photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, June 16, 2008

Meraih Hasil Tanih di Hujung Kampung

”G, bersiap-siap. Kita pergi kilang”, pinta emak.

Ajakan emak ke kilang di sini bukanlah bermaksud seperti kebiasaan pemahaman orang di luar sana. Nun, jauh di hujung kampung sana terdapat sebuah kilang memproses kelapa sawit. Hasil sisa cecair atau separa pepejalnya akan ditempatkan di satu kawasan khas agar ia tidak mencemarkan kawasan sekitar.

Sisa-sisa ini sangat baik untuk pertanian kerana ia menjadi baja yang sangat baik untuk penyuburan. Di atas sisa ini ditumbuhi dengan berjenis pohon-pohon dengan suburnya termasuklah juga sayur-sayuran. Ada yang tumbuh sendiri dan ada juga yang ditanam oleh penduduk kampung.

Dalam jangka masa kewujudan kilang memproses kelapa sawit yang sudah menjangkau hampir 30 tahun, maka semakin banyak ia berjasa kepada penduduk.

Semenjak dari sekolah rendah sehinggalah ke usia ini, aku dan emak sentiasa mencuri masa ke sini bagi meraih hasil tanih yang bukan sahaja membekalkan zat-zat yang diperlukan badan seperti vitamin A, vitamin C, betakarotin, dan se’kapal’ dengannya. Malah yang tidak kurang menariknya, ia adalah percuma.

Pegaga, kangkung, bayam, cendawan, ranti dan pucuk betik adalah antara sayuran yang boleh didapati di sini. Tidak perlu keluarkan duit membelinya di kedai atau di Pekan Sehari. Cuma datang dan petik dengan tangan sendiri. Bayangkan berapa banyak kos yang dapat dikurangkan. Bahkan peluh pun dapat dikeluarkan. Tak payah berjogging sakan. Ini pun sangat baik untuk kesihatan.

Biasanya aku dan emak akan memungut lebih dari keperluan kami sekeluarga. Bukannya tamak tetapi untuk diagihkan kepada jiran-jiran terdekat. Iyalah, benda percuma tak salah kira ringankan tangan untuk disedekahkan.

Emak saudara aku adalah antara yang tidak ketinggalan dalam senarai ’penerima agihan’. Bukan kepalang sukanya Mak Lang bila diberikan sayur-sayuran yang segar-bugar.

” Kalau takde engkau, kempunanlah Mak Lang nak makan semua-semua ni. Abang-abang engkau tu kalau balik, takdenya nak ke kilang carikan sayur”. Itulah yang selalu keluar dari mulut Mak Lang.

Aku bukannya apa. Suka tengok Mak Lang gembira. Siapa kata tanpa duit kita tak dapat sumbangkan sesuatu? Karut semua itu. Bagi aku, dapat melihat kegembiraan terpancar dari muka orang di sekeliling membuatkan kita puas dan turut gembira. Kegembiraan adalah sesuatu yang sangat mahal tetapi kita tidak perlukan benda yang mahal-mahal untuk memilikinya.

Bila cerita bab ke kilang, memang banyak ilmu dan iktibar yang dapat penulis miliki. Mahu mengutip kangkung kita perlu ada ilmu. Bahagian mana yang perlu dipetik, jenis kangkung bagaimana yang lebih sedap dimasak antara yang menjadi penilaian. Begitu juga halnya dengan pegaga. Kalau tidak reti cara mencabut, alamat dapat daun ajelah.

Pucuk betik lain pula ceritanya. Salah cantas saja, melenting emak nanti.

”Apa engkau ni? Yang cantas pokok betina buat apa? Sayangnya lah.” Ngomel emak bila aku tersilap cantas.

Membazir katanya. Bukan sebab terlebih cantas, tapi sebab cantas pokok betik betina. Sepatutnya dicantas pucuk pokok jantan kerana ia tidak akan berbuah kelak. Lagi satu yang paling penting cara nak menghilangkan pahit pucuk betik. Siapa nak telan kalau pahit macam tu. Orang Utan pun entah-entah muntah.

Kalau pucuk paku pula, jangan buat main. Salah petik, mabuklah jawabnya. Ada pucuk paku yang boleh dimakan tapi yang tak boleh dimakan lagi banyak.

Maka semua ilmu pengetahuan ini diajar oleh emak ketika pergi meraih hasil tanih di hujung kampung sana. Bagi aku, amat rugi sekali jika budak kampung seperti aku ini tidak tahu ilmu-ilmu kemahiran hidup ini. Baik duduk bandar kalau macam tu. Tiada bezanya. Nampak saja remeh dan ringan tapi faedahnya hanya tuan punya badan saja tahu dan dapat merasai.

Yang pasti aktiviti seperti ini sangat aku senangi kerana manfaat yang boleh ditimba dan sangat bermakna.




Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Meraih Hasil Tanih di Hujung Kampung"