photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Tuesday, January 22, 2013

Baginda S.A.W Sumber Inspirasi Dunia

“Sungguh telah ada bagi kalian pada diri Rasulullah suri teladan yang baik bagi orang yang berharap kepada Allah, hari akhir dan bagi orang yang banyak mengingat Allah.” 

[Al-Ahzab: 21]

Nama insan yang terpuji

Hari ini aku melihat dunia berseri dan maju dengan Islam menjadi rujukannya.

Satu pertiga penduduk dunia hari ini selamat dari bahaya kegelapan kemusyrikan dan jahiliyyah dengan Islam adalah penyelamatnya. Berserah diri kepada Allah Azzawajalla dan meneladani Rasulullah s.a.w.

Eropah keluar dari zaman kegelapannya dengan Renaissance setelah ilmuan mereka belajar dari para ulama Islam Kerajaan Abbasiyyah dan Umayyah. Maju dan pesatnya pembangunan dan pemodenan dunia ini adalah sumbangan besar Islam.

Saat ekonomi kapitalis yang menjadi kiblat dunia runtuh, Islam memberi sinar yang gemilang dan keyakinan bahawa ad-Deen ini memberikan harapan adanya satu sistem ekonomi yang cantik dan adil serta mapan untuk kita bergantung harap. 

Dunia diajar bagaimana kita menulis perlembagaan dan menjaga serta memelihara keadilan bagi setiap warga tidak mengira apa agamanya, apa bangsanya, apa warna kulitnya, apa bahasa pertuturannya. Ya, inilah Islam mengajar dunia.

Adilnya Islam, indahnya Islam sehingga anjing dan kucing juga turut diberikan keadilan. Lihatlah bagaimana sirah menceritakan bahawa ada ahli ibadah tapi mengurung kucing tanpa memberikan makan minum, Neraka rumahnya. Lihatlah bagaimana ada ahli muzik yang mengambilkan air untuk diberi minum kepada anjing yang kehausan di padang pasir, Syurga buatnya.

Muhammad s.a.w teladan yang baik itu lengkap padanya
Tatkala perang di zaman itu, adalah pelik jika ada gerombolan tentera yang tidak menyentuh perempuan, kanak-kanak dan orang tua. Tapi Islam menambah kepelikan dengan menjamin bukan sekadar itu bahkan tumbuhan juga dipelihara. Haram ladang-ladang diusik, ditebang apalagi dibakar. Semua itu menempah dosa dan hina.

Setiap agama punya hak untuk ditegakkan. Islam melarang umatnya mencemuh sembahan-sembahan mereka sungguhpun ia sangat bertentangan dengan akidah yang Islam menganjurnya. Bahkan haram untuk merosak dan meruntuhkan rumah-rumah ibadat mereka. Lebih dari itu, Nabi s.a.w menisytihar perang ke atas pemerintah Islam yang tidak berlaku adil pada bukan Islam dan menghalang hak-hak mereka.

Alhamdulillah kita sebahagian dari Ad-Deen ini. Bersyukurlah kita segolongan dari umat ini.

Terima kasih, Ya Rasulallah s.a.w. Usaha dakwahmu yang tidak mengenal erti lelah dan putus asa sehingga aku merasai akan nikmat Iman dan Islam walaupun aku tidak bersamamu 1400 yang lalu. Andai kata, engkau menghentikan usaha dakwah ketika dilontar batu dan kayu di Taif, nescaya gelap gelita dunia ini dengan kemusyrikan, kezaliman dan keburukan.

Sesungguh engkau sumber inspirasi kebaikan kepada dunia seluruhnya. 

Duhai Nabi, Wahai Muhammad bin Abdullah s.a.w, terimalah aku jadi ummatmu. Kupohon syafaat darimu, beratkan neraca pahala timbangan mizan-Nya di Mahsyar nanti.

اللهم صلى على محمد وعلى أله محمد
 

read more...

Wednesday, January 2, 2013

Halal Haram: Bulu, Rambut Manusia dalam Produk Makanan

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada Allah kamu menyembah.”  

(Surah al Baqarah:172)

Teknologi Makanan itu bagus tapi dalam banyak hal, ia membakulsampahkan etika.

 Apakah yang anda rasa apabila anda sedang enak menikmati juadah, tiba-tiba anda terjumpa helaian rambut atau bulu pada juadah tersebut? Jijik bukan?

Kalau ditanya, pastinya kita tak tahu perkara itu berlaku. Tetapi di zaman kapitalis dan kepesatan teknologi makanan ini ia bukan mustahil. Bahkan ia memang disengajakan.

