photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Thursday, June 26, 2008

Rakyat "menangguk di air keruh"?

Apabila harga bahan bakar dinaikkan, peniaga-peniaga berduyun-duyun dan berlumba-lumba menaikkan harga barang masing-masing. Tidak mustahil kedapatan sesetengah pihak yang mengambil peluang menaikkan harga barang niaga mereka.

Sejak dari itu kita dapati banyak kenyataan-kenyataan media menggesa rakyat tidak menaikkan harga barangan sesuka hati bahkan ada pemimpin-pemimpin kerajaan menyifatkan rakyat sebagai ”menanggung di air yang keruh”.

Hakikat yang harus diakui ialah, semua pihak cukup terkesan dengan kenaikan harga bahan bakar saat ini. Apatahlagi kenaikan ini adalah yang tertinggi dalam sejarah negara. Persatuan pekebun, penjaja, peniaga dan pengusaha restoran kini tidak dapat mengelak daripada kebaikan harga barangan keperluan di pasaran jika haraga bahan bakar terus melonjak. Syarikat pengangkutan awam seperti bas dan teksi juga turut dihambat persoalan yang sama. Subsidi melalui flit card seperti yang diuar-uarkan kerajaan bukan semuanya yang dapat.

Mereka mendakwa tidak mempunyai pilihan kerana terpaksa menanggung peningkatan harga bahan penyelenggaraan pertanian, pemprosesan makanan, barang dapur serta yang utamanya harga bahan api untuk pengangkutan yang telah meningkat sebanyak 60-100 peratus.

Oleh itu, dirasakan tidak wajar sama sekali jika ada pihak yang menuduh rakyat sebagai ”menangguk di air yang keruh”. Walaupun tidak boleh dinafikan ada pihak yang berbuat demikian, tetapi bilangan mereka sangat kecil.

Sebenarnya kerajaan dan syarikat swastalah yang paling banyak ”menangguk di air yang keruh”. Inilah kenyataan yang harus disedari oleh semua.

Pertama, melalui Petronas, kerajaan masih mampu untuk mempertahan subsidi harga bahan bakar untuk rakyat sebagaimana kenyataan YB Dato’ Mustapha Mohamed (Ogos 2005, ketika itu beliau adalah Menteri JPM): ”Sebenarnya sumbangan Petronas kepada hasil negara adalah mencukupi untuk membiayai sepenuhnya subsidi keluaran petroleum.” Sila rujuk Utusan Malaysia, 10 Ogos 2005.

Kedua, sumber-sumber kerajaan yang lain seperti kepelbagaian cukai sudah mencukupi untuk projek-projek pembangunan produktif rakyat.

Ketiga, bertitik tolak daripada sistem ekonomi kapitalis yang mementingkan keuntungan syarikat-syarikat berbanding rakyat dilihat sebagai faktor utama kenapa subsidi ditarik daripada kantung rakyat dan disalurkan untuk modal-modal syarikat ini membuat lebih banyak keuntungan atas nama pembangunan.

Maka berdasarkan fakta-fakta yang disertakan ini, tidak melampau jika kerajaan disifatkan sebagai ”menangguk di air yang keruh” selagi mana kerajaan tidak menjelas secara terperinci kegunaan RM17 bilion duit subsidi rakyat dan kegunaan sebenar pendapatan tetap kerajaan seperti hasil balak negara, kepelbagaian cukai yang dilihat cukup untuk memakmurkan negara.

Jika tidak, lihat sahaja apa yang berlaku dengan RM4.4 bilion yang diambil dari subsidi itu setelah kenaikan sebanyak RM0.30 pada tahun 2006. Alasannya untuk menambah baik sistem pengangkutan awam negara. Timbul kemusykilan lagi. Adakah sistem pengangkutan awai m negara pada hari telah semakin baik? Benarkan begitu? Bagaimana halnya dengan Sabah dan Sarawak yang juga terpaksa membayar membayar dengan harga yang sama?

Apa yang lebih menghairankan dalam isu ini ialah sikap double standard kerajaan antara syarikat-syarikat gergasi berbanding rakyat. Jika syarikat-syarikat gergasi menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka, tidak pula kerajaan cop mereka ”menangguk di air yang keruh”. Bahkan kerajaan pula ”yang lebih kuah dari sudu” dalam mempertahankan tindakan syarikat-syarikat gergasi ini.

Kita ambil satu contoh, kita sudah pun dengar apabila kerajaan sendiri yang mengumumkan pengstrukturan semula kadar tarif elektrik bermula Julai ini. Wah, kerajaan pula yang jadi tukang umum kepada TNB.

Jika kerajaan ”menangguk di air yang keruh” dengan mengambil kesempatan dengan kenaikan harga bahan bakar itu di pasaran dunia, maka tidak hairanlah jika terdapat juga di kalangan rakyat yang mengambil kesempatan yang sama.

Persoalannya ialah, kenapa harga elektrik boleh dinaikkan berikutan kenaikan harga bahan bakar? Adakah apabila rakyat menaikkan harga barang perniagaan atau perkhidmatan mereka dianggap sebagai ”menangguk di air yang keruh” dan syarikat swasta yang menaikkan kadar tarif elektrik tidak dianggap demikian? Kenapa syarikat lebih diutamakan daripada rakyat? Inilah kesan akibat meminggirkan ekonomi Islam lalu mengamalkan dasar ekonomi kapitalis dalam mengurustadbir negara.

Apa yang menyedikan ialah, kedapatan pemimpin-pemimpin kerajaan yang menuding jari kepada rakyat dengan menyifatkan mereka sebagai ”suka bergantung kepada subsidi”, seolah-olah subsidi adalah hak mjutlak kerajaan dan rakyat bersifat ”peminta sedekah”.

Walhal, golongan yang paling banyak bergantung kepada subsidi kerajaan bukanlah rakyat biasa. Bahkan hakikatnya, pemimpin-pemimpin kerajaanlah yang ”mentekedarah” subsidi negara pada kadar luar biasa. Contohnya, elaun-elaun dan bantuan-bantuan khas Perdana Menteri sahaja melebihi 17 jenis. Bahkan percutian sama ada di dalam atau luar negara (biasanya luar negara) bersama kaum keluarga dan sanak-saudara ditanggung beres.

Duit siapa? Hakikatnya adalah subsidi yang menggunakan wang rakyat. Sebenarnya kalau pun subsidi-subsidi tersebut ditarik balik, mereka masih mampu hidup mewah berbanding rakyat biasa.

Kemudia diikuti oleh syarikat-syarikat sebagai golongan kedua yang paling banyak bergantung kepada subsidi kerajaan dalam bentuk intensif yang diterima.

Peliknya, pemimpin-pemimpin dan syarikat-syarikat tidak dikempen dan digesa supaya tidak bergantung kepada subsidi-subsidi kerajaan, sedangkan rakyat dipaksa supaya tidak bergantung kepada subsidi yang sememangnya wang rakyat?

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Rakyat "menangguk di air keruh"?"