photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Sunday, June 29, 2008

Melihat Harta dan Takhta sebagai Amanah

Suasana Kota Makkah semasa Rasulullah s.a.w diutuskan, dipenuhi dengan persaingan antara suku atau kaum. Sirah menceritakan, Bani Sahm ketika itu bersaing dengan Bani Manaf datang memperebutkan harta dan takhta. Sehinggakan mereka datang ke kuburan untuk menghitung dan menunjukkan jumlah anggota keluarga mereka yang telah meninggal. Maka turunlah surah at-Takatsur,

“Bermegah-megahan telah melalaikan kamu sampai kamu masuk dalam kubur.” ( at-Takatsur:1 )

Ramai ahli tafsir menjelaskan, persaingan yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah persaingan dalam memperbanyakkan harta dan takhta. Persaingan yang dapat difahami daripada perkataan at-takatsur itu menunjukkan kepada persaingan antara dua kumpulan atau lebih tanpa menghiraukan hukum dan nilai-nilai agama.

Ini bukanlah satu persaingan yang sihat dan baik. Persaingan seperti inilah yang dikecam oleh agama kerana ianya melalai dan melekakan mereka dengan urusan lain yang sepatutnya ditumpukan. Kalau tidak urusan ummah lintang-pukang dibiarkannya.

Ibarat suatu permainan, persaingan dalam merebut harta dan takhta tersebut tentunya sukar berlaku dalam suasana yang jujur dan telus, ini kerana mereka yang terlibat dengan persaingan seperti ini dikhuatiri telah menghidap penyakit lalai dan leka. Malangnya, ramai di kalangan mereka yang tidak menyedari kelalaian itu. Masih sibuk merebutkan harta yang bukan milik dan mempertahan serta mengumpulkan takhta untuk kuasa. Kecuali selepas mereka meninggal dunia atau dibaringkan di liang lahat.

Kata Saidina Ali Abi Talib, “ Manusia itu makhluk yang ganjil. Semasa hidup, mereka tidur (lalai), manakala selepas mati, mereka justeru bangun (sedar).”

Kita sedia maklum harta dan takhta sememangnya digemari manusia dan menjadi simbol kemegahan dan kehormatan dunia. Sebab itu menurut Imam al-Ghazali, kedua-duanya digemari, sebab manusia menyangka dengan kedua-duanya, semua cita-cita, impian dan harapan dapat dipenuhi dengan mudah dan segera. Inilah puncanya kenapa harta dan takhta direbut sepanjang waktu.

Dalam al-Quran pun ada menyebut, kebiasaan bagi orang kafir adalah menunjukkan harta dan kuasa yang dimiliki untuk membangga diri dan merendah-rendahkan orang yang beriman. Kata mereka,

“Hartaku lebih banyak daripada harta mereka, dan pengikut-pengikutku (pengaruh dan pangkatku) lebih kuat pula.” (al-Kahfi : 34)

Cuba penulis simpulkan di sini, dapatlah kita fahami mengapa persaingan dalam memperebut harta dan takhta tidak pernah berakhir. Dulu, kini, selamanya.

Menariknya, Rasulullah s.a.w memberikan satu tamsilan yang tepat dalam hal ini. Sabda baginda,

“Kalau seseorang memiliki dua lembah yang penuh dengan emas, maka pasti ia mengharapkan lembah yang ketiga. Tidak ada yang dapat memenuhi rongga manusia, kecuali tanah (kematian).”

Allah s.w.t mengingatkan umat Islam agar tidak terpedaya oleh persaingan yang membuatkan mereka lalai dan leka kepada Yang Maha Esa. Firman-Nya,

“Katakanlah: Apa yang ada di sisi Allah lebih baik daripada permainan dan perniagaan, dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki” (al-Jumu’ah : 11).

Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang amanah apabila memperolehi nikmat harta dan takhta kerana kedua-duanya adalah pinjaman sementara yang akan kita tinggalkan pabila sampai waktunya.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Melihat Harta dan Takhta sebagai Amanah"