photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Thursday, June 26, 2008

KUIS: Ada Apa Dengan EKSTRAVAGANZA?

“Ekstravaganza”
“Ada persiapan untuk Ekstravaganza”
”Tak join Ekstravaganza ke?”

Fenomena Ekstravaganza kembali memeriahkan kampus KUIS dua tiga minggu kebelakangan ini. Semuanya terarah kepada persiapan menjayakannya. Dari sebesar-besar persatuan sehinggalah sekecil-kecilnya memberi komitmen. Habis sahaja waktu kuliah, mahasiswa terus tumpukan kepada aspek persiapan sama ada di sebelah petang ataupun malam. Suasana KUIS tampak meriah dengan segala macam gerak-geri mahasiswa.

Ada apa dengan Ekstravaganza? Apa matlamat diwujudkannya? Apa kepentingannya kepada masyarakat kampus? Manfaat apa yang boleh diambil?

Persoalan-persoalan di atas jika diajukan kepada mahasiswa mahupun pemimpin persatuan, penulis pasti mereka terdiam. Kebanyakan mereka tidak mengetahui maksud tersirat disebalik Ekstravaganza. Yang mungkin bermain di benak kepala mereka ialah Ekstravaganza merupakan satu keramaian dan persembahan seni budaya mahasiswa. Habis jauh pun, ianya untuk memperkenalkan persatuan dan kepimpinannya kepada masyarakat kampus.

Untuk makluman, kini Ekstravaganza telah pun memasuki usia tiga tahun kewujudannya dan ia seperti menjadi acara tahunan wajib di dalam kalendar KUIS. MPMKUIS adalah badan yang bertanggungjawab merencana dan melaksanakan acara ini.

Ketika penulis diamanahkan sebagai Pengerusi Sekretariat Lajnah dan Persatuan MPPKUIS pada tahun 2006, penulis berhadapan dengan tugas yang sangat berat. Bebannya sangat terasa. Menduduki portfolio yang menjaga sayap strategik MPPKUIS memang satu pengalaman yang sangat mencabar.

Keadaan persatuan mahasiswa pada ketika sangat menyedihkan. Sudahlah hampir kesemuanya ”hidup segan, mati tak mahu”. Sikap bertelagah membuat program, berebut tempat dan waktu menambahkan lagi masalah. Masing-masing ego dengan persatuan masing-masing. Sikap ”aku-aku, engkau-engkau” melebarkan lagi jurang pemisah di antara mereka.

Perpaduan adalah satu perkara yang sudah lama mati. Apabila perpaduan tiada, mewujudkan kerjasama lagilah mustahil. Sampai bila keadaan ini ingin dibiarkan.

Cita-cita dan impian ingin melihat gerakan mahasiswa dijulang dan dipandang tinggi hanyalah angan-angan kosong selagi masalah ini tidak dinoktahkan. Usaha yang konkrit dan berkesan perlu dirangka dan dihidupkan. Individu yang paling tepat untuk melakukannya pada ketika itu tidak lain tidak bukan ialah penulis. Sementelahan, Yang di-Pertua meminta penulis melakukan sesuatu.

Bertolak dari sinilah, penulis menggagaskan idea perpaduan iaitu Ekstravaganza. Penulis mahu semua persatuan bekerja dalam satu pasukan bagi menjayakannya. Kita satukan persatuan-persatuan mahasiswa. Kita himpunkan seluruh mahasiswa di tempat yang satu. Demi satu tujuan. Hanyalah perpaduan.

Gerak kerja pertama dimulakan dengan suasana yang sangat menekan apabila pemimpin-pemimpin persatuan masih sangsi dengan usaha ini. Ego mereka yang melangit sedikit menggusarkan penulis. Namun atas nama perpaduan dan kelestarian gerakan mahasiswa, penulis bulatkan nekad.

Pertemuan demi pertemuan, mesyuarat dan perbincangan serta dialog secara rasmi atau pun tidak dijalankan terus. Pejabat Urusan MPPKUIS, Bilik Gerakan Mahasiswa dan bilik-bilik kuliah menjadi tempat kami bertemu. Kalau tidak berkesempatan kami lanjutkan di qaryah kediaman mahu pun kafetaria.

