photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, July 28, 2008

Sibuk dengan Mercedes Sampai Lupa Rakyat Miskin

Ternganga juga mulut penonton Buletin Utama siaran televisyen swasta apabila Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said begitu petah bercakap tentang kereta Mercedes E200 Kompressor dan memperlekeh Perdana V6 Executive.

Terasa macam beliau bercakap di Litar Formula Satu di Sepang jika tidak diberitahu pembaca berita, bahawa beliau bercakap kepada wartawan sebelum mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan Terengganu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


Barangkali datang dari Terengganu dapat merasa henjutan minyak percuma daripada kompresor baru ke Kuala Lumpur dan boleh menjadi topik pertama dalam mesyuarat sebelum masuk lebih serius.


Selepas ini kalau rakyat mahu tahu bagaimana lasak kereta Mercedes boleh Exco Terengganu cadangkan mesyuarat akan datang diadakan di Genting Highland, Cameron Highland atau di tempat yang lebih jauh bagi Terengganu iaitu Perlis. Makin bertambah lebat cerita tentang Mercedes kerana modal bercakap makin banyak dan berisi.


Bagaimanapun rakyat tertanya, tidak berminatkah Exco Terengganu menaiki kapal terbang kalau ada program di luar Terengganu sehingga kereta Exco terpaksa jalan jauh? Atau barangkali jalan raya Terengganu perlukan kereta lasak?


Kabinet membuat keputusan Exco Terengganu tidak boleh menggunakan kereta tersebut tetapi apakah tindakan disiplin dikenakan kepada mereka terbabit yang melanggar arahan surat perkeliling membeli kereta Mercedes tersebut?


Menurut MB Terengganu, penelitian telah sudah dibuat sejak dua tahun lalu dan keputusan muktamad dibuat tiga bulan lalu. 14 kereta Mercedes itu telah digunakan sejak seminggu lalu.
Katanya, spesifikasi pembelian Mercedes menepati syarat surat perkeliling kementerian kewangan yang hanya membenarkan kerajaan negeri menggunakan kereta nasional atau kereta yang dipasang di Malaysia (CKD).


Menjawab pertanyaan wartawan dengan petah Ahmad menjawab: "Saya sayangkan duit kerajaan negeri saya buat macam ni. Saya nak jaga duit rakyat sebab itu nak kena buat."
Kalau kita beli kereta Mercedes RM240 ribu boleh tahan berapa tahun?" soal Ahmad kepada wartawan sambil menambah: "I pakai kereta 18 tahun.. Mercedes kerajaan sekarang. Tak ada masalah."


Bila ditanya keputusan Kabinet beliau berkata: "Kita dah beli (Mercedes) dah pun. Nak jual secondhand berapa ribu pulak? berebut orang nak beli..dah nak buat macam mana."


Ahmad juga menunjukkan kepakaran dalam bidang kereta katanya: "Proton kena terima (kritikan beliau) sebagai positif. Dia kena upgrade Perdana V6 Executive dia tambah 10 inci daripada Perdana V6�spek lain tidak tambah..enjin, kotak gear.. itu masalah, itu yang rosak."
"Tanya semua menteri besar tapi dia tak berani cakap la, Saya tak nak hipokrit. Saya cakap benda benar. Saya ada rekod boleh tunjuk satu-satu," ujarnya lagi.


"Kalau salah, Kabinet tarik balik perkeliling. Cuma anggapan kita kalau Mercedes; mewah, mewah. Cuba cek Spanco (dimaksudkan kos penyelenggaraan).


Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat juga ditanya wartawan tentang kereta rasmi tetapi dijawab tidak ada keperluan untuk tukar kereta manakala Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaludin pula berkata perbelanjaan penyelengaraan kereta rasmi kerajaan Perak tidak setinggi Terengganu malah peruntukan untuk penyelenggaraan kereta yang tidak digunakan boleh dibawa masuk ke perbelanjaan rakyat.
Mengenai kereta rasmi ini terdapat juga Exco terutama daripada Pakatan Rakyat duduk depan bersama pemandu. Bagi Exco wanita mereka lebih berakhlak duduk dibelakang sekiranya pemandunya lelaki.


Ahmad sepatutnya lebih petah dalam mengubah kemiskinan rakyat Terengganu kerana kedudukan kemiskinan Terengganu ditangga kedua selepas Sabah sedangkan negeri tersebut mempunyai pendapatan yang kedua tertinggi dalam negara.


Kenapa negeri berpendapatan kedua tertinggi tetapi rakyatnya miskin? Jawabnya kerana Terengganu bermenterikan mereka bercitakan kemewahan sehingga lupa bagaimana program, perancangan serta idea yang baik bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.


Semasa Terengganu dibawah pemerintahan PAS pada 1999 kedudukan kemiskinan negeri itu telah dibaiki daripada tempat kedua iaitu dengan kadar 17.3 peratus kepada tempat ketiga (14 peratus)pada tahun 2001.


Pada awal 2004 percapaian itu dibaiki lagi ke paras keempat dengan kadar kemiskinan iaitu 10 peratus setelah membuat perubahan polisi sebaliknya negeri itu kembali miskin iaitu tempat kedua (15.4 peratus) setelah BN memerintah kembali pada pilihan raya umum 2004.
PAS mampu mengubah nasib kehidupan rakyat walaupun ketika itu wang royalti minyak ditarik balik oleh kerajaan Pusat.


Dengan jumlah isi rumah miskin tegar seramai 8,300, Terengganu kembali menduduki tangga kedua senarai negeri paling tinggi kadar kemiskinan. Perangkaan terakhir itu diperolehi daripada laporan Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Oktober 2006.
Dalam masa yang sama kos sara hidup di Terengganu adalah yang kedua tertinggi di negara ini sepertimana kata Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato' Adzlan Mohd Dagang.


Rakyat Terengganu masih belum lupa pembangunan Masjid Kristal yang menelan belanja lebih RM270 juta hanya sebagai perhiasan bukan bermanfaat untuk Islam ternyata salah daripada maksud sebenar mendirikan rumah Allah.


Penganjuran Pertandingan Kapal Layar Piala Monsun menghabiskan RM300 juta setahun. Sukan kapal layar itu hanya dipertandingan di kota mewah seperti Perth, Australia; Monaco, Itali dan lain-lain bandar maju cukup tidak sesuai dipertandingkan di Kuala Terengganu.
Penganjuran yang mengharapkan timbal balas kedatangan pelancong asing dan menguntungkan ekonomi negeri rupanya tidak kecapaian berikutan mereka lebih gemar tinggal di Singapura berbanding di Kuala Terengganu yang masih kekurangan hotel mewah dan prasarana bagi menarik minat mereka.


Harga sebuah kereta Perdana V6 Executive dianggarkan dalam lingkungan RM130,000 berbanding Mercedes RM245,000 yang dikatakan lebih murah daripada harga pasaran, namun banyak pihak mengecam tindakan kerajaan Terengganu itu kerana ia bertentangan dengan arahan kerajaan Pusat yang menyarankan semua pihak berjimat cermat.


Selain itu, menteri yang sepatutnya berperanan mempromosi dan membantu industri kereta nasional sebaliknya memperlekeh secara terbuka.


Sementara itu dilaporkan Badan Pencegah Rasuah (BPR)membuat siasatan mengesan kemungkinan berlaku penyelewengan dalam kos senggaraan Perdana V6 Executive yang mencecah RM175,229.97 sebuah sepanjang empat tahun lalu.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Sibuk dengan Mercedes Sampai Lupa Rakyat Miskin"