photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Wednesday, June 18, 2008

KUIS: Tanggal 16 Ubah Lanskap Politik Kampus


Seluruh rakyat Malaysia diuar-uarkan oleh Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Umum PKR, bahawa tanggal 16 September tahun ini akan melakar satu sejarah baru dalam arena politik negara. Tidak lain tidak bukan iaitu Pakatan Rakyat akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara dari tangan Barisan Nasional.

Hari demi hari, semakin hebat rakyat memperkatakan berkenaan tarikh keramat yang dinanti-nanti ini. Namun pada penulis, para pengkagum-pengkagum Anwar Ibrahim janganlah terlalu meletakkan harapan yang tinggi. Takut-takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Tetapi tumpuan penulisan ini bukanlah untuk menyuburbiakkan isu ini. Cukuplah ramai di luar sana yang membicarakannya. Tak perlulah penyertaan yang baru.

Baik kita perlu ke satu dimensi lain yang tidak kurang menarik untuk kita kupas bersama. Penulis ingin mengajak rakan-rakan sekalian meneropong. Masih dengan isu politik. Bukan politik kepartian atau kenegaraan tetapi politik kampus.

Sirih pulang ke gagang

Tanggal 16 Jun yang lalu menjadi tarikh keramat kepada perubahan baru dalam lanskap politik kampus Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan kemasukan semula nama-nama besar dalam arena kampus sebagai mahasiswa sarjana muda.

Sebelum ini ramai penganalisis-penganalisis yang pastinya peka dan prihatin dalam soal kepemimpinan dan kepimpinan mahasiswa melahirkan kebimbangan apabila KUIS menghadapi masalah ketandusan kepimpinan yang kental dan berwibawa untuk menerajui Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (MPMKUIS).

Peribadi-peribadi yang memiliki kekuatan sebagai pemimpin besar mahasiswa tiada. Setidak-tidaknya pun hampir tiada. Satu dua kerat sahaja.

Alhamdulillah. Kini semua pihak menarik nafas lega dengan perkembangan yang berlaku. 16 Jun sememangnya akan dikenang sebagai harapan baru buat mahasiswa.

Bekas Yang di-Pertua MPPKUIS sesi 2005/2006, Sdr. Mohd Izad Abd Aziz dan Bekas Pengerusi Sekretariat Induksi dan Taaruf MPPKUIS sesi 2006/2007 kini sudah bergelar penuntut sarjana muda di KUIS. Bekas Pengerusi ALAM, Sdr Masdar R. Arifudin juga mengikut jejak langkah mereka.

Masing-masing menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Insan dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi.

Ramai yang datang menemui penulis melahirkan rasa gembira dan syukur. Tidak kurang juga SMS yang dihantar. Kesimpulannya hanya satu. Mereka menyuarakan satu harapan baru agar dengan kemasukan semula nama-nama besar ini akan memberi nafas baru dalam lanskap politik kampus hari ini.

Fahnan President in waiting?

5 bulan dahulu ketika mana Presiden Rasyidi selesai membentuk kabinetnya, penulis meramalkan Sdr. Mohd Fahnan Abdul Wahab akan menjadi Presiden MPMKUIS ke-11. Ada bekas-bekas pemimpin mahasiswa yang melihat kerusi no.1 itu bakal diduduki oleh Sdr. Nik Mohd Dhiya’ Urrahman. Namun congakan ini disangkal.

Ini berdasarkan kelebihan yang Fahnan miliki selain daripada kedudukan stategik dan keutamaan portfolio beliau di dalam hierarki kabinet Presiden Rasyidi. Secara tradisinya faktor-faktor ini sangat membantu.

Pemuda Sabah ini sememangnya punya kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Kepetahan berkata-kata, PR dan keterampilan diri beliau menjadi aset utama.

Maka ramalan ini semakin diterima dan popular di kalangan para pemerhati termasuklah Mantan Timbalan Yang di-Pertua MPPKUIS, Sdr Mohd Atiq Hashim.

Cuma yang tinggal, Fahnan perlu memperbaiki beberapan kekurangan dan kelemahan agar beliau bisa diterima oleh segenap lapisan masyarakat kampus universiti Islam ini. Nilai moderat mesti digabungjalinkan dengan bijak. Bagaimana? Itu terserah kepada yang empunya diri.

