KALAMULLAH...Bulan Al-Quran seharusnya dimakmurkan dengan tadarus dan tadabbur . |
Langit suram dan cuaca sedikit hangat. Saya terus melemparkan pandangan saya ke luar jendela. Pemandangan dari tingkat 5 membolehkan saya melihat panorama sekeliling dengan lebih luas.
"Cepat kau hadir, cepat kau berlalu", hati kecil saya mula berbisik.
Ramadan hanya berbaki 3,4 hari sahaja lagi.
Saya cuba-cuba mengoreksi diri, muhasabah. Sejauh ini apakah yang telah saya lakukan. Adakah Ramadan kali ini lebih baik dari tahun sebelum ini.
"Insya-Allah, lebih baik. Tapi tidak lebih baik dari Ramadan 10 tahun yang lalu", saya bermonolog sendiri.
"Celakalah orang yang membiarkan bulan Ramadan berlalu begitu sahaja sehingga dia tidak diampuni...", bait hadis riwayat Al-Hakim, Ibnu Hibban, Al-Baihaqi dan At-Thabrani itu bagai bergema-gema di fikiran mengetuk pintu hati akan merenungi dan bermuhasabah lagi.
Bab bersiap untuk Aidilfitri sememangnya lenyap di minda. Selera ke situ mati. Dimatikan oleh gundah-gulana di penghujung Ramadan. Bahkan persiapan untuk pulang ke kampung halaman pun saya tidak menyentuh sedikitpun.
Sungguh rasa itu mati.
Baki 3,4 hari ini kalau dibiar, bodohlah jawabnya. Itu ayat masih lembut. Nabi s.a.w sebut celaka! Nak tunjuk memang teruk sangat-sangat. Orang Pahang kata, bodoh melantun-lantun. Kedaloi!
"Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian. Melainkan yang beriman dan yang beramal soleh. Dan yang berpesan-pesan pada kebenaran, dan berpesan-pesan pada kesabaran"
MUSTAJAB...Pohon dan rayulah pada Allah. Sesungguhnya Ramadan adalah bulan keajaiban doa. |
"Hmm...", saya menghela nafas yang panjang. Rasa bagai dihempuk-hempuk.
"Ya, Allah...Berikanlah aku kekuatan untuk istiqamah mentaati-Mu dan beribadah kepada-Mu. Tiada kekuatan melainkan apa yang dikurniakan oleh-Mu. Engkaulah sumber segala-galanya, wahai Tuhan", doa dipanjat memohon kekuatan buat insan yang kerdil lagi hina ini.
Mudah-mudahan masa yang berbaki ini segala urusan dipermudahkan, segala kepayahan diringankan. Moga kebaikan Malam Al-Qadr bisa digenggam buat bekalan setahun mendatang dan moga dikurniakan lagi kesempatan Ramadan di tahun hadapan.
Astaghfirullah Al-Aziim Wa Atubu Ilaik. Ya Rabbal Alamin, maafkanlah aku....
0 comments: on "Mengukur Ramadan"
Post a Comment