photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Thursday, February 26, 2009

Ibrah Khalifah Makmun dengan Pengkritiknya

Saya tergerak hati untuk menjenguk ruangan Group KUIS di laman sosial, Friendster. Terharu dengan keprihatinan mahasiswa terhadap perkembangan yang berlaku di kampus. Itu menunjukkan mahasiswa sudah maju beberapa tapak dalam beberapa aspek.

Tetapi seperti biasa, individu-individu yang keras dan lantang bersuara hanya sekadar baling batu sembunyi tangan. Moga kekurangan yang disengajakan ini diperbaiki dan ditambahbaik pada masa akan datang.

Kerana dalam masa pihak yang bertanggungjawab ingin menghulurkan tangan mengajak berbincang semeja demi kemaslahatan mahasiswa seluruh, pihak yang tegang tetap beralasan tidak. Budaya primitif seperti ini seharusnya tiada dalam kamus kehidupan seorang yang bergelar mahasiswa.

Teringat saya kisah Khalifah Makmun, seorang khalifah yang terkenal dengan beberapa tindakan baginda yang zalim dan melanggar batas syarak namun jasa terbesarnya ialah baginda mengasaskan Baitul Hikmah, sebuah institusi penterjemahan dan pengkayaan ilmu-ilmu yang pertama di dunia pada ketika. Perhatikan tatkala baginda berdepan dengan pengkritiknya.

Khatib-khatib Jumaat hampir di seluruh Bandar Basrah menyampaikan khutbah dengan menyebut nama baginda dan mengkritik keras dan kasar keburukan-keburukannya. Khutbah ini didengari sendiri oleh baginda.

Perkara ini berlanjutan beberapa lama. Akhirnya Khalifah Makmun mengambil keputusan untuk bertemu pengkritiknya dan berkata: "Agaknya siapakah yang lebih baik, tuan khatib atau Nabi Musa as?"

"Sudah tentu Nabi Musa as lebih baik daripada saya. Tuan tentu sedia maklum", jawab si khatib.

"Betul, betul", kata Khalifah Makmun. Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa pula yang lebih jahat, saya atau Firaun?"

Si Khatib terdiam. Kemudian dia menjawab, "Pada pendapat saya Firaun lebih jahat daripada tuan".

Khalifah Makmun pun berkata, "Maaf tuan khatib. Seingat saya, Firaun itu amat jahat orangnya. Dia mengaku dirinya Tuhan. Dia merebus Masyitah dengan anaknya hidup-hidup. Dia kejam kepada pengikut Nabi Musa. Tetapi Allah tetap memerintahkan Nabi Musa bercakap dengan lembut kepada Firaun".

Tuan Khatib hanya mendengar kata-kata Khalifah Makmun.

Kemudian baginda berkata lagi, "Tolong bacakan ayat al-Quran yang menyebut arahan itu?"

Tuan Khatib tergagap-gagap membacakan firman Allah:

"Wahai Musa dan Harun, berikanlah kepada Firaun nasihat-nasihat yang baik dengan bahasa yang halus, mudah-mudahan dia ingat dan berasa takut (kepada Allah)" [Surah Taaha:44]

"Sekarang apakah saya boleh minta tuan khatib menegur saya dengan bahsa yang lebih bersopan kerana tuan tidak sebaik Nabi Musa, manakala saya tidak sejahat Firaun", kata Khalifah Makmun.

"Atau barangkali tuan mempunyai Al-Quran lain yang di dalamnya tidak ada ayat 44, surah Taaha?" tambah baginda.

Harap dapat memahami apa yang mesej yang ingin saya sampaikan.

Saya sangat yakin bahawa kepemimpinan mahasiswa terutamanya MPMKUIS adalah sangat mengharapkan teguran, peringatan dan kritikan daripada warga kampus. Namun soalnya di sini, bagaimana teguran itu disampaikan dan apa nada yang digunapakai.

Saya masih percaya jika terdapat kesilapan pada Kabinet MPMKUIS, kesilapan itu tidak seteruk kesilapan Khalifah Makmun apalagi Firaun. Dana jika pengkritik-pengkritik tegar ini bagus, kebagusan kalian tidaklah sebagus Imam Hasan Al-Banna apalagi Nabi Musa dan Nabi Harun.

