Wednesday, August 5, 2009

Bukan Kita Yang Punya


Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

[Al-Baqarah 2:284]



Bangun sahaja dari tidur kita sedar bahawa itu adalah peluang dan ruang yang diberikan Allah untuk meneruskan kehidupan atas muka bumi ini. Hidup dengan menggalas misi Tuhan. Apakah ia akan disempurnakan atau leka dengan kepalsuan duniawi.

Lahir ke dunia sememangnya kita tak punya apa-apa.

Hari ini kita dapat melihat dunia. Pokok dengan hijaunya. Laut membiru dengan ombak menderu, gunung-ganang yang menggamit rasa, merenung wajah sang ibu dan bapa. Melihat dan memerhati bintang di langit dan segala macam kejadian ciptaan Allah. Bukankah itu satu kurniaan yang maha besar dan hebat.

Namun ingat, kurniaan ini bukan kekal. Ia hanyalah pinjaman dari Sang Pencipta, Rabbul Jalil.

Detik ini kita masih mampu mendengar. Justeru kerana telinga kita berfungsi atas peranannya. Mendengar burung-burung berkicauan, suara lantang si guru mengajar, gemersik alunan Al-Quran dan seumpamanya. Maka kita sedar pasti kaget separuh mati kalau tiba-tiba pinjaman itu ditarik balik. Atau mungkin saja pinjaman disekat.

Saat ini mulut yang satu masih mampu berbicara. Gurau senda dengan rakan taulan, bertanya khabar, membaca Al-Quran, berbincang dan segala macam lagi. Sungguh pinjaman ini sangat besar ertinya.

Piramid, Menara Condong Pisa, Tembok Besar China, Taj Mahal, Machu Pichu, Collossium, Taman Tergantung Babylon, Stonehenge.

Saya pasti anda pasti tahu tentang 7 keajaiban dunia. Kebetulan sekarang ini satu organisasi sedang membuat undian untuk senarai baru 7 keajaiban dunia berdasarkan undian masyarakat dunia. Semua yang disebut di atas adalah antara item-item yang disenaraikan.

Berceritalah manusia tentang taajubnya mereka dengan 7 keajaiban dunia. Itu keluarkan artikel itu dan ini bagi berkongsi rasa.

Sayang manusia lupa apa yang ada pada kejadian mereka itu adalah satu keajaiban yang maha hebat. Itulah tanda keagungan Sang Pencipta, Allah swt.

Tanpa mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan lain-lain sama sekali manusia tidak mampu membina apa yang dikatakan 7 keajaiban dunia. Sudah pastinya logiknya, kejadian manusia itu sendiri lebih hebat.

Tapi kita kena sedar bahawa ianya adalah pinjaman. Bila kita sebut pinjaman secara tak langsung ia membawa maksud benda itu bukan kita punya.

Macam kita pinjam kereta daripada kawan kita. Oleh kerana itu orang lain yang punya, mana boleh kita buat suka-suka hati. Ada adab dan aturan yang mesti kita ikut. Tak bolehlah ikut pandai sendiri. Tukar kusyen kereta, tukar cat baru, tampal pelekat mengikut selera kita. Sebab apa tak boleh? Memang itu bukan kita punya maka logiknya memang begitu.

Sama jugalah kita dengan Allah. Bila kata semua yang kita ada ini bukan milik kita; milik Allah Taala. Sewajarnya manusia mahu tak mahu dia kena ikut apa yang telah ditetapkan oleh pihak yang memberi pinjaman.

Apa yang disuruh, buatlah. Apa yang dilarang, tinggalkanlah. Kerana inilah adab dan aturan. Fitrah memang begitu.

Hari ini kita macam tak sedar akan hakikat ini. Kita lupa siapa hamba dan siapa Tuhan.

Yang ini kena tepuk dada, tanya iman.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Bukan Kita Yang Punya"

miss BazLa' said...

Ya, ia sungguh benar sekali...
(tapi ada ke manusia kat dunia ini yang tak pernah leka? huh..)