Tuesday, May 18, 2010

Lilin Seorang Guru, Selamat Hari Guru


"Kami tiada mengutus rasul rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui."

[Al-Anbia' 21: 7]

Setiap dari kita pasti punya seseorang yang mengajar dan mendidik kita dari tidak tahu kepada tahu, dari tidak mengerti kepada memahami, dari jahil kepada alim, dari gelap kepada terang cahaya. Bahasa mudahnya mereka inilah guru.

Setiap tanggal 16 Mei segenap lapisan masyarakat meraikan Hari Guru bagi mengenang jasa bakti mereka mengajar kita tanpa kenal erti penat jemu.

Kami guru Malaysia,
Berikrar dan berjanji,
Mendidik dan memimpin,
Putera puteri negara kita,

Pada Seri Paduka,
Kami tumpahkan setia,
Rukun Negara kita,
Panduan hidup kami semua,

Di bidang pembangunan,
Kami tetap bersama,
Membantu membina negara yang tercinta,

Amanah yang diberi,
Kami tak persiakan,
Apa yang kami janji,
Tunai tetap kami tunaikan.

Dulu-dulu masa kecil, lagu ini pasti berkumandangan bila masuk tanggal penuh makna ini. Sahabat saya pernah sebak menyanyikan lagu ini ketika beliau bergelar guru. Katanya, sarat dengan iltizam dan izzah seorang guru mendidik anak bangsa.

Ayat Al-Quran yang saya petik di atas itu, menggambarkan betapa mustahak peranan seorang guru. Allah perintahkan Nabi Muhammad SAW bertanya kepada orang-orang yang berilmu sekiranya tidak tahu.

Maka seharusnya kita juga begitu.

Guru adalah peribadi yang sangat dihormati dan dimuliakan oleh masyarakat. Bukankah pembakar semangat perjuangan membebaskan negara dahulu digerakkan oleh para guru?

"Cikgu, budak ni kalau degil rotan je!"

Saya masih ingat lagi pesan Abah kepada pengetua dan warden semasa menyerahkan saya di bawah jagaan pihak sekolah. Di situlah bermula saya menjalani kehidupan berasrama.

Ya, saya pernah disebat di sekolah kerana ragam dan nakal sendiri. Seorang guru pernah mendenda saya duduk di longkang kerana tidak menyiap kerja rumah yang diberikan. Dalam mendidik, saya juga pernah ditampar seorang guru.

Dari Darjah 1 bergurukelaskan Cikgu Rohana sehingga Tingkatan 5 dengan Cikgu Zalila, saya bertemu dengan sekian ramai guru yang tekun dan bersabar mendidik kami menjadi manusia berguna. Itu belum kira di zaman IPT.

"Aku ni marah, marah juga. Tapi marah aku supaya engkau jadi orang!" tegas nada Cikgu Khairul Salleh mengingatkan anak-anak muridnya. Siapa tak kenal GPK HEM yang tegas dalam mendidik itu semasa di SMA Al-Attas.

Hari ini kita tekun membaca buku, sungguh itu jasa seorang guru. Hari ini kita punya kedudukan yang tinggi dalam kerjaya, sungguh itu jasa seorang guru. Hari ini kita lancar membaca Al-Quran, sungguh itu jasa seorang guru. Hari ini kita mampu berbahasa asing, sungguh itu juga jasa seorang guru. Hari ini kita berakhlak mulia dan dihormati masyarakat, sungguh itupun jasa seorang guru.

17 Mei lepas saya sempat ke sekolah lama saya, SMA Al-Attas. Melihat dan berbicara dengan guru-guru lama membuatkan saya bagai disuntik semangat baru dan segar untuk terus belajar sampai ke peringkat tertinggi.

"Tugas kita makin mencabar dan banyak. Pahang ni dah teruk dah. Tapi untuk buat semua itu, orang macam awaklah, orang muda. Kumpulkan balik kawan-kawan awak. Kita kena buat sesuatu untuk Pahang ini. Kumpul kekuatan dari sekarang." penuh semangat Cikgu Khairul Salleh mengingatkan persis seorang panglima perang. Saya mengangguk tanda faham akan maksud bicaranya itu.

Guru jasamu menggunung tinggi, melaut luas. Tak terbalas dek isi langit dan dunia. Allah Taala yang selayaknya mengganjari bakti dan jasa. Yang pastinya, setiap kebaikan, kebijaksanaan dan kedudukan ini kalian punya saham yang tak terkira banyaknya. Pahala mengalir deras bagai arus sungai yang menghilir ke lautan.

Namun jangan kita lupa bukankah Muhammad SAW adalah seorang guru. Mengajar kita Al-Quran dan sunnahnya demi kesejahteraan dan keselamatan kita di dunia dan akhirat sana? Allahumma solli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad.

Selamat Hari Guru.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "Lilin Seorang Guru, Selamat Hari Guru"

Zul Aizat said...

Salam,
Ogy hang rakam ke Cikgu Khairul bg nasihat? Salute r, lain kali rakam la smua kata2 cikgu kt Al-Attas tu..bru gempak..

-Jat Al-Attas-