Carilah titik pertemuan antara keduanya. Usahakan pertemuan dan perbincangan secara terus. Itu lebih menjauhkan kamu dari fitnah dan buruk sangka.

Semoga kesilapan kita ini tidak berulang kembali. Ya Allah...aku percaya semua yang berbicara ini mahukan kebaikan, kebenaran dan keadilan. Maka dengan niat yang sangat tulus dan murni ini, ampunkanlah keterlanjuran kami.
read more...

Masjid Itu Hidupku

Hati bagai berbisik sayu teringatkan Masjid Al-Azhar. Nadi kehidupan di KUIS. Masjid yang menjadi tumpuan seluruh warga Bandar Seri Putra dan Bandar Bukit Mahkota untuk mendirikan Solat Jumaat apalagi masyarakat kampus.

Rindu.

Ya, itulah kalimah yang tepat untuk menggambarkan perasaan yang memenuhi sudut hati ini. Apalagi tempat berdiam sekarang di Seri Kembangan tiada masjid. Hati seakan meronta bila terbaca sabda Rasulullah saw yang berbunyi,

"Sesungguhnya masjid itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertaqwa, dan barangsiapa yang merasakan masjid itu adalah rumahnya, Allah menjaminya mendapat rahmat dan ketenangan, serta melintasi titian sirat menuju keredhaan Allah di dalam Syurga"

Hadith riwayat at-Tabrani ini menyemarakkan lagi rasa cinta dan rindu kepada rumah Allah. Lihat sahaja bagaimana kehidupan orang-orang yang sentiasa mendampingi masjid. Bukankah rumah Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersebelahan Masjid Rusila, dan Maahad Darul Quran Marang? Bukankah juga rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetentang dengan Masjid Pulau Melaka dan Maahad Darul Anuar? Sesungguhnya sabda baginda Nabi saw telah mengiyakan siapakah mereka ini. Mereka inilah orang yang mengaimarahkan rumah Allah dengan majlis ilmu dan mengajak orang lain turut mengimarahkannya walaupun mereka sibuk dengan jadual yang sangat padat dalam memimpin gerakan Islam di Malaysia.

Di KUIS, 'budak masjid' (gelaran yang membawa maksud individu yang suka mengimarahkan masjid sama ada solat, majlis-majlisnya atau beriktikaf) adalah salah satu indikator dalam mahasiswa memilih pemimpin. Sebab itu apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) kebanyakkan yang menang adalah 'budak masjid'. Yang lucunya, bila PRK maka ramai pula 'muka-muka' baru mengimarahkan masjid. Calon-calonlah siapa lagi.

Tapi mahasiswa tahu kenal mana kaca mana permata. Sesungguhnya benda yang dibuat-buat memang tidak boleh disembunyikan. Ia tetap jelas kelihatan. Habis PRK, habislah tempoh 'imarah kempen' masjid.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, seakan indikator ini sudah tidak digunakan lagi. Sayanglah kalau pemimpin yang diangkat adalah orang yang jauh dengan masjid. Firman Allah swt:

"Bahawasanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan mereka yang mendirikan solat, menunaikan zakat serta tidak takut kepada apa pun melainkan Allah, maka semoga mereka itulah orang yang akan tergolong dalam kalangan orang yang mendapat hidayah"

Dengan memakmurkan masjid, Allah akan membersihkan hati kita dengan mengurniakan hakikat iman, kelazatan mendirikan solat dan keseronokan mengeluarkan zakat serta sifat hanya takut kepada Allah. Tidak takut apa-apa melainkan Allah.

Jika seorang mahasiswa, maka mahasiswa sepeti inilah yang kita dambakan. Jika seorang pemimpin, maka pemimpin seperti inilah yang kita cari.

Kerana apa? Kerana dihujung ayat itu Allah menjanjikan hidayah. Sesuatu yang sangat mahal dan bernilai.

Dalam menempuh kehidupan kita tidak dapat lari dari keperluan kepada hidayah iaitu petunjuk. Semestinya petunjuk Allahlah yang maha benar.

