photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Friday, December 19, 2008

PRK: Keluhuran Perlembagaan Dicabuli

Beberapa hari selepas keluarnya tulisan saya yang mengkritik kelewatan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) KUIS dan seperti ingin bermain teka-teki dengan masyarakat kampus, akhirnya Memo PRK KUIS dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab.

Hitam putih sudah mengesahkan PRK ke-11 jatuh pada tanggal 14 Januari. Seminggu lewat dari jangkaan saya sebelum ini. Masa seperti semakin mencemburui bakal anggota MPMKUIS yang baru nanti. Kebimbangan yang sebelum ini membusut, kini sudah berbukit.

Saya sudah tidak mahu menyentuh soal kelewatan sebab perbincangan tentang itu saya kira sudah selesai. Saya tak maksudkan selesai masalah (makin menjerut adalah). Cuma cukuplah untuk kita bahaskan di sini. Yang penting mesej yang ingin saya utarakan sudah sampai. Kebelakangan ini sengaja saya meluangkan lebih masa di kampus. Para pemimpin mahasiswa dari MPMKUIS, persatuan dan lain-lain yang menemui saya memberikan respon yang cukup baik tentang artikel berkenaan.

Berbalik kepada memo pilihanraya yang dikeluarkan, ia nampaknya sudah menjawab satu persoalan besar di kalangan masyarakat kampus. Tapi sedarkah anda sebagai imbal balas ia membuka pula satu persoalan yang lebih besar.

Sudah semestinya memo pilihanraya akan disertakan dengan undang-undang pilihanraya. Kelayakan, kerusi dan seumpamanya. Tapi yang menimbulkan persoalan ialah memo itu nyata janggal. Sebelum kita membicarakan soal kejanggalannya mari kita teliti terma ini terlebih dahulu.

Perkara 2.2 (g) - Terbuka kepada semua mahasiswa KUIS sepenuh masa kecuali pelajar semester pertama (diploma/ijazah) dan pelajar asasi.

Merujuk pada kenyataan memo yang ditandatangani oleh Pemangku Timb. Rektor Akademik dan Pembangunan Mahasiswa ini jelaslah sudah berlaku perubahan pada peraturan yang melibatkan kelayakan calon PRK. Jika dahulu ia hanya terbuka kepada mahasiswa semester 2,3 dan 4 sahaja. Kini tidak lagi.

Andai kata pada PRK ke-11 nanti seorang mahasiswa semester akhir (dibenarkan jika merujuk memo pilihanraya) bertanding dan berhasil memenangi PRK. Ini bermakna individu berkenaan hanya ada dalam kabinet MPMKUIS selama kurang lebih 2 bulan sahaja. Baki tempoh jawatannya iaitu dua semester lagi dikosongkan kerana individu tersebut sudah tamat pengajian. Secara mudahnya individu berkenaan tidak ada pada sesi akademik Mei dan September 2009/2010. Ini juga bermakna seseorang perlu memangku jawatan yang dikosongkan itu.

Undang-undang ini dicipta tak lain tak bukan hanya untuk mengganggu gerak-kerja MPMKUIS. Kesan darinya pula mampu menyebabkan badan tertinggi mahasiswa itu terganggu penumpuan dan gerak kerja yang mana akhirnya berlaku kekurangan dan kelompongan pada pengisian pembangunan insan dan kebajikan mahasiswa. Agaknya inilah yang tangan-tangan kotor itu mahukan. Matlamat mereka satu sahaja, kebangkitan mahasiswa mesti dipatahkan.

Nyata undang-undang baharu ini tidak relevan sama sekali. Buat apa dibenarkan bertanding kalau hanya jawatan itu nanti untuk dipangku oleh orang lain.

Kita pergi kepada kejanggalan yang saya sebutkan sebelum ini. Lihat terma ini pula:

Perkara 10.2 - Semua jawatan Majlis Tertinggi dalam MPM adalah di kalangan calon-calon yang menang bertanding bagi kawasan UMUM.

Saya nak juga bertanya kepada pihak SPR, ini memo pilihanraya atau buku Perlembagaan KUIS? Memo itu tentang tentang pilihanraya bukan tentang peruntukan atau kaedah pengorganisasian.

Kita tahu bahawa kawasan UMUM hanya ada 6 kerusi sahaja. Manakala kerusi Majlis Tertinggi berjumlah 8 semuanya (Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden Pembangunan Insan, Naib Presiden Pembangunan Akademik, Naib Presiden Hal Ehwal Wanita, Setiausaha Agong, Timb. Setiausaha Agong dan Bendahari Agong).

