photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, December 21, 2009

Sedetik bersama 'Alamah Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Fikrah yang mendasari hidup ini sememangnya sangat dipengaruhi oleh pandangan pemikir dan ulama muktabar masa kini, Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Meneliti dan memahami hasil tulisan Al-Qaradhawi adalah antara perkara yang besar dalam membentuk fikrah aku dan dari situlah aku bergerak dalam dunia dakwah dan tarbiyyah.

Ulama pewaris para nabi, itu tegasan baginda Rasulullah saw untuk menunjukkan bahawa golongan inilah yang akan menyambung mata rantai ilmu dan dakwah Islam setelah kewafatan baginda Rasulullah saw.

Ditakdirkan untukku untuk melihat dan mendengar langsung dari diri Al-Qaradhawi yang datang ke Malaysia sebagai tetamu negara. Malaysia menganugerahkan kepadanya Tokoh Maal Hijrah 1431. Bagi aku, itu satu penghormatan yang selayaknya kerana sumbangan besar yang curahkan oleh beliau kepada umat Islam di negara ini dari pelbagai disiplin ilmu Islam. Setelah Dr. Wahbah Az-Zuhaili dikurniakan anugerah yang sama tahun lepas, aku mengharapkan agar Al-Qaradhawi juga akan dihormati begitu. Benar, 1431 Hijrah beliau benar-benar beroleh penghormatan sedemikian.

Aku berkesempatan menghadiri Muhadharah Perdana oleh Al-Qaradhawi di PICC, Putrajaya. Alangkah bertuah rasanya. Tiada kata untuk meluahkan apa yang terpendam. Al-Qaradhawi berucap panjang menerangkan tentang Fiqh Jihad. Aku tertarik pada lenggok bahasanya. Susah pada orang lain, tapi baginya itu mudah diungkap dan diperjelaskan.

Pada hari yang sama (19 Disember) selesai sahaja Solat Maghrib, aku bergegas ke Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz, Shah Alam. Al-Qaradhawi berucap. Lautan manusia di sana. Kelewatan memaksa aku meletak kereta agak jauh dari masjid. Menapak dan melangkah masuk ke dalam majlis ilmu yang padanya rahmat Allah dan lindungan sayap para malaikat-Nya.

Aku redah belaka. Mungkin inilah peluang yang satu-satunya diberikan Allah untuk aku menatap dari dekat wajah sang murabbi. Itu bukan hasrat aku sahaja, semua yang hadir juga begitu.

Selesai sahaja majlis, keadaan agak kecoh dan tidak terkawal. Hadirin berpusu dan berebut untuk mendekati sosok tubuh ulama besar dunia itu. Faktor kesihatan menghalang beliau untuk bersalaman sementelah kekalutan yang mungkin saja akan membahayakan Al-Qaradhawi.

Sang Murabbi itu melintas di hadapanku. Saat paling dekat sekali cuma 50cm jarak kami. Aku hanya melihat. Keadaan tidak mengizinkan untuk aku berjabat dan mengucup peribadi yang sangat aku kagumi itu.

Keadaan semakin kecoh dan hilang kawalan. Aku sempat menarik Tan Sri Khalid Ibrahim daripada terjerumus dalam lautan manusia. Begitu juga Dato' Dr Hasan Ali. Jika tidak mungkin saja Menteri Besar dan Exco Selangor itu jatuh dihempap hadirin yang terus berusaha merapati Al-Qaradhawi.

Aku kesal sebenarnya. Bagaimana tiada kawalan yang rapi sepanjang keberadaan 'Alamah Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sedangkan beliau adalah tetamu Kerajaan Malaysia. Tiada laluan khas, tiada pengawal khusus, tiada polis pengiring. Tak sepatutnya ini berlaku kepada seorang bertaraf ulama besar dunia.

Selesai sahaja majlis aku terus bergegas pulang.

Keberkatan ulama

Teringat ceramah Dato' Ismail Kamus 12 tahun yang lalu. Diceritakan 2 orang pemuda bersahabat baik dan rapat. Seorang sifatkan bertakwa dan sangat cintakan ulama dan seorang lagi hanya pemuda biasa yang sering kali alpa.

Di Padang Mahsyar Allah memerintahkan malaikatnya untuk menghisab dua orang pemuda ini. Pemuda yang pertama beroleh nikmat di Syurga atas amalan yang dilakukannya di dunia dahulu. Manakala sahabatnya tidak begitu. Memang Nerakalah tempat kembalinya.

Namun Allah memerintahkah malaikatnya hisab dan cari asbab untuk memasukkan pemuda malang itu ke Syurga-Nya. Puas malaikat meneliti. Jawapannya tetap sama, Neraka.

Allah Taala yang maha pemurah lagi maha penyayang memerintahkan malaikat-Nya memasukkan juga pemuda itu ke Syurga.

Terasa aneh dan pelik dengan arahan itu lalu malaikatpun bertanya, Ya Allah! mengapa diberikan Syurga kepadanya sedangkan itu bukan yang selayak baginya?

Jawab Allah swt, kerana dia cintakan sahabatnya dan sahabat itu cintakan ulama.

Subhanallah. Besarlah kelebihan dan keistimewaan ulama di sisi Allah dan Rasul. Justeru, seharusnya kita berlumba-lumba mendekati para alim ulama kerana di situ ada berkat dan rahmat Allah.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Sedetik bersama 'Alamah Prof Dr Yusuf Al-Qaradhawi"