Thursday, August 30, 2012

Syawal Bertamu, Ramadan Dirindu

"Semoga kita bertemu lagi, duhai Ramadan...", doa hati kecil ini.
....................

Sudah 10 hari kita berada di bulan Syawal. Maka dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada saudara-saudaraku yang dikasihi sekalian. Semoga Allah Azzawajalla memberikan rahmat dan maghfirah buat kita semua.

تقبل الله منا ومنكم و كل عام وأنتم بخير

Ramadan yang berlalu sebenarnya kita membina hujah.

Ya. Kita membina hujah untuk mematikan hujah kita sendiri. Ah...apa pulak tu?

Begini. 

Betapa di Ramadan kita mengurus masa agar seboleh-bolehnya setiap hari bersolat tarawih di masjid. Betapa di Ramadan kita menghulurkan lebihan rezeki yang ada kepada mereka yang memerlukan dengan mudah sekali. Betapa di Ramadan kita mampu mengatur waktu untuk bangun untuk bersahur sebelum Subuh. Betapa di Ramadan kita memperuntukkan masa untuk membaca dan bertadarrus Al-Quran.

Duhai diriku dan saudara-saudaraku, itulah hujah.

Hujah yang kita bina sendiri inilah yang mematahkan hujah-hujah kosong kita di luar Ramadan.

Sungguh kita tidak lokek bersedekah! Sungguh kita mampu bangun tidur sebelum Subuh! Sungguh  kita mampu membaca dan bertadarrus Al-Quran, bahkan sejuzuk sehari! Sungguh kita punya waktu untuk solat berjamaah di masjid dan surau!

Lalu mengapa kita masih kurang sedekahnya. Juga kenapa Subuh masih juga terkorban. Bahkan Al-Quran menjadi suci dalam debu. Masjid dan surau sekadar lalu tanpa punya rasa untuk bertamu.

Semoga kebaikan terus bersama

Mudah-mudahan Syawal dan 10 bulan yang mendatang kita istiqamah dengan apa yang kita usahakan di madrasah Ramadan Al-Mubarak.

Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Justeru, saya mengambil kesempatan yang baik ini untuk memohon ampun maaf zahir dan batin, dunia dan akhirat atas keterlajuran kata dan perilaku, sengaja atau tidak, terang apalagi sembunyi. Maafiku.... Ampuniku...


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Syawal Bertamu, Ramadan Dirindu"