photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, July 28, 2008

UMNO Semakin Sihat, PAS Jatuh Sakit?

Jika beberapa hari selepas PRU ke-12 Mac yang lalu, Putrajaya seolah-olah ingin menyambut satu kuasa politik baru untuk memimpin negara ke arah yang lebih beramanah, bersih dan adil. Lima puluh tahun yang sarat dengan pelbagai kemelut dan kekeruhan ingin diserlahkan dengan sinar dan kejernihan. Rakyat sudah nampak pelbagai hadiah dan ganjaran yang menarik hasil daripada satu undi yang dibuang. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini jalan ke Putrajaya semakin dilitupi kabus yang tebal. Perjalanannya sudah semakin mendung dan bersimpang siur.

Apa yang tidak kena?

Perdana Menteri pernah mencatatkan rekod kejayaan UMNO dan BN gilang gemilang pada tahun 2004. Sembilan puluh peratus majoriti di Parlimen dan hampir keseluruhan kerajaan negeri di bawah kuasa BN menjadikan ia satu kuasa keramat yang sukar diganggu gugat oleh mana-mana ahli nujum politik negara. Walaubagaimanapun, setelah hampir lima tahun pentadbirannya, ‘trust’ yang diberikan oleh rakyat itu semakin hari semakin hilang daripada gemerlapan kuasanya. Letupan-letupan kecil di dasar laut pada tahun 2007 dan awal 2008 mengtsunamikan seluruh Semenanjung Malaysia akhirnya. Rupa-rupanya diam-diam rakyat, berisi jua. Kempen ‘Hanya Satu Undi’ betul-betul memberikan kesan kepada rakyat. Satu undi untuk cuba berubah! Apa yang paling mesti dikenang adalah Perdana Menteri juga telah merekodkan satu catatan sejarah terburuk dalam diari perjalanan UMNO dan BN sehingga hilang dua pertiga majoriti BN di Parlimen.

Maka, wujudlah satu nama baru iaitu Pakatan Rakyat. Secara tidak langsung ramai orang mula berhipotesis dan berteori mengatakan rakyat Malaysia pada hari ini menolak sentimen perkauman dan mendokong amalan perpaduan nasional tanpa mengira ras dan agama. Pakatan yang wujud sebelum PRU ke-12 mempunyai satu titik pertemuan atau faktor sepunya iaitu menubuhkan kerajaan yang lebih telus, lebih beramanah dan lebih adil. Disebabkan gagasan ini dan ditambah dengan beberapa faktor kritikal yang lain, maka rakyat memberikan satu undi perubahan sebagai harapan baru buat mereka. Lihat hasilnya samada di Parlimen dan di Dewan Undangan Rakyat. Betapa gahnya Pakatan Rakyat.

Anwar Sebagai Faktor Kritikal

Perkara ini sukar untuk disangkal. Sejak awal-awal lagi Anwar sudah mengatakan “Jika saya jadi Perdana Menteri, saya akan....” Bagaimana agaknya respon rakan-rakan PR terutamanya PAS? Adakah Tuan Guru Abdul Hadi tidak berkesempatan untuk diangkat menjadi PM. Memang tidak ada desup-desup yang mengatakan Tuan Guru akan menjadi PM, cuma Ibrahim Ali sahaja yang pernah mengisytiharkan dan menyokongnya di Dewan Rakyat pada bulan Mei yang lalu. Walaubagaimanapun, seolah-olah sudah sepakat Anwarlah nanti yang akan menjadi PM kerana karektornya, karismatiknya, kefahamannya yang jelas dalam pentadbiran kerajaan dan sokongan kaum-kaum lain terhadapnya.

Sepertimana yang dijangka, tatkala Anwar dan gerombolannya mendoktrinkan rakyat dengan 16 September 2008, maka setiap saluran ke arah tarikh itu telah disekat dan diputarligat oleh propagandis-propagandis UMNO. Satu demi satu isu yang terpaksa dilayan oleh PR. Sejak dari pelantikan Menteri Besar Perak dan Selangor, isu penghapusan DEB, isu projek Babi Negara, isu kemungkinan marginalisasi Melayu di Pulau Pinang, isu Jawatankuasa Kemajuan Kampung sehinggalah isu fitnah sodomi terhadap Anwar Ibrahim. Jika diperhatikan sedalam-dalamnya, kebanyakkan isu ini bertujuan untuk meleraikan ikatan PR dan isu yang paling tajam adalah PERKAUMAN. Isu inilah yang menjadi senjata UMNO dan BN untuk melumpuhkan pakatan yang baru hidup tak sampai setahun ini.

