Monday, June 16, 2008

Minyak Naik dan Naik Minyak


Kenaikan harga bahan api secara mendadak yang diumumkan kerajaan minggu lepas bukan sekadar menggemparkan rakyat, tetapi menimbul persoalan apakah wajar kenaikan ini berlaku. Semua rakyat tahu tentang kenaikan harga minyak dunia yang sudah melebihi USD130 setong. Tetapi rakyat bertanya bukankah Malaysia adalah pengeluar dan pengeksport minyak yang telah mengaut untung besar kesan kenaikan ini. Sebelum ini pun Menteri Kewangan II pernah menyebutkan tentang rahmat kenaikan harga minyak yang boleh menambahkan pendapatan negara berkali-kali ganda.

Yang anehnya, para menteri dan media massa lebih betah memperkatakan kesan-kesan kenaikan subsidi kepada pembangunan negara ekoran kenaikan harga minyak. Menteri Pengajian Tinggi misalnya menggambarkan kepada rakyat bahawa RM800 juta terpaksa dikurangkan daripada peruntukan untuk kementerian tersebut kerana membiayai subsidi.

Benar atau tidak itu soal kedua. Apa yang penting rakyat harus diberitahu bahawa negara kita mendapat keuntungan berganda daripada kenaikan harga minyak ini. Adakah wajar kita menggambarkan kenaikan ini sebagai satu musibah semata-mata kerana terpaksa menaikkan harga minyak, sedangkan ia patut dilihat sebagai rahmat kerana kita pengeksport minyak yang layak menjual dengan harga lebih murah kesan keuntungan berganda ini.

Apabila kerajaan mendakwa penstrukturan semula harga minyak tidak memberikan keuntungan kepada kerajaan, ia adalah satu pembohongan pada siang hari. Rakyat ditipu hidup-hidup. Kerajaan telah mengaut untung yang besar sebagai pengeksport kerana kenaikan harga ini, sedangkan perbelanjaan telah susut dengan pengurangan subsidi besar-besaran.

Sudah tentu berlaku lebihan pendapatan kerana minyak yang dikeluarkan oleh Malaysia ialah 600,000 tong sehari, manakala penggunaan hanya sekitar 400,000 tong sahaja. Di sini pun sudah ada keuntungan atau lebihan yang dicatat, belum mengambil kira pengurangan subsidi dan perbezaan harga import eksport ekoran perbezaan kualiti minyak.

Rakyat harus memahami bahawa minyak yang digunakan di dalam negara adalah minyak yang diimpot dari luar negara yang berkualiti rendah dan harganya lebih murah iaitu USD135 setong berbanding dengan harga minyak yang dikeluarkan oleh negara kita iaitu USD145 setong.

Hakikat ini diakui sendiri Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zetti Akhtar Aziz yang memberitahu bahawa pendapatan negara akan meningkat antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun hasil kenaikan harga minyak sebanyak USD1. Ia turut diakui oleh Menteri Kewangan, Tan Sri Nor Mohd Yaakub. Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang kerana ekonomi negara akan semakin kukuh dan kenaikan ini menjadi rahmat kepada negara kita.

Jika kita mengandaikan negara memperolehi tambahan pendapatan RM200 juta di atas kenaikan USD1, maka kenaikan USD60 semenjak kenaikan terakhir harga minyak pada 2006, bermakna kita mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM12 bilion. Sedangkan apa yang berlaku dalam pengstrukturan semula subsidi harga minyak baru-baru ini, kerajaan mendakwa berjaya menjimatkan hampir RM14 bilion. Ini bermakna kerajaan mempunyai lebihan pendapatan sebanyak RM26 bilion.

Kita tidak boleh menerima alasan bahawa dengan mengurangkan subsidi ini kita telah menjimatkan sekitar RM14 bilion, sedangkan penjimatan sebanyak RM4.5 bilion sebelum ini langsung tidak memberi manfaat kepada rakyat. Tidak ada peningkatan dalam perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi yang ada adalah peningkatan kos pengangkutan. Maka, penjimatan kali akan diagihkan kepada sektor mana pula? Apakah benar-benar berbaloi untuk rakyat menambahkan perbelanjaan sehingga 40 peratus untuk petrol sahaja, sedangkan kualiti perkhidmatan tidak bertambah.

Kerajaan sebenarnya harus keluar daripada kejumudan pentadbiran mereka bagi mencari satu pendekatan yang boleh menambahkan pendapatan negara, jika itu menjadi alasan untuk menghapuskan subsidi. Lihatlah apa yang dibuat oleh Iran dan Venezuela yang mengalih transaksi minyak mereka dari USD kepada Euro. Negara dijangka dapat menambah sehingga 15 peratus pendapatan jika transaksi ini dibuat menggunakan Euro kerana mata wang Eropah ini lebih kukuh.

Satu lagi pendekatan yang boleh diambil oleh kerajaan adalah dengan mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat-syarikat berkaitan cari gali petroleum, khususnya syarikat asing. Pendapatan mereka telah meningkat ekoran kenaikan harga minyak, tetapi rakyat sebagai ‘tuan punya’ minyak semakin menderita. Syarikat asing seperti Shell, Exxon, Ludin, Total dan lain-lain termasuk Petronas patut dikenakan cukai durian runtuh ini apabila harga minyak melepasi satu tahap harga tertentu.

