photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, April 13, 2009

Antara Pemimpin Terpilih dengan Pemimpin Dipilih

"Tamparan hebat buat Najib"

"Hidup Nizar"

"Bubarkan DUN"

Itu adalah antara bunyi-bunyi yang digendangkan oleh media alternatif sempena menyambut kemenangan cemerlang YAB Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin di PRK Bukit Gantang. Kemenangan yang menyentap keangkuhan kepemimpinan Barisan Nasional yang baru sahaja mendapat suntikan semangat dengan peralihan kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Rasanya belum terlalu terlambat untuk saya merakamkan ucapan syabas kepada Ir Nizar di atas kepercayaan rakyat yang diperolehnya pada PRK yang baru sahaja berlabuh. Satu pengalaman yang mendebarkan. Mana tidaknya, ini adalah sebuah referendum kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Najib Tun Abdul Razak amnya dan kerajaan haram BN Perak pimpinan Dr Zamry Abdul Kadir.

Sedari awal PAS (Pakatan Rakyat) mewar-warnya sebagai referendum. Kalau kalah tak ke mencari padah namanya. Optimistik pemimpin PAS dan PR terzahir jelas di mata rakyat. BN dengan slogan "Mohon Restu Rakyat" nampaknya jatuh tersadung tersembam dengan senjata dan peluru mereka sendiri.

"People has spoken", tegas Ir Nizar ketika diwawancara oleh MStar.

Ya, suara rakyat sangat jelas. Politik jalan belakang, tanpa akhlak, tiada etika dan bias ditolak secara total. Ini bukan lagi tahun 60-an, 70-an. Rakyat adalah masyarakat yang terdidik dan berpersekitaran yang bermaklumat.

Memelihara kejayaan lebih sukar dari mencapainya

Untuk mengisi satu kemenangan adalah jauh lebih sukar daripada mencapai kemenangan itu sendiri. Inilah sunnatullah. Mendapatkan sebidang tanah nyata sukar. Untuk mengusahakan tanah itu sehingga menjadi sebuah kebun atau ladang jauh lebih sukar. Lebih malang jika usahanya terencat separuh jalan.

Justeru sifat pemimpin benar-benar bertanggungjawab ialah bukan sahaja semata-mata mengusahakan kemenangan itu bahkan lebih memikirkan bagaimana mengisi kemenangan yang telah dianugerahkan itu. Seorang lelaki yang baik misalnya tidak hanya memikirkan untuk mendapatkan isteri yang solehah. Lebih dari itu dia sentiasa memikirkan bagaimana untuk mengisi kehidupan suami isteri sebagaimana yang digariskan oleh syarak selain untuk memberikan perlindungan dan keselesaan kepada keluarganya.

Lihat sahaja perangai dan telatah wakil rakyat di Parlimen. Terpampang di kaca televisyen kerusi-kerusi kosong lebih banyak dari yang terisi. Yang hadir pula ada yang tidur atau sekadar memanaskan kerusi sahaja. Inikah kualiti wakil rakyat yang kita harapkan?

Kalau untuk menghadiri sebuah mesyuarat seperti itu di dalam dewan yang penuh selesa dan berhawa dingin pun gagal, janganlah mengharap lebih.

Begitu juga dengan dunia politik kampus. Perwakilan mahasiswa pun apa kurangnya. Merajuk tidak dapat jawatan idaman, tidak hadir mesyuarat kabinet berbulan-bulan, tidak bersungguh, malas turun padang, tidak mesra mahasiswa dan segala macam lagi kerenah pemimpin mahasiswa yang dibenam dalam lipatan sejarah.

Mereka yang benar-benar ikhlas merasakan kepimpinan adalah satu tanggungjawab yang amat . berat. Satu tugas yang berkehendak kepada sifat al-quwwah (kekuatan/kemampuan) dan amanah.

Sirah para pemimpin Islam silam jelas memaparkan kepada kita betapa apabila diamanahkan dengan urusan kepimpinan, mereka begitu bimbang kalau-kalau tidak dapat mengisi "kemenangan" sebaik dilantik pemimpin.

Abu Bakar, Umar Al-Khattab, Uthman Affan, Ali Abi Talib sentiasa diselubungi rasa takut bercampur harap apabila diamanahkan jawatan khalifah kepada mereka.

Saya teringat bagaimana YB Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ketika dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu beberapa tahun lalu menangis mengenangkan besarnya amanah yang dipikulkan di pundak beliau. Kebimbangan dan tangisannya sehingga DYMM Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin memujuk dan mententeramkan TGAH dengan satu pelukan yang penuh erat dan kasih-sayang.

Nah, inilah pemimpin yang terdidik dengan sirah nabawiyyah dan para sahabat.

Moga kita semua dipimpin oleh kepemimpinan bertaqwa dan dilindungi dari kejahatan pemimpin-pemimpin yang beraja di mata, bersultan di hati.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Antara Pemimpin Terpilih dengan Pemimpin Dipilih"

Malaysia said...

masalahnya Nizar sendiri mengatakan didalam dun Perak PAS tidak ingin laksanakan pemerintahan islam...
saya sedikit tidak tertarik dengan kepimpinan nizar,
walaupun mengkagumi Tok guru hadi awang dan allahyarham Fadzil norr