Hubungan PAS dalam PR

Terdapat juga soseh-soseh ahli dan pimpinan yang mengatakan hubungan diantara PAS dan komponen PR agak retak sedikit. Ini dapat diperhatikan dalam beberapa kenyataan media pimpinan ketika soal muzakarah UMNO dan PAS baru sahaja dimainkan media. Kenyataan yang pada akarnya menyokong muzakarah demi kepentingan Islam dan Melayu tapi rantingnya mencucuk-cucuk DAP dan PKR. Sejauhmana benarnya, mereka yang tahu. Mungkin disebabkan itu, muzakarah ini dibuat. Namun, ada juga beberapa pimpinan PAS dengan tegas mengatakan bahawa PAS akan tetap bersama PR walau digocang dengan isu muzakarah ini.

Asasnya, PAS, DAP dan PKR kena sentiasa duduk berunding dalam Majlis Tahalluf (Majlis Pakatan) dalam sesuatu isu yang menyentuh perkara-perkara dasar. Misalnya, isu kontrak sosial. Beberapa YB BN pernah mengasak YB Bachok sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih YDPA di Parlimen pada bulan Mei yang lalu mengenai kontrak sosial, DEB dan label bumiputera dan non-Bumiputera. Jelasnya, PAS tidak memberikan jawapan yang agak memuaskan ditambah lagi dengan beberapa kenyataan pimpinan DAP yang agak vokal dalam isu yang sama. Ini mengeruhkan keadaan.

Walaupun pada mulanya, PAS tidak mengangkat tema Negara Islam kerana mengambil beberapa pendekatan siyasah syar’iyyah, fiqh dan usul serta sirah sebagai pedoman namun slogan Daulah tidak semestinya akan terus padam dalam perjuangan PAS. Negara Berkebajikan telah menjadi kata sepakat komponen PR dalam PRU yang lalu. Selepas kemenangan ini, cabaran yang harus diurus oleh PAS adalah bagaimana ingin menterjemahkan substansi Daulah Islamiyyah dalam pengurusan dan pentadbiran disamping menghormati kaum dan agama lain. Inilah satu cabaran besar yang harus digalas oleh PAS.

Muzakarah PAS dan UMNO : Terlalu Dramatik

Dramatik dan mengasyikkan. Walaupun pada mulanya PAS sudah dilihat sebagai ‘playmaker’ dalam politik negara hari ini, tapi akhir-akhir ini survival PAS agak terancam dek kerana UMNO. Pada mulanya, umum mengetahui tidak wujud muzakarah. Kemudian timbul pula berita, sebenarnya muzakarah telah pun diadakan selang beberapa hari selepas PRU yang lalu terutamanya di Selangor. Tapi isu muzakarah telah dimurnikan dengan hanya muqabalah. Tanpa ada rahsia dan dibuat secara umum dan khusus untuk membincangkan masalah ummah dan agama. Inilah minda negarawan sepertimana yang disebut oleh YB Kubang Kerian dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia, Ahad yang lalu.

Lebih menarik apabila media meminta pandangan beberapa pimpinan PR antaranya Lim Guan Eng, Wan Azizah dan Tan Seng Giaw. Semuanya memberikan respon positif dengan muzakarah tersebut. Tidak perlulah terus melenting kerana ia hanya sekadar muqabalah. Tapi, UMNO lebih nakal sedikit. Pak Lah umumkan, “sebenarnya saya telah mengadakan muzakarah bersama ‘decision makers’ PAS sebanyak tiga kali sebelum ini”. Ditambah pula dengan kenyataan Khir Toyo bahawa ini bukan muzakarah biasa tapi ia adalah perbincangan kerjasama membentuk kerajaan PAS dan UMNO di Selangor. Maka, terloponglah mulut beberapa pimpinan PAS dengan pendedahan ini. Seterusnya, kuda tua DAP, Karpal Singh dan Lim Kit Siang terus membidas kesetiaan PAS dalam PR.

