photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Sunday, April 11, 2010

Khabar Buat Penyabar


"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." [Az-Zumar 39:10]

Semua dari kita hidup atas muka dunia yang kita panggil bumi. Ini bukan syurga. Atas sebab ini adalah dunia, maka mahu tidak mahu kita akan berdepan dengan segala macam karenah dunia dan segala isinya. Untuk mendepani semua ini salah satunya harus ada pada kita sifat sabar.

Tidaklah bermakna sebagai yang menulis saya telah menguasai dan menterjemahkan sifat ini dengan sempurna bahkan ini adalah sebahagian perkongsian untuk nasihat saya dan pembaca-pembaca semua.

Allah dan rasul-Nya kasih kepada orang yang bersabar. Bahkan saya rasa tidak ada manusia yang menyampah dengan sang penyabar. Lebih dari itu, orang penyabar dimuliakan dan dihormati.

"Allah sentiasa mencintai orang yang bersabar." [Ali Imran 3:146], "Allah bersama orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah 2:153]. Dua ayat ini menjelaskan kepada kita betapa orang yang sabar mendapat tempat yang istimewa di sisi Tuhannya.

Alangkah indahnya hidup dicintai Tuhan. Semua manusia mengimpikannya. Dan Allah berjanji dalam kitab-Nya bahawa Dia mencintai orang yang bersabar. Bukankah ini satu janji juga boleh dikira sebagai sebuah tawaran yang sangat istimewa buat mereka yang ingin memiliki.

Bilamana Allah berfirman bahawa dia bersama orang-orang yang bersabar sungguh Allah memaksudkannya. Kata Tuhan tidak seperti manusia. Bila manusia berkata atau berjanji belum tentu dikota. Kalaupun dikota, terkadang atas hal-hal yang tak dapat dielak ianya jadi terlewat dan sebagainya.

Berbahagialah kita didampingi Tuhan Sang Pencipta. Ini bermaksud kita sentiasa dibantu dan dipimpin Tuhan. Hidup menjadi tenang dan terarah.

Sabar itu maksudnya menahan. Menahan diri dari akhlak yang buruk apabila berdepan dengan sesuatu.

Banyak keadaan menuntut kita bersifat sabar.

Sabar dalam melaksanakan tuntutan agama. Tanpa sabar sukar rasanya ia disempurnakan dengan baik dan tertib. Sembahyang kalau tidak sabar jadi macam ayam mematuk bertih. Puasa kalau tidak sabar alamatnya puasa yangyok. Menuntut ilmu pastinya dengan sabar. Kerana susah itu pasti.

"Engkau ni laju-laju nak ke mana? Baca balik!", sergah abah bila saya membaca Al-Quran macam keretapi sewaktu kecil dahulu. Kalau tak sabar itulah jadinya.

Orang berjuang lagi-lagilah perlukan sabar sebagai teman akrabnya. Perjuangan adalah pengorbanan. Rela terhina kerana kebenaran, hilang keluarga, sahabat, pangkat dan harta. Para sahabat Rasulullah telah menunjukkan jalan kepada kita bagaimana mereka mendepaninya. Sabar itulah kuncinya.

Dalam menghadapi ketentuan Allah juga sabar punya peranan yang besar di sana. Menerima takdir gembira, sukacita dan bahagia nyata tidaklah sukar. Terlalu mudah. Tetapi yang menjadi hal ialah yang penuh duka dan hampa.

Sekian banyak jenis sabar tidaklah termasuk di dalamnya apabila mendiamkan diri melihat agama dihina, maruah dihinjak dan segala macam kezaliman di atas muka bumi. Itu bukan sabar, itu bacul namanya.

Suka saya bawakan firman Allah yang bermaksud, "Berikanlah khabar gembira bagi orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan mereka berkata: 'Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali', mereka itu ialah orang yang menerima selawat dari Tuhan mereka dan rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." [Al-Baqarah 2:155-157]

Ada sesiapa lagi yang tidak berminat?

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Khabar Buat Penyabar"

nurulhuda said...

salam perjuangan, syukran atas post yg insyaallah memberi manfaat kpd setiap individu muslim. hidup mulia mati syahid!