IFTAR...Fahamilah falsafah Ramadhan |
"Setiap amalan itu menjadi kaffarah kepada seorang hamba melainkan amalan puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Aku akan mengganjarinya."
[Hadis Qudsi Riwayat Imam Ahmad]
"Berbuka semalam lauk apa? tanya seorang kawan.
"Makan kuih balak dengan cucur udang", saya menjawab ringkas.
"Aik! Kuih je? Tak makan nasi ke?", dia memulang soalan yang sarat dengan hairan.
Kita orang Melayu kalau sehari tak jumpa nasi, agaknya tidur tak lena. Cari sampai sudah. Ikut mana mesti makan nasi juga dalam sehari.
Saya dan adik-beradik diajar sedari kecil bila tiba Ramadhan hidangan nasi hanya khusus saat bersahur. Begitulah keadaanya saban tahun. Kadang-kadang sampai saya pula pelik orang lain berbuka dengan nasi sedang kami berbuka dengan kuih-muih.
Sungguhpun begitu, saya tidak pernah menganjurkan soalan kepada abah dan mak kenapa kami berbuka puasa dengan kuih, tidak seperti mereka yang lain. Tidak juga kami meminta untuk mak masakkan nasi sebagai juadah berbuka.
Semenjak saya berpuasa penuh di Darjah 1, begitulah kami sekeluarga. Paling kuatpun, sama ada laksa, mee, kuew tiaw atau bubur lambuk.
"Kenapa abah tetapkan berbuka dengan kuih? Nak nasi, tunggu sahur." soalan itu mula terdetik ketika saya meningkat dewasa.
Sesiapa yang pandai memasak dia akan tahu kos untuk menyediakan hidangan yang ingin dimasak.
Jika menyediakan sehidangan nasi pastilah adanya lauk dan sayur. Ini semua kos. Ayam, daging, ikan atau telur, ada belanja yang perlu dibuat. Begitu juga sayur. Cumanya kehidupan saya di kampung itu, hampir saja kami tidak mengeluar belanja untuk mendapatkan sayur. Keladi, pucuk paku, kangkung, ranti dan seumpamanya boleh diambil percuma sama ada di tepi sungai atau di hujung kampung.
MEWAH...RM99 boleh membeli juadah iftar 20 orang. |
Jauh dari itu, sebenarnya abah tidak mahu anak-anaknya makan sehingga terlalu kenyang. Ini nyata menyalahi konsep dan tuntutan berpuasa itu sendiri.
Lihat sahaja hari ini, sampai sesetengah masjid berlaku pembaziran dalam menyediakan juadah berbuka puasa. Bukankah duit itu adalah duit sumbangan masyarakat? Ini tidak sepatutnya berlaku.
Katakanlah belanjanya memakan RM300 sekali berbuka. Jika terlebih atau terbazir, suku sahaja daripadanya. Itu sudah menelan RM75.
RM75 itu banyak benda boleh dibeli. Kecil tapi sangat bernilai di sisi fakir miskin.
Suka saya mencadangkan agar masjid hanya menyediakan hidangan berbuka sekadar buah tamar dan sedikit kuih (2,3 potong setiap seorang) serta air. Itupun sudah memberikan tenaga cukup untuk beribadah pada malam itu.
Ingat berbuka bukan untuk menjamakkan sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam dalam satu masa. Tetapi ia adalah bagi menginsafi dan merasai sendiri akan kepayahan orang lain.
Kalau berbuka bagaikan raja. Itu bukan berbuka, itu balas dendam namanya.
0 comments: on "Iftar, Ibrah Puasa"
Post a Comment