Sumber rapat Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) menyatakan ianya dibuat kerana ada rungutan dari individu yang memenangi kerusi UMUM sebelum ini tidak berpuas hati sama sekali bila tidak diangkat sebagai anggota Majlis Tertinggi MPMKUIS.

Hanya orang buta sahaja akan melayani rengekan seperti itu.

Pada PRK ke-8, Mohd Izzaki (kerusi UMUM) yang mendapat undian kedua tertinggi selepas Mohd Izad Aziz menyandang jawatan Pengerusi Sek. Ekspo & Festival. Calon yang mendapat undian ke-4 tertinggi ketika itupun turut tidak menganggotai Majlis Tertinggi. Jamhuri (kerusi UMUM PRK ke-9) pun sama. Timb. YDP 2005/2006, Adham Hambali adalah calon menang tanpa bertanding kerusi fakultinya. Begitu juga Bendahari dan timbalannya, Timb. Setiausaha Agong pada sesi itu ialah calon dari kerusi fakulti. Rasyidi Ali, Mokhlis sebelum ini juga serupa.Sebenarnya banyak lagi contoh-contoh lain, sekadar sebut yang terkini dan beberapa sahaja. Yang utamanya mereka ini tidak pernah mengeluh apalagi meminta jawatan itu dan ini. Matlamat mereka satu sahaja, taburkan jasa dan semaikan budi kepada masyarakat kampus.

Urusan memutuskan siapa yang layak menduduki Majlis Tertinggi adalah di bawah kuasa Perlembagaan KUIS. Jika tidak silap saya Seksyen 51-53 menyebutkan secara jelas yang ianya mesti diputuskan melalui Syura. Sekiranya majoriti MPMKUIS memilih si fulan bin si fulan menganggotai Majlis Tertinggi, memang begitulah caranya walaupun dia bukan dari kerusi UMUM. Bila perlembagaan perintahkan syura sebagai jawapannya, kenapa SPR nak gatal-gatal tangan.

Macam mana undang-undang kecil boleh digunapakai sedangkan ia bertentangan dengan perlembagaan? Bukankah dalam Bab 1 Perlembagaan KUIS telah gariskan bahawa sebarang pindaan mesti melalui dan disahkan oleh Lembaga Pengarah?

Mengambil kira keluhuran perlembagaan maka jelaslah undang-undang baharu itu terbatal dengan sendirinya kerana mencabuli undang-undang tertinggi kolej universiti.

Semua pindaan ini dilakukan bukanlah untuk penambahbaikan tetapi bersifat undur kebelakang. Kenapa demikian?

1. SPR mesti masih ingat tahun lepas calon-calon PRK membantah keputusan pesuruhjaya SPR yang membenarkan seorang mahasiswa semester 5 bertanding sedangkan peraturan telah menggariskan yang layak hanya mahasiswa semester 2,3 dan 4 sahaja (diploma /ijazah). Tanpa locus standi calon itu dibenarkan bertanding walaupun dibantah dan nyata tak sah. Supaya keadaan itu tidak berlaku lagi, maka tahun ini peraturan dipinda bagi menghalalkan yang haram. Sehingga saat ini saya tidak mengiktiraf kemenangan calon itu sebagai MPMKUIS. Persoalan di sini, apa rahsia besar yang disembunyikan oleh pesuruhjaya dan calon tersebut? Jangan nak nafikan pula berlaku pertemuan sulit antara mereka sebelum dan semasa PRK berlangsung.

2. SPR kata peraturan menggariskan Majlis Tertinggi hanya untuk calon kerusi UMUM dibuat sebab ada pihak yang tak berpuas hati. Benarkah begitu? Terdetik juga, calon yang tidak berpuas hati atau SPR kerana calon 'tajaan' mereka tak diangkat sebagai anggota Majlis Tertinggi?

Alahai SPR oh SPR...


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "PRK: Keluhuran Perlembagaan Dicabuli"

Penganalisis Minda said...

usah dibimbangi, kuasa mpm tidak akan terjejas selagi perlembagaan meletakkan banyak kuasa istimewa terhadap mpm. MPM akan datang dicadangkan supaya melantik seorang penasihat undang-undang yang dilihat sabagai satu pengaruh. dengar kata saiful akan create semula memo ini. tak tahu lah depa ni, rasanya saje je nak gertak dan umpama menakutkan bakal-bakal calon...
anyway, kebangkitan mahasiswa sudah berada di fasa pertama, ayuh berusaha untuk teruskan ke fasa berikutnya.