Friday, April 9, 2010

Kejarlah Syurgamu


"Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih-sayang dan ucapkanlah: Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil."

[Al-Isra' 17:24]

Setiap dari kita pasti punya ibu dan bapa. Kita bukan Adam as yang tidak beribu dan berbapa. Kita juga bukan Isa as yang punya ibu tapi tak punya bapa. Nyata bandingan tidak secocok. Itu mereka dan ini kita. Manusia biasa yang hidup atas dunia.

Membelek helaian-helaian Al-Quran mahupun hadis Rasulullah menemukan kita dengan sekian banyak suruhan, tuntutan dan ajaran memuliakan dua insan yang sangat bererti dalam kehidupan setiap kita. Sesuai dengan jasanya, Allah dan Rasul meletakkan insan ini dalam kedudukan yang cukup istimewa bahkan lebih dari apa yang diajar oleh agama-agama selainnya.

Dalam hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah bersabda, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan kedua ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak kepada kemurkaan kedua ibubapa.

Betapa tingginya darjat dan kedudukan mereka. Rasulullah mengesahkan ia dengan satu penyataan yang cukup jelas buat kita semua.

Maka seharusnya dalam hati kita punya satu ketakutan untuk berlaku derhaka dan kurang ajar dengan mereka. Usah kata ingin menghalau mereka dari rumah, menampar, memukul. Bahkan untuk membentak "ah!" itu sudah berdosa.

Hidup dengan belai kasih dan mesra manja ibubapa adalah satu nikmat yang sangat mengesan dalam hati sehingga hujung nyawa.

Saya banyak belajar dari kehidupan. Anda juga begitu. Kata orang bijak pandai, ijazah terbaik datangnya dari jalanan (pengalaman hidup). Saya melihat susah payah seorang ibu mendidik anak-anaknya. Pahit jerih seorang ayah membesarkan putera-puteri kesayangannya.

Dulu ketika kecil dimarah dirotan itu biasa. Rempah-rencah dalam kehidupan kita yang sedang membesar dan mahu mengenal dunia.

"Engkau jangan fikir pasal duit. Pandailah abah nanti." tegas abah bila saya bimbang soal kewangan masa alam belajar. Saya tidak berani untuk bercakap soal sambung belajar mengenangkan saraan abah ketika itu. Saya merasa begitu tapi abah tidak. Itu bukan soal. Bagi dia, itu adalah tanggungjawab dan dia tidak akan lari.

Dulu rumah saya tiada bekalan air. Abahlah yang menggali telaga di belakang rumah. Seminggu abah demam selepas tapak kakinya terbelah dek kaca semasa menggali. Masih terasa sejuk dan segar mandi di telaga itu di subuh hari. Saya tidak lupa itu.

Pendapatan abah sebagai peneroka hanya sekadarnya bagi membesarkan enam orang anaknya. Maka mak banyak mengambil peranan membantu. Mak berniaga. Keliling kampung dipusingnya membaca kerepek dan jeruk. Ramai pelanggan tetap, bising kalau mak lama tidak berniaga.

Semua ini mengajar saya erti sebuah tanggungjawab dan pengorbanan. Memang sepatutnyalah Islam meletakkan mereka di kedudukan yang sangat tinggi dan mulia.

"Mak ni macam takde orang lain!" getus saya apabila disuruh mak.

Basuh pinggan muka ni, ke kilang muka ni, sapu sampah muka ni, ambil tanah di kilang. Hampir semua yang diminta tolong nama saya yang akan naik dahulu. Padahal yang lain ada juga. Memang saya tarik muka.

Tapi satu hari saya baru faham bahawa emak selesa dengan saya dan kerana itu mak melebihkan saya dalam setiap urusan kerja hatta keluar ke bandar Kuantan atau Pekan, mak akan hanya mahu saya temankan. Tiada lagi ngomelan, cebik muka dan lain-lain. Hanya menurut sahaja.

Kini wajah mak dan abah tidak semuda dahulu. Ukir-ukir kedutan di wajah seiring dibawa usia. Kedutan-kedutan yang terbentuk kerana gembira, teruja, pahit, manis, suka dan duka membesarkan anak-anak tercinta. Namun wajah itu sarat dengan kasih dan sayang yang melangit angkasa.

Berbuat baiklah kita terhadap keduanya sebagaimana yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya. Selagi hayat dikandung badan, sebelum budi dikandung tanah.

Kejarlah Syurgamu!

Ya Allah, Engkau kurniakanlah kepada kedua ibubapaku kesihatan dan keselamatan, kebahagiaan dan kesejahteraan, kedamaian dan ketenangan, kesenangan dan kelapangan. Kasihanilah mereka sepertimana mereka menyayangiku dan mengasihiku sewaktu kecilku.



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Kejarlah Syurgamu"

nURuL said...

KRU-Penjunjung Namaku

Setiap titis airmata
Setiap saat nan berduka
Mengajar aku erti dunia
Tak ku lupa pengorbanan kehidupan
Memikul beban di bahu nan selalu
Memberi yang termampu

Ayahku terlalu menyayangi aku
Mendedikasikan hidupnya kepadaku
Dan ibu sentiasa ada bersama
Walau serendah mana aku
Dia tetap menjunjung namaku

Biarku belai tanganmu
Yang telah ditelan usia
Namun penuh berjasa... mulia
Terlalu lama impianku luahkan rasa
Kesyukuranku di hati
Pada dua insan paling ku sayangi

Biar ku hilang segalanya
Harta, benda ataupun nyawa
Asal tak ku hilang kau berdua
Dan aku berdoa
Semoga sejahtera selamanya
Hidup kita sekeluarga
Di dunia dan selepasnya