hanya memiliki kebanggaan tapi tanah dan bangunan orang lain yang punya.

Beza jauh panggang dari api. Bagai langit dan bumi.

Pagi 9 Jun 2012 saya ke majlis perkahwinan Rasyidi Ali. Bertolak dari rumah sahabat saya, Wan Hakimin yang menjadi tempat saya berdiam sepanjang bermusafir di sana.Turut sama Johan, Jamhuri, Ikhtiaruddin dan Arif.

Walimatul urus dilangsungkan serba ringkas dan sederhana. 

Dalam pertemuan yang singkat, banyak perkara juga yang sempat disentuh dalam perbualan kami dengan Rasyidi. Berselang-seli dengan gurauan dan usikan yang membuatkan semua tak kering gusi.

"Letak ana di Masjid Muhammadi. Nanti pandai-pandailah ana pusing-pusing kawasan situ", minta saya kepada Hakimin. Sementelah dia perlu menghadiri satu lagi walimah rakannya di Bachok.

Bermula di Masjid Muhammadi untuk bersolat. Kemudian saya menjengah ke muzium, kampung kraf dan Pasar Besar Siti Khadijah. Malamnya saya dan teman-teman ke Wakaf Che Yeh. Itu sahaja yang saya sempat. Namun puas itu tetap ada apabila dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman datang ke Kelantan.

Cuma ada musafir ini adalah kelompongan apabila saya tidak sempat untuk ke Masjid Pulau Melaka untuk bertemu muka dengan Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Datuk Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat di negerinya sendiri. Apalagi untuk bersalam, memeluk dan mengucup tokoh besar dunia Islam itu.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz ulama' yang juga umara'

"Insya-Allah, mungkin rezeki itu di lain masa", redha saya di dalam hati sambil berazam untuk datang kembali sesegera yang mungkin. Saya terlalu berhajat untuk bersolat Subuh berimamkan Tok Guru dan mendengar kuliahnya di Dataran Ilmu.

"Serambi Mekah, aku akan kembali!"

Saya berangkat meninggalkan Kota Bharu dengan rasa berat di hati.

Jutaan terima kasih khas untuk sahabatku, Wan Hakimin dan keluarga atas kesudian menerima tetamu di teratak yang serba indah. Layanan mesra dan istimewa sememangnya menambat hati dan menyimpul erat ukhuwah antara kita.

Buat sahabatku Mohd Rasyidi Ali, aku mencintai dan mengasihimu kerana Allah. Bertemu dan berpisah kita juga kerana Allah. Aku bahagia melihat engkau bahagia sebagaimana aku runsing di saat aku mendengar khabar engkau sedang mendekam dan runsing.

Aku menggelarmu "Al-Muntazhar" (yang ditunggu-tunggu) bukan hanya semata harapan untuk engkau memimpin mahasiswa di zamanmu. Lebih dari itu, aku mendoakan engkau untuk ummah ini.

Barakallahulakuma... Semoga Allah melimpahkan rahmat dan maghfirah-Nya buat engkau dan isteri. Juga sentiasa di bawah pimpinan dan lindungan-Nya.

2 comments:

  1. Asalamualaikum,

    Saya kagum dengan gaya penulisan saudara. Saya ulangi membacanya berkali-kali. Padat rengkas dan bermaklumat.


    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam Pak Teh

    Pertamanya, terima kasih kerana sudi bertandang ke blog saya yang tak seberapa ini.

    Kedua, saya sebenarnya masih bertatih menulis. Kadang cepat, kadang lambat. Yang ni penyakit saya. Maaflah sekiranya setiap kunjungan ke blog ini, lebih banyak yang tak dikemaskini dari yang baru.

    Jazakallahu khairan kathira

    Ibnu Jalaluddin

    ReplyDelete