Alangkah tenang kita membuat keputusan dengan bantuan hidayah Allah. Alangkah seronoknya kita bertindak berpandukan hidayah Allah. Segala-galanya berpaut kepada Allah semata-mata.

Hanya orang yang suka memakmurkan masjid sahaja yang tahu betapa gelisahnya mereka apabila terpisah dari masjid.

Ada yang sinis berkata, "Budak masjid bukan semuanya baik. Bagus-bagus"

Memang pun. Namun bukankah tindakan mereka memakmur dan mengimarahkan masjid Allah adalah satu tindakan mencari kebaikan. Dari tidak baik kepada yang baik. Mereka menagih janji Allah sebenarnya yang mereka tahu bahawa Allah sekali-kali tidak akan memungkiri janjinya.

Hidayah itulah yang mereka cari. Saya pun begitu. Kita tahu hanya dengan hidayah Allah kita akan menjadi baik dan termasuk dalam golongan yang mendapat pertolongan Allah.

Lihat sahaja bapa saudara Nabi saw, Abu Talib. Menangis baginda Rasul saw apabila Abu Talib mati dalam keadaan tidak mendapat hidayah Allah.

Sahabat-sahabatku,

Imarahkanlah masjid. Makmurkanlah masjid. Jika mahu dirimu hidup dalam hidayah Allah, cintailah masjid. Bukan hanya sekadar melafaz. Jadilah ia rumah kita. Jangan sampai pasar malam yang jauh kita nampak dan sampai, masjid di depan kediaman dibutakan saja.

Sahabat-sahabatku,

Jika kita hanya mahu kita hidup dalam hidayah Allah, jelasnya kita tamak. Ajaklah orang di sekelilingmu bersama-sama mengimarahkannya. Agar bukan hanya kita yang diberi hidayah, mereka juga turut menikmatinya.

Kerja nak seru orang supaya memakmurkan masjid adalah kerja bersama. Baik MPMKUIS, Persatuan Mahasiswa Fakulti, Lajnah dan ALAM. Perumpamaan kegemilangan itu adalah sebuah kota dan masjid adalah gerbangnya. Mahu KUIS gemilang dan terbilang, Masjid Al-Azhar adalah kuncinya.

Kunci sudah di tangan....!

read more...

Thursday, February 12, 2009

TG Abdul Hadi, PAS, Ikhwan Muslimin

"Anta silap orang la.."

Spontan terkeluar dari mulut saya apabila penuntut Jabatan Dakwah, Sdr Husaini Arshad menceritakan kisahnya bertemu MB Kelantan, YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hajat untuk bertemu itu sebenarnya untuk menyelongkar salur-galur sejarah PAS dan kaitannya dengan sebuah gerakan Islam moden yang berpusat di Mesir, Ikhwan Muslimin.

Sebetulnya itulah tajuk latihan ilmiah dia.

"Saya tak terlibat langsung dengan gerakan Ikhwan Muslimin. Kalau tanya bab lain, saya boleh tolong. Bab ini memang saya bukan orangnya". Begitulah lebih kurang respon jujur TGNA apabila Husaini mula nak buka bicara.

Dengan niat untuk membantu (dengan pengetahuan yang tidak seberapa ini), saya kata dia mesti terus kepada Presiden PAS, YB Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Inilah orang yang tepat untuk bercakap soal itu.

TG Abdul Hadi adalah tokoh reformasi di dalam Parti Islam itu. Sewaktu menuntut ilmu di Timur Tengah dahulu (Universiti Islam Madinah dan Universiti Al-Azhar), TGAH mendapat didikan terus dari tokoh-tokoh besar Ikhwan antaranya Mustafa Masyhur, Fathi Yakan, Said Hawa (sekadar menyebut beberapa nama).

TGAH diamanahkan sebagai mas'ul kepada sayap pemuda Ikhwan di sana. Karisma dan ketokohan TGAH sememangnya disedari oleh kepemimpinan Ikhwan lantas beliau diangkat memegang peranan penting dalam organisasi Ikhwan di Timur Tengah. Saling tak tumpah seperti ayahandanya, Tuan Guru Awang yang juga tokoh Ikhwan Muslimin di rantau Nusantara.

