photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Friday, April 16, 2010

Membaca, Perpustakaan Negara


"Bacalah dengan menyebut nama Tuhamu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmulah yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." [Al-'Alaq 96:1-5]

Lebih 1400 tahun yang lalu bapa kita, Muhammad saw menerima wahyu dari Tuhannya. Bermulalah satu perubahan besar ke atas dunia dan alam ini seluruhnya. 5 ayat di atas adalah kandungan kalam suci Sang Pencipta kepada utusan-Nya yang mulia.

Antara instumen untuk kita dapatkan ilmu ialah membaca. Kata orang timur, membaca itu jambatan ilmu.

Membaca membawa tahu. Maka sebab itu ia ditekankan pada ayat pertama yang diturunkan. Sepertinya Allah ingin memberitahu semua dari kita bahawa ada sesuatu yang besar yang dapat diraih sekiranya membaca itu sudah budaya.

Cuba lihat sekitar kita. Berapa buku yang sudah kita miliki atau mungkin sudah berapa naskhah kita baca?

Dengan membacalah manusia mampu mengubah dunia kerana di sana ada ilmu dan pengetahuan. Oleh sebab itu adalah asas pemikiran dan keterbukaan minda. Di sana bermulanya titik perubahan kepada yang lebih baik.

Lihat sahaja di zaman Islam memerintah dunia. Ambil saja kisah di kota tumpuan dunia pada ketika itu, Baghdad.

Ketika mana Monggol dan Tartar merempuh Baghdad, 13 perpustakaan besar diroboh dan dibakar segala isinya. Juga dicampak ke Sungai Furat sehingga hitam airnya dek cairan dakwat dari jutaan buku.

Semua ini nak tunjukkan kepada kita betapa masyarakat silam adalah masyarakat membaca dan sangat cintakan ilmu. Tak peliklah nenek moyang kita menguasai dunia kerana ilmu dan pengetahuan di dalam tangan-tangan mereka.

Hari ini pula bagaimana?

Kuala Lumpur sebagai ibu negara. Berapa banyak perpustakaan besar di sana? Saya jawab, 1. Yang satu itu pun sangat daif dan ketinggalan buku dan bahan-bahannya.

Sebab itu kita jangan mengeluh negara ini penuh dengan 1001 masalah yang melanda. Kebejatan masyarakat, keruntuhan moral, penyelewengan kuasa, IPT yang tiada bernombor dalam senarai dunia dan banyak lagi.

"Susahnyalah nak ke Perpustakaan Negara!"

Itu ayat biasa bagi siapa yang berhajat untuk ke Perpustakaan Negara. Dulu mungkin lokasinya strategik tapi sekarang ia menyukarkan, terperosok pula. Memang mematikan niat.

Saya puji hasrat kerajaan ingin menggalakkan budaya membaca dalam masyarakat apalagi mahasiswa. Banyak ikhtiar dilakukan dan bukan sedikit wang yang dibelanja untuk menjayakan hasrat murni ini.

Cuma saya kira ada beberapa perkara yang terlepas pandang. Salah satu daripadanya ialah Perpustakaan Negara itu sendiri.

Setiap negara mempunyai perpustakaannya sendiri. Paling tidak satu. Lihat saja di Amerika, Canada, Perancis, England, Jepun, Korea, Singapura dan banyak lagi negara maju, perpustakaan negara mereka sangat terkedepan dalam soal bahan-bahan dan tawaran perkhidmatannya. Ini merupakan imej sebenarnya. Gambaran bagaimana ia menjadi rujukan dan tumpuan kepada masyarakat yang cintakan ilmu.

Beberapa tahun lalu ketika mana saya berkesempatan ke Singapura, peluang ke perpustakaan kota singa itu tidak saya lepaskan.

Perpustakaan yang sangat besar. Jutaan buku, majalah, makalah, dan jurnal yang bersusun kemas di dalamnya. Perkhidmatan pinjam dan pulang yang sangat mudah dan efisyen. Saya kira perpustakaan ini sangat membantu dalam menggalakkan masyarakat datang mengimarahkannya. Ribuan orang membanjirinya dari yang kecil sehingga yang tua.

Suasana ini sangat terbalik di tanah air.

Perpustakaan Negara sangat daif dan kusam. Tiada daya penarik dan perkhidmatannya tidak ubah seperti 20 tahun dahulu. Bukan kata nak tarik pengunjung baru, yang sudah datang seperti saya dan rakan-rakan bagaikan serik. Tidak pulang dengan senyuman bahkan menjadi tukang bebel seharian.

Saya tak tahu berapa ramai pengunjung dari luar negara yang pernah ke Perpustakaan Negara tapi jelas ini sangat memalukan dan satu imej yang sangat menyedihkan.

Saya cadang beginilah.

Memandangkan lokasi Perpustakaan Negara ketika ini sudah tidak stategik. Tiada akses yang banyak melainkan dengan teksi atau kenderaan persendirian sahaja, maka eloklah dipindahkan sahaja. KLCC saya kira sangat praktikal. Selain terletak di segi tiga emas ibukota yang menjadi tumpuan segenap lapisan masayarakat, ianya juga mempunyai akses mudah.

Biar selepas ini orang ke KLCC bukan untuk membuang masa dengan melepak dan mencuci mata (nak membeli pun berapa kerat sangat yang mampu). Tetapi ada satu tarikan yang lebih besar dan bermanfaat.

MEMBACA!


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Membaca, Perpustakaan Negara"