photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Sunday, August 31, 2008

Ahlan Ya Ramadhan

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad saw, keluarga dan sahabat baginda serta mereka yang tetap di atas jalan ini (Islam) sehingga bertemu Rabbul Jalil di Mahsyar kelak.

Insya-Allah seusai azan Maghrib beberapa jam sahaja lagi ini, maka bertamulah Ramadhan al-Mubarak. Justeru, umat Islam seluruhnya akan berpuasa pada esok hari iaitu Isnin, 1 September.

Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita diberi peluang dan ruang untuk menempuh bulan rahmat, pengampunan dan jaminan kemerdekaan daripada neraka.

Tiga tawaran dan jaminan ini bukan dibuat sebarang-sebarang. Bukan juga memandai-mandai. Ini bukan tawaran MPMKUIS dalam manifestonya. Ini pun bukan tawaran Kerajaan Negeri Selangor untuk rakyatnya. Bukan juga gula-gula dari Kerajaan Malaysia bagi meringankan penderitaan rakyat Malaysia yang terhimpit dek inflasi yang melambung tinggi.

Inilah tawaran dan jaminan mega dari Allah swt dan Rasul-Nya saw. Janji ini pasti dan pasti untuk ummah yang teristimewa ini. Maka seharusnya kita mengambil peluang keemasan ini kerana tahun hadapan belum tentu lagi kita punya kesempatan ini.

Untuk hidup di bumi ini sememangnya kita memerlukan rahmat Tuhan. Untuk selamat dari kutukan dan laknat Tuhan juga kita memerlukan pengampunan dari dosa noda yang mengotori fitrah insani. Begitu juga untuk selamat bertemu dengan Sang Pencipta Yang Maha Kuasa, kita sangat memerlukan jaminan kemerdekaan dari azab Neraka yang maha dahsyat kesudahannya.

Islam mengajar kita menjadi orang yang bijak dalam berfikir dan bertindak. Oleh itu, Islam mahu kita berfikir jauh. Bukan setakat kesenangan hidup di dunia. Jangan lupa kita ada destinasi kekal. Dunia hanya umpama R&R. Akhirat matlamat kita. Maka Allah Taala dan Rasul-Nya menawarkan 3 kunci kesejahteraan dan keselamatan. Justeru, marilah sama-sama rebut peluang ini agar kita tidak digolong di kalangan mereka yang rugi.

Ramadhan al-Mubarak juga terpahat peristiwa penurunan wahyu pertama kepada baginda Rasulullah saw ketika baginda beruzlah di Gua Hira'. Maka bermulalah petunjuk dan hidayah Allah kepada segala permasalahan ummah di dunia. Relevan Al-Quran melewati sempadan waktu, negara dan bangsa. Sememangnya sengaja Allah Taala menurunkan Al-Quran dalam bulan Ramadhan penghulu segala bulan sebagai tanda agungnya Kalamullah.

Sesungguhnya Ramadhan terlalu agung dan tinggi kedudukannya di sisi mereka yang tahu dan mahu mengimarahkannya.

Semoga Ramadhan ini membangkitkan kita dari lena yang panjang dengan kesedaran yang tinggi dalam mendakap rahmat dan redha Allah swt. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini juga menyedarkan mereka yang tertipu untuk kembali kepada Islam (bukan sekadar Islam pada nama) dan meyakini penyelamat dunia akhirat hanyalah Islam. Tiada selainnya.

Saya mengambil kesempatan yang sangat bermakna ini untuk mengucapkan "Ramadhan Karim" kepada seluruh umat Islam. Jutaan kemaafan dan keampunan saya pohon selaku insan yang kerdil lagi hina ini. "Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tidak ditimpa hujan". Terlanjur kata dan perilaku, besar atau kecil, terang atau sembunyi mohon diampuni.

"Ya Allah, Engkau perteguhkanlah iltizam dan keazaman kami untuk memelihara dan memulihara agama-Mu serta mempertahankannya sehingga hembusan nafas terakhir".



Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Ahlan Ya Ramadhan"