photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Monday, June 16, 2008

Meraba-raba Sejarah Sendiri

Sejarah adalah satu eleman yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ini adalah cerminan sesebuah peradaban. Juga memperlihatkan jati diri bangsa.

Kita lihat saja kepada tamadun-tamadun utama dunia seperti Tamadun Mesophotamia, Indus, China, Aryan, Yunani, Rom, Turkey dan sebagainya. Mengapa kita masih boleh menatap dan mengetahui kisah-kisah lampau perjalanan tamadun-tamadun ini? Jawapannya tak lain tak bukan ialah kerana mereka mempunyai sistem dokumentasi yang sangat sistematik dan terpelihara.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Usahkan nak melihat kesan tinggalan Kerajaan Kedah Tua, Pahang Tua dan Terengganu yang sudah terbentuk sebelum 1300 Masihi, bahkan untuk melihat tinggalan Kesultanan Melayu Melaka pun adalah sesuatu yang hampir tiada. Bukan hanya itu, hikayat Hang Tuah pun sejarawan negara masih tidak mampu membuktikan kesahihannya. Sedangkan ia hanya sekitar 400 tahun yang lampau.

Inilah malangnya apabila bangsa Melayu tidak mempunyai sistem dokumentasi yang sistematik dan terpelihara. Dalam masa tamadun lain punya sejarah mereka yang terperinci walaupun ianya sudah berusia melebihi 3000 tahun, kita masih lagi kabur. Teraba-raba mencari sejarah pusaka bangsa.

Penulis sedih bercampur cemburu dengan peradaban yang lain. Padahal Kerajaan Kesultanan Melayu masyhur serata alam dengan bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca dan bahasa perdagangan dunia (kira macam bahasa Inggeris sekarang).

Kini kita hanya mampu berkata-kata akan kehebatan lampau kita. Untuk membuktikannya adalah sesuatu yang sangat sukar.

Penulis ambil contoh tentang kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Umum mengetahui ianya bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika pemerintahan sultan pertamanya, Parameswara. Baginda memeluk Islam di tangan pedagang Arab Yaman yang singgah di pelabuhan Melaka yang ketika itu adalah pelabuhan paling utama dan sibuk di dunia. Periksalah di uku-buku teks sejarah yang diajarkan diperingkat rendah, menengah mahupun universiti. Inilah prototaipnya.

Benarkan begitu? Mari kita beralih kepada Batu Bersurat Terengganu. Jelas sekali terpahat di batu itu dalam tulisan Jawi bahawa Islam telah bertapak di Tanah Melayu sekitar 1300 Masihi. Ini bermakna sebelum dari itupun Islam memang sudah berakar umbi di negara ini. Bahkan sistem penulisan Jawi sebagai tulisan bangsa telahpun diguna pakai secara meluas. Kita perlu ingat, untuk menyerap tulisan Arab menjadi tulisan Melayu (Jawi) ia memerlukan satu jangka masa yang sangat lama. Sebagai mana sistem tulisan Rumi mengambil alih sistem tulisan Jawi kini.

Lain pula halnya dengan Kerajaan Pahang Tua. Artifak kapal yang moden ditemui di Sungai Pahang. Hasilnya mengejutkan kita. Para pengkaji mendapati ianya dibina sekitar 1200 Masihi. Ini bermakna kita sudah mempunyai satu peradaban yang hebat dan terbilang. Sekali lagi kita hanya mampu berkata-kata. Untuk lebih dari itu, penulis sendiri tidak tahu bilakah masanya.

Ini belum masuk lagi penemuan tapak kota purba di dasar Tasik Chini yang dijumpai oleh pengkaji UKM.

Hari ini seluruh rakyat Malaysia terkesima dan bersugul dengan terlepasnya Pulau Batu Putih kepada Singapura. Antara kesilapan besar Malaysia ialah sikap tidak acuh dengan pulau tersebut. Namun yang paling memalukan ialah Peguam Negara mengakui bahawa kita kehilangan satu surat yang sangat penting yang mampu mengubah keputusan Mahkamah Antarabangsa itu berhubung pertindihan Pulau Batu Putih. Hilang? Penulis kecewa dengan cara kerja pegawai kanan kerajaan itu dalam hal-hal yang melibatkan kedaulatan negara.

Penulis sengaja membangkitkan perkara ini kerana penulis mendapati kita memang sangat lemah dalam mendokumentasikan peristiwa dan perkara-perkara penting dalam kehidupan.

Tak perlu pergi terlalu jauh, ambil saja contoh-contoh di KUIS yang berlambak. Persatuan-persatuan hari ini hampir semuanya boleh dikatakan tidak memiliki sebarang rekod penubuhan, perjalanan persatuan, kepimpinan pertama sehingga kini, gambar-gambar aktiviti dan lain-lain lagi. Juga tak perlu kita untuk mencari sejarah 10 tahun dahulu, untuk jangka 2 tahun pun belum tentu kita boleh.

Inilah natijah yang terpaksa di telan oleh generasi hari ini dek kerana sikap tidak acuh pemimpin-pemimpin terdahulu berhubung soal dokumentasi.

Bertolak dari keseriusan masalah ini, ketika diamanahkan sebagai Yang di-Pertua MPPKUIS dahulu, penulis menggariskan ”Penghayatan Budaya Kualiti dan Kecekapan Pengorganisasian” sebagai salah satu dari lima dasar yang menjadi teras kerja MPPKUIS sepanjang sesi 2006/2007.

Usaha dipergiatkan dengan membongkar dan meneliti setiap helaian kertas yang terdapat di dalam Pejabat Pentadbiran MPPKUIS. Komputer juga diteliti dalam menjayakan usaha murni ini.

Satu persatu dijumpai untuk difailkan kembali dengan sistemik dan disimpan dengan baik. Tapi yang sedihnya, untuk mengetahui anggota-anggota Kabinet MPPKUIS lepas, rekod yang tersimpan hanya 4 zaman. Itupun hanya carta organisasi iaitu zaman YDP Mohd Izad (2005/2006), YDP Muhammad Nazaruddin (2004/2005), YDP Ramadhan Abas (2002/2003) dan YDP Mohd Fairuz (2001/2002).

Bagaimana dengan zaman-zaman sebelum itu? Sukar untuk penulis kumpulkan kembali. Penulis terfikir, bagaimana kalau generasi 30 tahun akan datang ingin menyusun sejarah MPPKUIS?

Nasib kita akan jadi persis seperti sejarah ketamadunan Melayu. Rekod bukan bermula dari awal tetapi di tengah.

Alhamdulillah, kami berjaya mendokumentsikan seluruh gerak kerja. Dari persuratannya, program-program pengisian dan pembangunan, pengorganisasian dan seumpamanya.

Dokumentasi itu kini boleh ditatap oleh semua mahasiswa sama ada di Pejabat Pentadbiran MPMKUIS, Perpustakaan, Pejabat Jabatan Pembangunan Mahasiswa dan juga Pejabat Dato’ Rektor.

Ayahanda Rektor sangat kagum dengan usaha murni MPPKUIS ini kerana ia memperlihatkan satu pandangan jauh meliputi generasi-generasi mendatang.

Justeru, sikap kita hari ini akan menentukan corak masa depan generasi kita. Maka mahu tidak mahu, kitalah yang harus melakukan perubahan. Bukan orang lain dan bukan menunggu generasi mendatang. Inilah masa terbaik kita melihat kembali apa yang kita sudah sediakan untuk faedah 20 atau 30 tahun ke hadapan.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Meraba-raba Sejarah Sendiri"