PAS pada asalnya bukanlah seperti yang kita lihat pada hari ini. Kehadiran TGAH merubah secara total wajah PAS menjadi sebuah gerakan Islam yang tersusun dan mantap.

Pengstrukturan semula di lakukan terutamanya dalam aspek tarbiyyah, manhaj, tanzim, dakwah dan harakah.

Dari sebuah parti yang tidak tersusun, yang hanya berbekal semangat dan kesedaran kepada sebuah gerakan Islam yang tersusun gerak kerjanya, dididik dengan tarbiyyah shahihah, dakwah yang memugar, tanzim yang mantap. Roh PAS masih lagi seperti zaman Abu Bakar Baqir, Dr Alias Abbas, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Mohamed, dan Tan Sri Asri Muda. Islam menjadi dasat perjuangan. Cuma TGAH melakukan penambahbaikan dan dinamika bagi mendepani tribulasi yang semakin mencabar.

Era 80-an menjadi saksi kepada transformasi cemerlang ini. Ditambah lagi dengan kepemimpinan ulama' gandingan Tuan Guru Yusuf Rawa dan Dato' Fadzil Mohd Nor.

TGAH pada dekad 80-an dan awal 90 menjadi satu fenomena dalam negara terutamanya mahasiswa dalam mencari ikon ideal untuk kepemimpinan muda Islam. Pengkaderan paling pesat dibangunkan. Boleh kata tiada Insitut Pengajian Tinggi (IPT) yang tidak mendapat sentuhan TGAH.

PAS meniti di bibir tokoh-tokoh gerakan Islam dunia. Jelas buah tangan TGAH satu kurniaan yang sangat besar kepada gerakan Islam di ufuk Timur ini.

Tidak berhenti setakat itu, TGAH diangkat menjadi gandingan Dato' Fadzil Mohd Nor setelah Tuan Guru Yusuf Rawa melepaskan jawatan Yang Di-Pertua Agong (kini Presiden) untuk berperanan sebagai Mursyidul Am PAS. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa gandingan dua tokoh hebat yang terdidik dengan tarbiyyah Ikhwan ini membawa PAS mengecap kegemilangannya sebagai sebuah gerakan Islam yang progresif dan terkedepan.

Ramai di kalangan kita tidak tahu bahawa karya-karya dan tulisan TGAH menjadi rujukan gerakan Islam dunia. Pergi sahaja ke perpustakaan universiti-universiti di Timur Tengah sana. Sememangnya tulisan TGAH diangkat tinggi oleh para pelopor, pendokong, dan pemimpin gerakan Islam dunia. Antara karangannya yang masyhur ialah Aqidah Muslimin dan Islam: Fikrah wal Harakah wal Daulah.

Saya minta agar Husaini berusaha untuk bertemu orang-orang kuat Ikhwan selain TGAH. Ust Dahlan (HALUAN) di Perlis, Sheikh Abdullah Zaik (ISMA) di Selangor, Ust Sidek Noor di Perak adalah antara orangnya. Tapi mungkin agak sukar untuk menjejaki mereka.

Pilihan kedua saya usulkan agar Husaini bertemu Ust Ridhuan Md Nor (Exco DPPP) dan Ust Idris Ahmad (Lajnah Tarbiyyah) sebab pada saya kalau dalam bab-bab kaitan PAS dengan Ikhwan, dua orang ini memang macam ensiklopedia.

"Anta usahakan ini je. Lepas tu mesti anta akan disuruh pergi ke sana ke sini. Bahan situ, bahan sini. Pendek kata anta kena dapatkan dua orang ni jugak. Selagi tak dapat orang ni, selagi tulah kerja anta payah skit" tegas saya.


read more...

Monday, February 9, 2009

PAS Senasib dengan HAMAS, Calonkan Nizar di Bukit Gantang



Konflik yang berlaku di Perak Darul Ridzuan sememang menjadi topik perbincangan yang panas mutakhir ini. Marah, geram, simpati, ralat, terkilan dan seumpannya bercampur-baur. Lebih dari itu, rakyat naik jelak dengan permainan yang dihidangkan oleh juak-juak politik yang tidak mengenal apa itu adab dan akhlak.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin disingkirkan dengan cara yang sangat kotor. Perlembagaan dirogol di depan khalayak masyarakat. Entahlah ini negara hukum atau negara rimba.

