photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, April 7, 2010

Mati Tetap Mati


"Tiap-tiap jiwa pasti akan merasi mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan." [Al-Anbia' 21:35]

Lihat sahaja sekeliling kita pastinya bertemu tentang satu hakikat nyata atas dunia ini. Yang muda akan tua dan yang hidup akan mati.

Dulu di belakang rumah ada pokok Durian Tembaga. Sedap dan cantik isinya. Sekarang pokok itu sudah tiada lagi. Dulu ada dari kita yang asyik mendengar datuk atau nenek bercerita kisah-kisah rakyat dan teladan. Masa itu memang seronok kerana kasih-sayang mereka kita merasa. Tapi itu dulu. Sekarang bukan kata mendengar cerita, jasad mereka pun sudah tiada.

Mati tetap mati.

Takut macam mana pun, mati tetap bertamu. Kalau berani tahap gaban pun, mati juga. Ke utara, selatan, timur dan barat tidak ada satu tempat untuk lari dari kematian.

Manusia, jin, malaikat, tumbuhan, binatang semuanya pasti merasa mati. Hatta batu dan tanah sekalipun. Selagimana ia bernama makhluk, yang dicipta dia takkan lari ke mana.

Kehidupan dan kematian memang dicipta silih berganti. Asal mula mati. Kemudian hidup atas dunia. Selesai urusannya mati bertandang. Seterusnya dihidupkan semula di Mahsyar sana. Maka di situlah kehidupan yang kekal abadi. Cuma bezanya ke syurga atau ke neraka.

Cerita bab mati, disiplin ilmu Sains pun tak mampu membongkar rahsia alam ini. Perbincangan tentangnya tidak pernah habis. Dari satu kajian kepada satu kajian, dari satu eksperimen kepada satu eksperimen. Semuanya tidak bertemu jawapan.

Memang Allah sembunyikan sebagai satu ujian untuk kita semua. Kematian adalah misteri dan hanya dalam pengetahuan Allah sahaja.

Soalnya sekarang bukan mati atau hidup, takut atau berani tetapi adakah kita sudah mengurus kematian yang datangnya tidak beralamat itu.

Baru-baru ini saya berkesempatan pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta. Masa cuti Sabtu dan Ahad saya habiskan di sana.

Kebetulan kepulangan saya beriring dengan kematian bapa mertua kak Long. Perkhabaran itu membuatkan setiap jiwa yang kenal dengannya tertanya-tanya. Di saat kawan-kawan seusianya (60an)menderita penyakit darah tinggi, kencing manis, sakit buah pinggang dan lain-lain, dia nyata masih gagah menebang balak, bercucuk tanam.

Menziarah jenazah sebagai penghormatan terakhir adalah satu amalan yang menginsafkan. Saya menatap wajah pucat itu sedang saya berfikir jika yang terbaring kaku itu adalah diri ini.

Sungguh saya tidak punya jawapan yang kuat untuk berdepan dengan Sang Pencipta.

"Iya, mati memang sakit sebab itu orang takut. Tapi yang lebih patut digerunkan ialah tentatif selepas mati!" bisik hatiku.

Bersediakan kita dipanggil oleh-Nya?

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Mati Tetap Mati"