Alhamdulillah putaran masa menghasilkan perkembangan yang sangat memberangsangkan. Program yang pertama kali dalam sejarah hasil usahasama seluruh persatuan mahasiswa semakin menjadi kenyataan.

Ekstravaganza telah berjaya membawa para pemimpin mahasiswa duduk semeja berbincang dan mengenali hati budi. Kini persatuan sudi menghulurkan tangan dengan dada yang terbuka untuk membuat sebarang kerjasama pihak lain.

Masalah di kalangan pemimpin persatuan boleh dikatakan selesai. Mereka teguh dan bersatu.

Tarikh Ekstravaganza beberapa kali tertangguh atas masalah-masalah teknikal. Kertas kerjanya bukan sahaja tidak ddiberi kelulusan, bahkan langsung tidak disentuh walaupun lebih sebulan dihantar. Ini bermakna tiada langsung peruntukan untuk membiayai Ekstravaganza.

Berbekalkan azam dan tekad, penulis keraskan hati untuk meneruskannya walaupun terpaksa menanggung sendiri keseluruhan belanjawan. ”Sekali melangkah, pantang berundur”.

Ekstravaganza sememangnya batu loncatan ke arah memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama semua pihak. Sengaja penulis menamakannya sedemikian. Sesuai dengan maksud Ekstravaganza iaitu sesuatu yang sangat besar; lebih dari biasa. Bukan sahaja kerana kerana ia satu-satunya program yang menghimpunkan seluruh persatuan (37 persatuan mahasiswa), bahkan ia lebih kepada betapa besar maknanya kepada kita untuk mengorak langkah yang agresif dan konkrit demi perpaduan dan kepentingan mahasiswa.

Syukur Ekstavaganza selesai dengan jayanya. Sebelum ini kita tahu mahasiswa liat untuk menghadiri program. Kalau datang pun tidak akan penuh Pusat Konvensyen KUIS (PKK).

Sejarah dicipta. Sentuhan Ekstravaganza memang membawa satu gelombang baru dalam kampus. Kerusi-kerusi di PKK bukan sahaja dipenuhi dengan mahasiswa bahkan kehadiran melimpah sehingga memenuhi ruang atas PKK sama ada petang mahupun malam.

Usaha murni yang dianggap lekeh oleh JPM pada awalnya, memeranjatkan mereka sendiri. Dekan Pembangunan Mahasiswa ketika itu mengakui sendiri, perkara seperti ini belum pernah berlaku di KUIS.

Penulis ingin menegaskan di sini. Perpaduan adalah eleman yang sangat penting kepada mahasiswa. Islam sangat menitikberatkan hal ini. Kerjasama tidak akan wujud jika mahasiswa tiada kesatuan hati. Oleh itu, bagaimana kita ingin menjulang gerakan mahasiswa jika perkara asas ini tidak diperbaiki terlebih dahulu.

Jangan bercakap soal memartabatkan gerakan mahasiswa sekiranya hanya satu pihak sahaja yang menghulur tangan, bersingsing lengan. Semua pihak mengangankan gerakan mahasiswa kita sehebat IPTA. Jadi, mengapa sekadar berangan tanpa berusaha untuk maksud itu. Kita perlu mengisi kekurangan ini walau dengan apa cara sekali pun.


Formula Ekstravaganza sudah diaplikasikan. Ia sudah membuktikan bahawa sesungguhnya persatuan mahasiswa mampu dan boleh bekerjasama dalam mengusun tindakan dan menjayakannya.

Penulis bersyukur matlamat Ekstravaganza itu sendiri berjaya dan menunaskan hasil. Persatuan mahasiswa selepas itu banyak yang melakukan usahasama. Perebutan tarikh dan tempat hampir tiada. Yang ada hanyalah bergabung, bergabung dan bergabung.
Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "KUIS: Ada Apa Dengan EKSTRAVAGANZA?"