Nasrul Izad mula mengintai peluang

Nama dan kelibat Nasrul Izad Mohd Isa bukanlah asing di kalangan masyarakat kampus. Apatahlagi setahun yang lalu beliau adalah Pengarah Eksekutif Induksi dan Taaruf.
Bukan sahaja aktif dengan aktiviti-aktiviti kemahasiswaan, bahkan beliau juga banyak terlibat dengan program-program kemasyarakatan di luar kampus.

Oleh yang demikian, apabila kita berbicara soal calon kerusi Presiden MPMKUIS yang akan datang, mata dan tumpuan kita secara automatik akan tertumpu kepada Nasrul Izad. Tidak rasanya jika menyertakan pemuda kelahiran Bandar Diraja Klang ini sebagai pesaing utama.
Mengenali dengan lebih dekat dengan bekas pemimpin mahasiswa ini, akan membuatkan kita kagum dengan cara dan kepimpinan beliau.

Nasrul Izad merupakan seorang yang sangat teliti dengan setiap gerak kerja dan perlaksanaannya. Hatta dalam perkara yang kecil dan remeh-temeh juga turut menjadi perhatian beliau. Baginya, kesempurnaan dalam setiap cakupan aspek adalah keutamaan.
Sentiasa tampil dengan keyakinan diri yang tinggi membuatkan beliau sentiasa terkedepan dari rakan-rakan seperjuangannya.

Kecemerlangan menerajui Sekretariat Induksi dan Taaruf yang lalu pastinya memberikan kredit dan kedudukan yang selesa buat Nasrul Izad.

Izad Aziz mungkin cipta sejarah

Bekas penuntut Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat ini sudah setahun menimba pengalaman di alam pekerjaan sebagai Eksekutif Masjid Al-Azhar. Kini beliau telah pun membuat keputusan untuk kembali ke KUIS bagi menyambung pengajian beliau di dalam Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Izad Aziz yang dikenali oleh warga kampus kerana peranan yang dimainkan oleh beliau selaku Eksekutif Masjid Al-Azhar. Sebuah masjid yang menjadi one stop centre kepada seluruh mahasiswa KUIS. Beliau turut berperanan sebagai imam selain pada waktu-waktu tertentu menyampaikan tazkirah dan khutbah.

Ini menyebabkan beliau disegani oleh semua pihak. Sementelahan beliau adalah bekas Yang di-Pertua MPPKUIS. Tidak keterlaluan jika penulis sifatkan beliau adalah antara orang yang paling berpengaruh di mata mahasiswa.

Penulis sangat mengenali beliau dan hubungan kami sangat rapat. Tambahan penulis pernah bekerja di bawah beliau selama setahun ketika penulis menyandang jawatan Pengerusi Sekretariat Lajnah dan Persatuan MPPKUIS. Pengalaman beliau sebagai bekas Yang di-Pertua dan juga Eksekutif Masjid Al-Azhar meletakkannya jauh meninggalkan nama-nama besar yang lain.

Pada perkiraan penulis, beliau adalah antara tokoh yang paling kuat dan berpengaruh untuk menduduki kerusi no.1 badan tertinggi mahasiswa itu. Beliau punya sentuhan.

Segalanya mungkin

Penilaian kita bukanlah berdasarkan latar belakang pendidikan mereka; Ijazah atau diploma. Tetapi penilaian kita berdasarkan ketokohan dan kewibawaan mereka dalam memimpin masyarakat kampus bagi mendepani cabaran semasa.

Apa-apa pun, sebarang kebarangkalian dan kemungkinan akan berlaku. Cumanya, perkembangan yang berlaku sekarang sangat menarik penulis dan juga masyarakat kampus untuk memerhati dengan penuh minat. Laluan untuk Fahnan kerusi Presiden selepas ini tidak lagi semudah pada jangkaan awal kerana mahasiswa kini mempunyai pilihan lebih daripada satu.

Walau bagaimanapun, masih terlalu awal untuk kita membuat satu kesimpulan. Mungkin jangkaan kita meleset sama sekali. Dan mungkin juga hampir tepat. Atau pun memang seperti yang dijangka.

Yang pastinya, kabinet MPMKUIS akan datang mungkin akan melakar sejarah sebagai kabinet yang paling mantap dan progresif dengan kemasukan kembali bekas pemuka-pemuka badan tertinggi tersebut. Kelebihan dan kepakaran mereka perlu dimanipulasikan sebaik mungkin untuk memperkasa gerakan mahasiswa.

Masa itu akan tiba jua nanti. Kita tunggu dan lihat.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "KUIS: Tanggal 16 Ubah Lanskap Politik Kampus"