Wednesday, March 28, 2012

KUIS: Perpustakaan, Mahasiswa Perlu Berdikari


Perpustakaan dan institusi pendidikan mana mungkin boleh dipisahkan. Sebut sahaja sekolah, kolej, universiti, tergambar di dalam kepala kita pastinya di sana ada sebuah perpustakaan sebagai pusat rujukan dan maklumat. Usah kata universiti, tadika pun ada perpustakaan mini mereka.

Bagai aur dengan tebing, bagai isi dengan kuku. Rasanya itulah ibarat yang sesuai.

Payah nak jumpa ada kilang mesti ada perpustakaan. Ada restoran, ada perpustakaan. Kerana apa? Restoran dan kilang bukanlah gudang dan pusat pendidikan dan ilmu.

Dulu zaman mahasiswa saya di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), perpustakaan menjadi tempat tumpuan.

Asal mula semester pertama saya di sana, saya tidak punya telefon bimbit. Jadi jika rakan-rakan ingin bertemu saya, pasti ke perpustakaan tempat dituju.

Perpustakaan KUIS tidaklah sehebat UIAM, UKM dan UM. Namun dalam banyak perkara, rujukan itu ada.

Tahun akhir saya di sana, sudah mula ada rancangan untuk membina perpustakaan yang baru dengan fasiliti dan bangunan yang khusus. Bukan lagi dengan menumpang di Blok Fakulti Teknologi dan Sains Informasi (ketika itu).

Dana yang diperlukan sebanyak RM27 juta. RM13 juta untuk bangunan dan RM14 juta untuk fasiliti termasuk bahan rujukan dan teknologi.

Bermula dengan pelan dan perancangan itu (2008) sehinggalah hari ini, perpustakaan baru masih tidak kelihatan. Pelan masih ada tapi dananya.....?

Seingat saya, pembangunan perpustakaan KUIS yang baru dimasukkan dalam skim waqaf Negeri Selangor. Ini bermakna setiap sumbangan sama ada secara individu atau korporat, mereka mendapat pengecualian cukai.

Jika begitu, apakah penghalangnya sehingga sudah menjangkau 5 tahun dana masih belum mencukupi?

Pengalaman saya sebagai bekas Ketua Jabatan Perhubungan dan Pemasaran, Aman Palestin Malaysia membuatkan sukar untuk saya menerima hakikat ini.

Kami di Aman Palestin pernah berjaya mendapat sumbangan RM10 juta dalam masa setahun. Itupun bukannya ada pengecualian cukai. Tapi perlu perbanyakkan promosi dan penerangan. Insya-Allah hasilnya memberangsangkan.

Kalau kata dana perpustakaan berjaya diperoleh RM10 juta setahun. Ini bermakna ia memerlukan 3 tahun sahaja untuk dikumpulkan. Untuk rekod, dana yang diperoleh oleh MERCY melalui individu atau korporat bagi setahun ialah kurang lebih RM50 juta (MERCY mendapat pengecualian cukai). Takkan Skim Waqaf Perpustakaan KUIS yang juga mendapat pengecualian cukai tidak boleh dapat amaun RM27 juta tersebut.

Pernah ketika seusai solat Jumaat di Bandar Baru Bangi, ada individu yang tercari-cari kalau-kalau ada booth yang mempromosikan waqaf dan seumpamanya. Dia ada lebihan duit untuk disumbangkan. Dan sememangnya dunia pun maklum sikap pemurah rakyat Malaysia.

Kalau sudah begitu bagaimana caranya untuk menyelesaikan perkara ini?

Baik, untuk merealisasikan impian ini perlulah ada kerjasama dan strategi yang mantap. Saya mengira Lembaga Waqaf Selangor tidak memberikan penumpuan yang khusus tentang perkara ini. Iyalah, mereka juga ada banyak projek waqaf selain Perpustakaan KUIS.

Justeru mahasiswalah kuncinya. Malang sangatlah kalau mahasiswa hanya tahu meminta dan menuntut sahaja tanpa datang dengan inisiatif dan kreativiti.

Untuk jadi pemimpin dan jurubicara ummah, mahasiswa memerlukan lebih dari itu.

Sudah masanya mahasiswa mengerah tenaga dan buah fikiran. Pergilah berbincang dengan pengurusan KUIS dan MAIS. Kumpulkan mahasiswa untuk turun ke masyarakat dan pihak korporat memperomosikan Skim Waqaf Perpustakaan KUIS.

Saya yakin sekiranya semua ini dapat dilakukan, bukankah kita merasa keizzahan perpustakaan itu kerana ia adalah hasil usaha kita berpenat lelah mencari dananya sendiri. Untuk apa mengharapkan orang lain sedang kitalah yang sangat memerlukannya.

Apakah kita tidak mahu menunjukkan kepada masyarakat ramai dan pemerintaha bahawa kita adalah mahasiswa yang mampu berdiri megah dan gagah atas usaha sendiri. Kita mampu berdikari.

Bangunlah dari kerusi yang empuk! Keluarlah dari dewan kuliah yang nyaman itu! Masa untuk perlihatkan apa adamu...

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

2 comments: on "KUIS: Perpustakaan, Mahasiswa Perlu Berdikari"

Saifulnizam bin Muhamad (Nie-Zarm) said...

Assalamualaikum, setakat ini, ana hanya maklum bahawa projek ini akan dimasukkan ke dalam Yayasan KUIS, ini adalah hasil perbincangan ketika ana bergelar MPM KUIS bersama Dr. Zulkifli Aini, Timbalan Rektor (Mahasiswa dan Alumni) KUIS

arrazzi alhafiz said...

Terima kasih atas makluman.

Namun ada beberapa persoalan yang timbul setelah ia tidak lagi di bawah Skim Waqaf Negeri Selangor. Antaranya:

1. Apakah Yayasan KUIS mendapat pelepasan cukai? Untuk rekod, bukan semua yayasan mendapat pelepasan cukai daripada kerajaan (ini kuasa Kerajaan Persekutuan). Berdasarkan pengalaman, yayasan di bawah sesebuah syarikat (KUIS berdaftar sebagai sebuah syarikat; Sdn Bhd) sememangnya tidak diberikan keistimewaan tersebut.

2. Memasukkan projek ini dari Skim Waqaf kpd Yayasan KUIS, berapakah jumlah dana yang sudah terkumpul di bawah agensi sebelum ini dan bilakah Yayasan KUIS akan dibentuk? Setakat ini rasanya masih belum lagi.

3. Disebabkan Yayasan KUIS belum ditubuh, nampaknya masih lama lagi nak ke boleh Perpustakaanya.

4. Apa tindakan mahasiswa terutamanya MPMKUIS sekarang? MPMKUIS perlu melihat ini sebagai satu cabaran buat mereka memperlihat profesionalisme dan mandiri.

5. Apa peranan yang dimainkan oleh pihak Alumni KUIS tentang isu ini? Alumni juga perlu progresif