Monday, September 3, 2012

Orkes El Suraya, Nostalgia & Syawal 1433

Syawal tahun ini bagi saya sedikit berbeza.

Ya. Ianya berbeza.

Bukan soal hidangan istimewa ketupat periuk kera yang emak sediakan setiap kali lebaran. Ini sisi yang lain.

Ketupat Periuk Kera...Juadah istimewa dari bonda tercinta di setiap Hari Raya
3 Syawal adik perempuan saya, suami dan 2 orang anaknya beserta saya menemani abah menghantar rombongan pertunangan ke Sungai Ramal Dalam, Bangi.

Tidak berhajat untuk menceritakan tentang majlis tersebut. Tapi yang lebih menarik minat saya ialah perjalanan pulang kami.

 Animasi Doraemon karya Fujiko F. Fujio

Ia bagai menaiki mesin merentas masa. Mungkin seperti mesin cahaya masa Doraemon ataupun kereta dalam filem Back To Future.

Sebuah filem fiksyen karya Stephen Spielberg

Kami bernasyid beriringan. Ada masa diselang-selikan dengan zikir munajat.

Tak ubah seperti kami adik-beradik di bangku sekolah. Memang seperti kembali ke zaman lampau.

Abah berzikir dan bernasyid, kami mengikut dan menurut.

Membonceng motorsikal yang ditunggang abah ke masa sahaja destinasi yang abah bawa demi mengalihkan perhatian kami. Alih perhatian agar tidak gundah-gulana menahan lapar dek puasa.

Begitulah abah mendidik kami berpuasa. Abah tidak punya wang yang banyak untuk dihadiahkan. Maka, keluar berjalan-jalan adalah motivasi terbaik buat kami.

"Mari-mari kita sejenak mengingat
Kasih ibu bapa yang tiada terkira
Walaupun dirinya letih serta penat
Namun di wajahnya tetap bergembira

Cubalah bayangkan kasih ibu bapa
Yang mengasuh kita petang dan pagi
Hanya dibayangkan banyaklah yang lupa

Setelah dewasa tak terkenang lagi

Wahai rang muda janganlah lupa
Taatlah kepada dua ibu bapa
 

Jangan jangan jangan andakan menjadi
Anak yang derhaka pada ibu bapa
Balasan di dunia dah banyak terjadi
Berbagai derita yang datang menimpa
 

Bila ibu bapa dah dibawa pergi
Menuju pusara meninggalkan kita
Baginya permata tak berguna lagi

Selain doa dari anak yang bertaqwa..."

Sebuah lagu nasihat oleh kumpulan Orkes El Suraya menjadi tumpuan ingatan kami. Beberapa kali kami terhenti dan mengulang dek terlupa lirik.

Mana tidaknya, jika bukan kerana malam itu, sudah kurang lebih 19 tahun saya tidak melantunkan lagu Kasih Ibu Bapa. Mungkin saya juga sudah lupa yang lagu itu pernah membasahkan bibir ini saat saya berumur 6, 7 tahun.

Ia sangat nostalgia dan meruntun jiwa. Apalagi ia sebuah lagu yang sarat dengan ingatan dan nasihat.

Namun yang lebih penting, ia adalah saat yang sangat bererti dari kami anak-beranak.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Orkes El Suraya, Nostalgia & Syawal 1433"