photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, December 22, 2009

Mencari Susah Yang Hilang


"Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barang siapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagianpun di akhirat"

[As-Syura 42:20]

Para sahabat Rasulullah saw sangat gusar dan gelisah jiwa mereka tatkala sudah lama tidak ditimpa dengan kesusahan, musibah atau rasa sakit. Mereka takut nikmat dunia yang fana' memalingkan pandangan dan tumpuan mereka kepada nikmat akhirat yang kekal.

Kesakitan, kesusahan dan penderitaan adalah ujian iman. Hadirnya bersama kifarah dosa, mengangkat darjat, menambah pahala dan meneguh iman. Bagi para sahabat itu tandanya Allah Taala memberikan perhatian kepada mereka.

Berada terlalu lama dalam kesenangan dan kemewahan tanpa secebis rasa susah dan perit, bisa saja membuatkan kita berasa selesa dan lupa diri. Tiada apa yang perlu dirunsingkan itulah yang sebenarnya yang perlu dirunsingkan.

Muhasabah pula diri kita. Bilakah kali terakhir kita berlapar dahaga? Bilakah kali terakhir kita merasa sakit dan ditimpa musibah yang menguji tahap keselesaan dan kesabaran ini?

Perkara ini sebenarnya yang berlegar-legar di ruang kepala. Meneliti satu persatu perjalanan hidup membuatkan aku termangu memikirkannya.

"Mencari susah yang hilang...", itulah yang bermain di fikiran.

Sebagai anak peneroka FELDA, kewangan adalah sesuatu yang terhad bagi kami. Usahkah untuk berbelanja, untuk makan minum ianya dicatu. Wang yang sedikit mesti diurusbelanja dengan cermat.

Pernah juga seminggu tidak menjamah nasi. Hanya biskut kering berlaukkan air masak. Menu ini bukanlah asing. Lemah lesu menghadirir kuliah. Tapi itulah kisahnya.

Terjun ke dalam dunia kefasilitatoran adalah antara inisiatif untuk menambah duit poket yang tidak seberapa. Upah itu digunakan untuk menampung sedikit sebanyak perbelanjaan sebagai seorang mahasiswa yang berkelana menuntut ilmu di negeri orang.

Aku masih teringat dan akan ingat sampai bila-bila saat saya mengedarkan sakla-sakla (flyers) dari rumah ke rumah. Aku diupah oleh sebuah syarikat untuk tujuan itu. Merata cerok Bangi sakla-sakla itu aku edarkan. Upahnya tidak lumayan. Cuma 6 sen sehelai. Jika 2000 helai bermakna aku perlu menerjah peti-peti surat 2000 buah rumah. Namun nilai duit yang kecil itu sangat berharga bagi insan seperti aku atau mungkin juga sahabat di luar sana.

Kini sudah hampir 2 tahun aku meninggalkan alam perkuliahan. Sibuk dengan kerjaya dalam masa yang sama menyumbang untuk keluarga dan ummah.

Jika dahulunya makanpun bercatu, kini agaknya makan minum berlebih-lebih. Bila duit bukan lagi masalah, maka di situ bermulalah masalah.

Masalahnya ialah kita tidak merasai keperitan dan kesusahan hidup. Nikmat RM1 menjadi kecil atau mungkin saja hilang harganya.

"Rozi, aku nak minta tolong engkau edarkan flyers aku!"

Suara guru SK Seksyen 2 Bandar Baru Bangi, Cikgu Pauzi di hujung talian. Dia memiliki sebuah pusat tuisyen dan pendaftaran mula dibuka.

Sukar sebenarnya untuk aku mengatakan tidak apalagi kepada seorang guru. Itu cara aku bermuamalat dengan guru-guru sedari bangku sekolah dahulu. Namun untuk melakukan pekerjaan yang sudah lama aku tinggalkan itu jauh lebih sukar.

Dalam keadaan sekarang yang aku boleh mendapatkan lebih wang dengan cara yang tidak seperit itu menambahkan lagi rasa berat dan benar-benar menguji.

"Tak berbaloilah. 6 sen je", getus hati kecilku. Bermulalah masalah pertama, demand.

"Dah lama aku tak rasa susah. Inilah masanya untuk dapat balik perasaan tu. Bukan senang nak jadi senang!", aku mula merasionalkan amanah yang telah aku terima itu.

Ya, kali ini aku lakukan bukan kerana nilai upah. Bahkan aku sebenarnya mencari susah yang sudah hilang. Aku mahu ia bertamu agar aku ingat mana asalku.

Moga nikmat dan kesenangan dunia tidak menyilaukan mata hati untuk terus berusaha meraih laba besar di akhirat sana.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Mencari Susah Yang Hilang"