photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Thursday, September 11, 2008

Fasa Pertama Ramadhan, Tidak Malukah Kita?

Sebagaimana yang disebut di dalam hadith baginda Nabi saw bahawa Ramadhan al-Mubarak menawarkan rahmat di awalnya, penghapusan dosa di pertengahan dan jaminan kemerdekaan dari Neraka di penghujungnya.

Kita sudahpun melepasi Fasa Pertama iaitu Fasa Rahmat. Ini bermakna kita hanya punya 2/3 baki daripada Ramadhan. Sesungguhnya masa sangat pantas berlaku tanpa mempedulikan sama ada kita memanfaatkannya ataupun tidak. Ia tetap berlalu dan terus berlalu.

Seusai Fasa Pertama, terfikirkah kita sejauh mana amalan dan penghayatan telah kita lakukan. Atau langsung tiada beza dengan 11 bulan yang lain.

Ramadhan bulan Al-Quran. Justeru, sudah berapa juzuk kita bertadarus Al-Quran sesuai dengan kebesaran Ramadhan sebagai bulan turunnya Kalamullah itu. Adakah kita cuba dan berusaha memahami dan mendalami intisari Al-Quran sebagaimana yang dituntut oleh baginda Nabi saw.

Ambillah masa sejenak untuk merenung ke dalam diri dan bermuhasabah. Adalah dibimbangi ruang dan peluang yang dikurnia Rabbul Jalil ini dipersia-sia dan dibiarkan berlalu tanpa apa-apa pengisian. Maka tersangat rugilah jika kita tergolong dalam golongan yang seperti itu.

Nikmat Ramadhan ini tersangat besar kurnianya. Janganlah kita kufur dengan nikmat yang Allah swt berikan ini. Ingat, jika kita bersyukur nescaya Allah swt akan tambahkan nikmat kurnia. Tetapi jika kita kufur (tidak menghargai) akan nikmat diberi maka ingatlah azab Allah swt maha dahsyat dan pedih. Takkan sudah terhantuk baru tergadah.

Jangan ingat bila menjaga solat, tidak menipu, mengumpat, mencuri, berzina dan seumpamanya di bulan Ramadhan, maka kita terlepas dari dosa. Silaplah siapa yang mengira begitu. Sesungguhnya mempersiakan nikmat Ramadhan ini juga adalah dosa yang sangat berat.

Apalah sangat kesusahan memakmurkan Ramadhan ini jika nak dibandingkan dengan ganjaran yang akan diberikan. Terlalu sukarkah ingin berpayah sedikit di bulan Ramadhan yang cuma sebulan ini sahaja dalam setahun. Sekadar 30 hari.

Saya teringat kisah di mana Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah pernah menegur baginda Nabi saw yang sampai bengkak-bengkak kakinya beribadah kepada Allah swt siang dan malam di bulan Ramadhan dengan begitu ghairah dan bersungguh-sungguh sekali sedangkan baginda sudah dijamin Syurga oleh Allah swt. Namun jawapan baginda membuatkan sesiapapun tersentak. Dengan penuh rasa rendah diri baginda berkata, salahkah aku untuk menjadi hamba yang bersyukur?

Subhanallah. Perhatikan sahabat-sahabat sekalian jawapan yang keluar dari mulut suci baginda Nabi saw. Tidakkah kita rasa terpukul dengan jawapan yang semacam ini dari orang no. 1 di sisi Allah swt. Orang yang maksum yakni terhindar dari dosa dan noda. Orang yang sememangnya sudah punya tempat di Syurga. Kita? Jangan kita banding dengan baginda saw, terlalu melebar beda dan jaraknya. Perasaan malu semakin menebal dalam diri apabila memikirkan hakikat sebenar ini.

Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, saya menyeru diri yang serba hina ini dan juga kalian agar kita memikirkan kembali letak duduknya kita. Mohonlah pada Allah swt agar diberikan kekuatan kepada kita untuk tunduk dan patuh kepada-Nya, beribadah dan mendekatkan diri kepada-Nya kerana tanpa bantuan Allah swt pasti tiada apa yang kita mampu lakukan.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Fasa Pertama Ramadhan, Tidak Malukah Kita?"