Dalam keadaan rakyat masih terkejut, maka rakyat Perak sekali lagi dikejutkan dengan pemergian Ahli Parlimen Bukit Gantang (PAS), Sdr. Ruslan Shahrum (al-Fatihah). Di Kedah Darul Aman pula, rakyat disentak dengan perletakkan jawatan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), YB Arumugam a/l Vengatarakoo yang juga ADUN Bukit Silambau (PKR). Ini bermakna dua pilihan raya akan diadakan dalam waktu terdekat berikutan kematian MP Bukit Gantang dan perletakkan jawatan oleh YB Bukit Silambau akibat tidak tahan dirinya dan keluarga diugut supaya beliau menyeberang masuk BN.

Namun saya ingin menumpukan pada kerusi Bukit Gantang yang dimiliki oleh Parti Islam. Alang-alang benda sudah berlaku dan sentimen rakyat Perak ketika ini, meletakkan YAB Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai calon bagi kerusi parlimen tersebut adalah satu strategi bijak. Kemenangan yang diraih nanti adalah satu mesej rakyat kepada politikus-politikus haprak dan penghinaan yang berkesan.

Kehebatan dan sinar kewibawaan yang hebat pada Ir Nizar perlu dimanfaatkan dengan optimum oleh Parti Islam dan Pakatan Rakyat. Ini adalah masanya untuk mengangkat pemimpin hebat dan cemerlang ke satu tahap yang lebih tinggi. Sesungguhnya apa yang berlaku sekarang sangat menguji beliau sebagai pemimpin muda yang berjiwa besar. Terbukti Ir Nizar bukan peribadi yang calang-calang atau sebarangan.

Bila bercakap mengenai beliau secara automatik fikiran saya mengingati sosok tubuh bernama Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin dari HAMAS yang disingkir secara tidak sah oleh Presiden Mahmood Abbas. Apa yang dilalui oleh Haniyeh dan kerajaannya itu jugalah yang dialami oleh Nizar dan Pakatan Rakyat. Kerajaan Haniyeh dan Nizar yang dipilihan secara demokratik sehingga kini dinafikan hak-hak mereka yang telah termaktub dalam perlembagaan. Perlantikan Dahlan (sebagai PM Palestin) dan Dr Zamry (sebagai MB Perak) bukan sahaja tidak sah bahkan haram.

Sejarah mencatatkan Kerajaan Palestin (HAMAS) dan Kerajaan Perak Darul Ridzuan adalah mangsa juak-juak politik yang bernafsu buas berhati syaitan yang sentiasa takut untuk berdepan secara anak jantan. Musuh-musuh yang bersifat penakut sekali-kali tidak akan berani.

Saya mengharapkan Presiden Parti Islam, YB Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama akan mempertimbangkan faktor-faktor yang disebutkan ini.
read more...

Thursday, February 5, 2009

Perak: We Will Not Go Down

















Langit membiru mulai kelam

Terik mentari kininya redup
Nafas di dada mula mendesah
Hati yang sedih kini pedih

Lanun liar banjiri kota
Tiada ia gagah perkasa
Yang ada cuma khianat dan dusta

Rompaklah hasil negeri
Bakarlah kapal dan layar
Musnahkanlah dusun dan denai
Runtuhkanlah tembok negara

Mengalah tidak sekali
Berundur pantangnya kami
Mengeluh tiada di hati

Biar kalah jangan mengalah
Biar disadung tidak kusungkur
Patah semangat itu tiada

Tak mengapa susah
Payah bukannya goyah

Datanglah semua serata dunia
Walau dibentak dihinjak
Tiada pernah kami tunduk apalagi sujud

Tuhan bersaksi oleh-Mu
Biar hancur jasad ini
Panji-Mu tetap memancang

read more...

Hadirlah Wahai Jiwa Pejuang


RAPAT UMUM SELAMATKAN GAZA DI BANDAR BARU BANGI
HADIRLAH WAHAI PERIBADI-PERIBADI MUSLIM!
read more...