photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Friday, January 23, 2009

Jangan Silap Bertindak!

Pada suatu masa terdapat seorang tukang kayu yang semakin dimamah usia. Dia bercadang untuk bersara dari pekerjaannya sebagai tukang kayu di sebuah syarikat pembinaan.

Dalam fikirannya, dengan tenaga yang semakin kurang, dia ingin benar menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarga tercinta. Tukang kayu itu tidak akan menerima lagi upah sekiranya dia bersara. Tetapi dia nekad. Dia tetap dengan keputusannya untuk bersara. Lalu diapun memberitahu majikannya tentang hasratnya itu.

Apabila majikan mendengar hasrat hati tukangb kayu yang berpengalaman itu, majikan itu berasa sedih dan memujuk tukang kayu tersebut menarik balik keputusannya. Namun dia tetap tidak berganjak walau seinci. Akhirnya, majikan itu akur tetapi dia meletakkan satu syarat iaitu memenuhi satu permintaan terakhirnya. Permintaan itu ialah menyuruh tukang kayu itu rumah buat kali membina sebuah buat kali yang terakhir.

Tukang kayu merasa gembira dan sangat bersetuju dengan permintaan majikannya itu. Nyata kegembiraannya untuk bersara mengatasi semangat dan kemahirannya yang ditunjukkan semasa bekerja. Akibatnya, rumah yang dibina buat kali terakhir itu telah disiapkan dengan sambil lewa, tanpa penelitian khusus serta menggunakan kayu yang rendah mutunya. Rumah itu berjaya disiapkan dalam jangka masa yang singkat.

Apabila majikannya melihat rumah itu, dia mengambil kunci pintu utama rumah tersebut dan memberikannya kepada tukang kayu seraya berkata,

"Inilah hadiah persaraan daripada saya untuk kamu. Selamat bersara".

Terkejut besar tukang kayu itu dengan kata-kata majikannya. Beliau sama sekali tidak menyangka bahawa rumah yang dibinanya kali terakhir itu adalah rumah untuk kegunaannya sendiri. Alangkah menyesalnya dia kerana membina rumah itu secara tergesa-gesa dan jika dia tahu dari awal, dia pasti akan membina rumah tersebut dengan penuh teliti dan menggunakan bahan yang bermutu tinggi.

Sengaja saya menceritakan kisah di atas untuk perhatian kita bersama. Senario ini mungkin pernah berlaku dalam hidup kita seharian.

Pada saya, kehidupan juga boleh diibarat seperti membina sebuah rumah untuk kegunaan dan kemudahan kita di masa hadapan. Kebanyakan dari kita sering mengambil mudah dengan kehidupan mereka pada hari ini hingga lupa masa hadapan. Kita merasa selesa kerana ibubapa sentiasa di samping kita. Masih hidup, masih menghulurkan wang, masih membelikan pakaian untuk kita, masih kuat bekerja. Agaknya kita lupa, bahawa setiap yang hidup akan mati. Itu adalah janji Allah. Itu juga adalah fitrah.

Maka pada ketika itu, siapakah yang bertanggungjawab ke atas hidup kita? Tidak lain tidak bukan, diri kita sendiri. Belajarlah bertanggungjawab dan merancang masa depan. Apalagi kita adalah umat Islam. Umat yang mana diajar akan kehidupan selepas mati. Kita tidak hanya merancang kejayaan di satu alam. Kita diajar merancang untuk kejayaan di dua-dua alam ini. Dunia dan Akhirat.

Pepatah Arab ada berbunyi, siapa yang menanam dia akan menuai hasilnya. Baik benih yang kita semai dan dipelihara dengan teliti, maka natijahnya pasti baik dan hebat.

Ingatlah, apa yang kita lakukan pada hari ini kesannya akan dirasai sehingga puluhan tahun bahkan ratusan tahun. Maka bertanggungjawabkan akan setiap apa yang dilakukan di atas muka bumi ini.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Jangan Silap Bertindak!"