Hari ini teknologi makanan memanfaatkan bulu ayam dan itik sebagai enhancer dalam makanan

Bahkan, rambut dan bulu manusia pun digunakan. Akibat apabila kapitalis merajai ekonomi.
L-cysteine dalam bentuk serbuk. Kaya dengan protein, asid amino

Justeru, penulisan kali ini saya ingin membicarakan soal rambut atau bulu dalam makanan. Lebih tepat lagi, L-cysteine.

L-cysteine ialah sejenis asid amino yang terdapat dalam rerambut dan bebulu. Ianya digunakan secara meluas dalam industri pembuatan makanan, kosmetik dan farmaseutikal. L-cysteine mempunyai kebaikan yang boleh dimanfaatkan.

L-cysteine dimanfaatkan dalam banyak perkara. Ia adalah penting dalam detoksifikasi dan pembentukan kulit, serta pembaikan tisu rambut dan kuku. Ia digunakan dalam menghasilkan antioksidan, melindungi otak dan hati daripada kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan alkohol, dadah dan asap rokok. L-Cysteine membantu mempertahankan daripada toksin berbahaya dan melindungi badan daripada kerosakan yang disebabkan oleh radiasi.

Faedah lain termasuk mengurangkan kesan penuaan pada badan. Ia juga menggalakkan penyembuhan luka yang terbakar teruk, membakar lemak dan membantu membina otot. L-Cysteine juga menggalakkan aktiviti sel-sel darah putih. Terdapat banyak faedah lain termasuk keberkesanan dalam merawat bronkitis dan kesukaran pernafasan akut. L-cysteine membantu untuk mengekalkan kesihatan yang optimum dan meningkatkan fungsi sistem imun.

Bagi industri makanan, L-cysteine juga sangat membantu. Contohnya dalam pembuatan roti, L-cysteine digunakan untuk memendekkan tempoh adunan doh dan membuatkan ia tidak mudah melekat.

Selain itu, L-cysteine digunakan sebagai salah satu ramuan yang menghasilkan bahan perasa seperti stok ayam dan seumpamanya.

L-cysteine boleh diperoleh dari dua sumber, sama ada rambut manusia atau bulu haiwan seperti ayam dan itik.

Sepuluh tahun dahulu untuk mendapatkan L-cycteine pada skala perindustrian adalah melalui hidrolisis daripada rambut manusia yang diambil di kedai-kedai gunting di Negara China. Juga di beberapa Negara lain seperti Jepun dan Jerman.

Rambut manusia kaya dengan dua sebatian asid amino iaitu L-cysteine dan L-tyrosine. L-cysteine membentuk 14% dalam rambut manusia. Bagi menghasilkan L-cystein, keratin dari rambut manusia diekstrak dengan menggunakan asid hidroklorik dan air. Selepas beberapa proses tertentu, keratin itu tadi berubah menjadi L-cysteine.

Hari ini, kira-kira 80% L-cycteine berasal daripada bulu itik dan ayam. Walaubagaimanapun, L-cysteine dari sumber manusia masih berada di pasaran. Cuma ia tidak berleluasa seperti dahulu.

Walaupun L-cystein terdapat dalam pelbagai jenis makanan, amalan kebiasaannya ia tidak senaraikan pada label sebagai bahan ramuan. Ini kerana ia tidak dianggap sebagai aditif makanan tetapi sebagai bantuan dalam proses pembuatan dan penyediaan produk.

Islam menggariskan setiap bahagian manusia adalah haram mutlak untuk dimakan.

Sungguhpun L-cystein mempunyai manfaat dalam beberapa perkara tetapi ingatlah Allah Mana Mengetahui dan Maha Bijaksana dalam menentukan sesuatu perkara.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya". (Al-Maidah:100)

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216)

Kalaupun ianya bersumberkan haiwan dan seperti ayam dan itik, ia tetap meragukan kerana mungkin sahaja bulu tersebut diambik ketika haiwan hidup (hayah al-mustaqirrah). Itu bermakna bulu dikategorikan bangkai. Begitu juga jika sekiranya bulu diambil ketika ia haiwan berkenaan sudah mati, tidak diketahui ianya disembelih menurut syarak atau sebaliknya.

Oleh yang demikian, kita haruslah berhati-hati dalam memilih produk makanan mahupun makanan tambahan (supplement). Teliti ramuannya, perhati logonya.

Wallahua'lam.

read more...