Friday, November 7, 2008

Titah Tuanku Sultan Perak Buat Kita

Sudahkah anda membaca titah Tuanku Sultan Perak yang dirakamkan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, kelmarin? Apa pandangan anda?

Dikalangan Raja-raja Melayu, tidak dapat dinafikan bahawa Sultan Azlan Shah, merupakan salah seorang Raja yang sangat diberi perhatian oleh rakyat jelata. Ini sudah pastilah kerana Tuanku pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara sebelum diangkat menaik takhta menjadi Sultan Perak Darul Ridzuan. Latarbelakangnya sebagai Hakim tertinggi dalam negara suatu ketika dahulu sudah pasti memberikan impak besar terhadap rakyat apabila sahaja Baginda memberikan pandangan atau ulasan berkenaan mana-mana isu.

Di Istana Iskandariah kelmarin Tuanku bertitah:

“Malaysia wujud hasil dari cantuman tiga wilayah, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak Kesultanan Melayu Melaka. Perkataan “Negeri-negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri Melayu Tidak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain perkataan negrara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dan kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Faktor inilah yang melahirkan Negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia.” Dalam kita masing-masing sibuk terlibat dalam pembangunan negara dan masyarakat, semua pihak perlu akur dan terima akan asal-usul dan sejarah negara ini. Hari ini kita hidupaman dan sejahtera dengan bertemankan pelbagai kaum yang sama-sama membentuk kedaulatan negara ini.

Walaubagaimanapun hakikatnya evolusi politik Melayu telah menyaksikan betapa orang Melayu begitu mulia hatinya dan besar pula jiwanya sehingga sanggup dan rela meraikan kawan-kawan baru untuk sama-sama menjadi warga dan rakyat negara ini, maka bumi yang asalnya Tanah Melayu dibuka dan dikongsi bersama tanpa apa-apa prejudis dan syak wasangka.

Tanah Melayu yang dikongsi bersama ini lantas diubah namanya kepada Malaysia demi mencerminkan kepelbagaian kaum dan agama yang muncul atas persetujuan dan kerelaan orang-orang Melayu yang menoleh jauh ke hadapan demi memartabatkan suatu bangsa negara yang besar yang boleh sejahtera dan maju bersama.

Kalau negara demokrasi besar dunia seperti Amerika Syarikat memerlukan lebih 200 tahun sebelum dapat memberikan hak persamaan kepada semua rakyatnya, Malaysia dalam masa yang begitu singkat telah mencapainya. Dalam masa yang begitu singkat kini seluruh rakyat Malaysia selama lebih 50 tahun telah memperolehi hak berpolitik dan hak bersuara yang sama tanpa prejudis dan diskriminasi.

Kerana itu bersyukurlah kita semua. Mari kita sama-sama membina sebuah Malaysia yang maju dan menjunjung undang-undang. Dalam waktu yang sama kita tidak lupa sebagaimana titah Tuanku:

“Dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka ini tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama-sekali. Perbuatan demikian jika tidak dihentikan, dibimbangkan akan menguris hati dan emosi orang-orang Melayu.”

Selamat sejahteralah semua rakyat dalam negara ini, sama-sama kita mencari rezeki dan membangunkan negara tercinta ini namun kita tidak lupa akan pengorbanan dan sumbangan orang-orang Melayu sehingga memungkinkan kita semua berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Titah Tuanku Sultan Perak Buat Kita"