Sama ada harga siling ini ditetapkan mengikut nilai setong atau nilai keluaran, yang penting keuntungan tanpa jangkaan mereka akibat kenaikan harga minyak ini dicukaikan seperti mana cukai durian runtuh dikenakan ke atas minyak sawit dan IPT.

Malaysia sudah mengamalkan dasar percukaian ini ke atas minyak sawit dan ITP, maka mengapa ia tidak boleh dilaksanakan ke atas minyak sebagai timbal balik untuk membiayai kos subsidi. Keuntungan ini jika tidak dicukai akan memberikan manfaat yang besar kepada syarikat asing, sedangkan rakyat sendiri menderita.

Adakah kerajaan tidak tergamak untuk mengenakan cukai tambahan ini kerana adanya Amerika Syarikat dan Zionis di belakang syarikat-syarikat tersebut. Jika kita mengandaikan cukai ini dikenakan sebanyak 10 peratus, bermakna negara akan mendapat sebanyak USD7.8 bilion berdasar keluaran minyak 600,000 tong sehari pada harga USD13 setong.

Dengan pendapatan sebanyak itu, kerajaan tidak lagi perlu bimbang untuk membiayai subsidi dan pembangunan negara sekali gus. Bahkan, kerajaan boleh menstrukturkan semula pembelanjaan negara dengan mengurangkan defisit.

Rakyat telah mendengar empat langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri untuk mengurangkan beban kenaikan harga minyak ini. Antaranya adalah penjimatan perbelanjaan sektor awam dengan mengurangkan pembaziran yang hanya bernilai RM 2 bilion sahaja termasuklah mengurangkan elaun keraian Perdana Menteri dan anggota kabinet.

Kita berasa pelik apabila langkah penjimatan dibuat selepas harga minyak dinaikkan. Mengapa penjimatan atau menghapuskan pembaziran ini tidak dibuat lebih awal dan segala kebocoran dalam perbelanjaan kerajaan boleh disalurkan untuk mensubsidi rakyat dan harga minyak tidak perlu dinaikkan. RM2 bilion penjimatan selepas pengumuman kenaikan harga minyak termasuk pemotongan 10% elaun Perdana Menteri dan kabinet sebenarnya tidak memberikan sebarang kesan kepada meringankan beban rakyat.

PM dan anggota kabinet hanya kekurangan 10% daripada pendapatan mereka tetapi rakyat terbeban dengan lebih 40% kesan kenaikan harga minyak. Sedangkan perjalanan harian PM dan anggota kabinet ditanggung sepenuhnya oleh wang rakyat. Dan RM2 bilion penjimatan yang diumumkan jika dibahagikan dengan 27 juta rakyat Malaysia, rakyat hanya akan memperolehi RM74 setahun atau 20 sen sehari sedangkan pemimpin negara masih boleh bercuti keluar negara walaupun hanya dihadkan di negara-negara Asia sahaja.

Kerajaan juga sewajarnya menghapuskan projek-projek membazir dan menghapuskan tender runding reka dan bina kerana ia melibatkan kos yang besar iaitu hampir sekali ganda daripada kos tender terbuka.

Banyak lagi projek-projek membazir dijalankan oleh kerajaan seperti menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Belia Asia (CYC) yang menelan kos hingga RM17 juta, tetapi diakui oleh Menteri Belia dan Sukan serta Presiden FAM sebagai tidak bermanfaat untuk Negara dan pembangunan bola sepak. Begitu juga projek seperti Taman Tamadun Islam di Terengganu yang menelan hampir RM1 bilion.

Petronas sendiri membazirkan wangnya dengan banyak untuk orkestra di KLCC, termasuk membelanja sehingga RM3.5 juta sebulan untuk membayar gaji 105 orang pemuzik orkestra yang majoritinya rakyat asing. Maka, bagaimana Petronas boleh bersungut tentang peningkatan kos pengurusannya mencecah 200 peratus, sedangkan pembaziran begitu banyak berlaku.

Kesan kenaikan harga minyak ini memberikan dampak yang besar kepada kuasa beli rakyat. Jika kita mengandaikan setiap rakyat menggunakan 2000 liter petrol setahun dengan pandapatan perkapita sebanyak RM46,080, bermakna rakyat Malaysia yang mengeksport minyak telah menggunakan sejumlah 11.72 peratus pendapatannya hanya untuk membeli petrol sahaja.

Berbanding Singapura yang mengimport minyak, berasaskan perkapita setinggi RM156,480, mereka hanya menggunakan 6.65 peratus pendapatan untuk membeli petrol yang berharga RM5 seliter. Di negara pengeluar minyak yang lain seperti Venezuela, rakyat hanya memperuntukan 0.78 peratus daripada pendapatan perkapita untuk membeli petrol.

Adakah kerajaan berfikir bahawa dengan duit rebet sebanyak RM625 setahun itu rakyat telah terbela? Bukankah ianya hanya bernilai tidak sampai RM1.70 sehari. RM1.70 itu tidak bermakna bagi pengguna motosikal apatah lagi pengguna kereta yang telah kehilangan kuasa beli berkali ganda, tidak termasuk kos kenaikan barangan dan perkhidmatan lain.

Apapun beban yang rakyat tanggung, sepatutnya seluruh rakyat patut berterima kasih kepada sesiapa yang baru menyertai atau menyokong Umno/BN kerana sokongan mereka ini telah menyumbang kepada keyakinan Umno/BN untuk menaikkan harga minyak.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Minyak Naik dan Naik Minyak"