photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, December 21, 2009

Hijrah untuk Berubah


" Orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharap rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"

[Al-Baqarah 2:218]

Hijrah dalam bentuk sebagaimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw dan para sahabat 1431 tahun yang lalu sememang sudah tiada. Baginda saw secara rasminya memasyhurkan bahawa tiada lagi hijrah selepas Fathu Makkah.

Maka yang tinggal hanyalah semangat hijrah. Semangat itulah yang diguna pakai dalam bentuk islah diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada kejahatan kepada kebaikan, kejahilan kepada ketaqwaan, kezaliman kepada keadilan, kufur kepada Islam, nifaq kepada iman, gelap kepada cahaya dan begitulah seterusnya. Ringkasnya ia menuntut kepada yang lebih baik, itulah matlamatnya.

Adapun bila tahun bersilih ganti, sekian banyak manusia sibuk dengan azam baru (baca azam lama yang dibarukan, repacking). Bukan tidak boleh, bahkan digalak. Namun jangan seperti menanam tebu di bibir. Habisnya sekadar di situ. Tidak kurang, tidak lebih.

Sebut sahaja hijrah, mahu tak mahu ia terkait dengan berubah. Maka bila bicara soal berubah, ia nanti jadi payah.

Perokok yang setia dengan rokoknya, manakan mudah hendak berhenti. Pegawai yang kerjanya pegang pen, payah juga mahu menyabit rumput. Orang yang tidak biasa berkain pelekat, memang susahlah mahu bersarung solat di masjid.

Tapi bukanlah kata tidak boleh. Boleh itu boleh. Sementara nak bagi boleh ia pastinya memakan masa. Sementara memakan masa pastinya ia sedikit sukar dan liat juga. Pesan orang-orang tua, alah bisa tegal biasa. Itulah natijah.

Hasilnya pasti lumayan. Dari susah mahu berpuasa sunat, senang pula jadinya. Dari tak pernah berqiamullail, bangun juga dia sekali sekali. Dari jarang membaca Al-Quran, boleh jadi ia rajin berusaha membaca.

Justeru apapun azam kita dan mereka, kunci hijrah hanya satu. Lakukan dengan sepenuh hatimu.

Sudahkah anda berselawat ke atas baginda Rasul saw? Berselawatlah sebagai tanda syukur atas usaha baginda saw dan para sahabat kita bisa selamat atas jalan iman dan Islam.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Hijrah untuk Berubah"