Beberapa hari lepas, Tuan Guru Nik Aziz menyebut supaya PAS dan UMNO hendaklah dibubar dan bentuk parti baru tapi mestilah berasaskan ISLAM. Ini satu tarikan politik baru dengan isi yang lama. PAS banyak kali menyeru ahli-ahli UMNO tinggalkan perjuangan nasionalis dan sertailah perjuangan Islam. Cuma, kali ini Tuan Guru lebih berani dengan memantikkan kata-katanya. UMNO terlalu sukar membubarkan partinya terutamanya Najib kerana beliau hanya menunggu dua tahun sahaja lagi. Tak lama, tapi tak tentu. Cuba perhatian kenyataan maaf YB Pokok Sena merangkap Ketua Penerangan PAS dalam harakahdaily pada 28hb Julai 2008. Sebalik permohonan maafnya ada perkara tersirat yang perlu diperjelaskan. Apa dia, hayatilah sendiri.

Agenda Ketidak-ikhlasan UMNO

Satu parti yang paling degil adalah UMNO. Semua komponen BN kecuali UMNO sudah menunjukkan signal untuk mengalah dan menurunkan pimpinan yang lemah dan gagal mengendung tugasannya. Pak Lah tetap setia berada di atas kerusi Presiden dan PM. Mana-mana orang hebat di dunia ini mesti ada sepasukan penasihat yang akan setia memberikan nasihat-nasihat kepadanya. Begitu juga dengan Pak Lah. UMNO ada beberapa fraksi. Paling dominan adalah fraksi Pak Lah dan Tun Mahathir. Tun mendesak Pak Lah untuk turun supaya UMNO dapat diselamatkan, tapi Pak Lah enggan.

Semua orang mengetahui, kuasa politik UMNO telah terhakis. Mereka menggembar gemburkan mereka hebat tapi sebenarnya tidak. Mereka sudah semakin tempang dan sekarang mengalami strok. Biasanya, bila orang sakit, dia pasti akan ikhtiar untuk sembuh. Jumpa doktor biasa, specialist, dukun, pawang dan ahli nujum untuk merawat penyakit tersebut. Jadi, tahun 2008 adalah Tahun Merawat UMNO dan pengarahnya adalah Najib. Pengarah De Facto adalah Pak Lah.

Apa penyakit UMNO dan BN sekarang ini? Pertamanya adalah perpecahan dalaman. Penyakit ini baru sampai peringkat pra-kritikal dan mungkin jangka hayat kritikalnya adalah pada bulan Disember 2008. Kedua adalah penyakit Sabah dan Sarawak. Selepas sahaja Anwar mendakwa ada beberapa orang ahli BN akan melompat ke PR, Pak Lah dan gerombolannya terus terbang ke sana untuk memberikan rawatan segera jangka pendek. Tawaran demi tawaran disuntik dan disuapkan kepada BN Sabah dan Sarawak. Ketiga, penyakit hilang kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO. Orang Melayu sudah semakin berani memilih PKR mahupun PAS dan ramai juga yang tidak berparti. Dan penyakit kronik yang terakhir adalah penyakit fobia hilang kuasa. Jika penyakit ini semakin teruk, maka akan lumpuhlah UMNO di muka bumi Malaysia dan akan terbongkarlah pekung dan tembelang UMNO selama ini. Maka sekarang ini, ramai doktor-doktor pakar sedang merawat UMNO dan khabarnya para doktor ini kebanyakkannya dari Oxford dan Cambridge.

Adakah PAS Menjadi Mangsa Ujian Ubat UMNO?

Perkara ini sukar ditelah kerana masih lagi samar-samar. Tapi, jika dilihat mood pada hari ini, PR sudah semakin nipis tali kerjasama dengan PAS. Kemudian, sekiranya PAS dan UMNO membentuk kerajaan bersama terlalu banyak kritikan panas yang akan menyerang PAS terutamanya daripada ahli, penyokong, sebahagian pimpinan dan rakan-rakan komponen. Masa sekarang tidak sesuai untuk membentuk kerajaan campuran. Ia akan menyihatkan UMNO dan menyakitkan PAS sendiri.

Bagaimana jika PAS dan UMNO bergabung dan dalam masa yang sama PR membentuk kerajaan? Bagaimana pula nasib PAS? Sekiranya terdapat pimpinan PAS yang tersilap mengambil langkah politik dalam isu yang berlegar sekarang ini, silalah Majlis Syura mengambil tindakan mu’aqabah (denda) kepada mereka. Bukan bencikan mereka tapi kerana terlalu sayangkan mereka dan parti Islam ini.

Hanya sekadar luahan rasa dan pandangan peribadi. Mudah-mudahan perkara ini tidak tepat.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "UMNO Semakin Sihat, PAS Jatuh Sakit?"