photo Al-Attas.jpg
 photo pesan.jpg

Friday, August 29, 2008

Kemerdekaan: Antara Dua Jalan


Maka terpekik terlolonglah media arus perdana bersungut akan kelunturan nilai patriotisme rakyat Malaysia kerana walaupun detik 31 Ogos tinggal tiga hari sahaja lagi, namun jumlah rakyat yang mengibarkan Jalur Gemilang terlalu sedikit dan sangat hambar.

Saya kata, memangpun. Bukan kita tak perasan dengan semua ini. Seumuran saya yang sudah melewati 2 dekad ini, saya kira tahun inilah yang paling hambar semarak kemerdekaan di kalangan rakyat. Nak kata tidak tahu, bohong sangatlah. Kata orang Pahang, bedaah betul. Entah mana hujung pangkalnya.

Berkebetulan pada tahun ini berlaku pertembungan antara Hari Kemerdekaan dan Ramadhan al-Mubarak (penghulu segala bulan yang di dalamnya penuh dengan TAWARAN MEGA buat yang mengimarahkannya). Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Manakala 1 Ramadhan pula jatuh pada 1 September.

Pada saya mudah. Sambutan kemerdekaan ini perlu diisi dengan perkara-perkara yang berilmu dan bermanfaat semata-mata. Tiada selainnya. Jalur Gemilang perlu dikibarkan oleh semua lapisan masyarakat. Teringat saya ada laman maya yang menyarankan agar Jalur Gemilang dikibar terbalik. Lailahaillah. Apa kejadahnya saranan ini? Kalau iya pun tidak berpuas hati pada kerajaan UMNO/BN, janganlah sampai panji negara diheret sama. Bukan sahaja biadap bahkan boleh jatuh derhaka. Jangan lupa, Malaysia dan BN dua perkara yang berbeda.

Maka seharusnya kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh takzim dan rasa bangga. Rasulullah pernah berpesan, cintakan negara adalah sebahagian daripada Iman.

Dalam pada banyak pihak bersungut dengan kesuraman sambutan Hari Kemerdekaan, adalah 1 pihak ini yang mahu membangkitkan semarak kemerdekaan dengan penganjuran konsert penyanyi seksi Kanada, Avril Lavinge di Stadium Merdeka. Orang yang dimaksudkan ialah Kerajaan Malaysia melalui Mesyuarat Kabinet Jemaah Menterinya membenarkan ia dianjurkan.

Masya-Allah. Bengap sungguh Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Sudahlah Ramadhan sudah hampir bertamu. Tak faham betul. Tapi nak kata pelik tak juga sebab puak-puak UMNO/BN memang bingai bab-bab seperti ini.

Adakah dengan rakyat terkinja-kinja menonton konsert itu nanti (sempena kemerdekaan kononnya) maka ia memecah kedinginan dan kesuraman sambutan kemerdekaan? Orang yang tak mengaji sahaja akan mengiyakannya. Mereka inilah sebenarnya yang mematikan nilai patriotisme di kalangan rakyat terutama pemuda pemudi negara. Mereka pembunuhnya.

Maka terjawablah di sini, siapa sebenarnya yang menyebabkan nilai kemerdekaan ini sangat rendah di mata rakyat.

Pepatah Arab ada berbunyi, siapa yang menanam dialah yang menuai. Selama 50 tahun benih-benih kerosakan ini disuburbiakkan oleh UMNO/BN, maka hari ini mereka tuailah hasil tanaman mereka sendiri.

Apa yang lebih malang ialah apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melakukan bantahan secara demonstrasi di hadapan Masjid Negara sebentar tadi, ia dihalang oleh pihak PDRM. Kebatilan dipertahan, kebenaran disanggah. Inilah wajah Malaysia yang ditadbir UMNO/BN.

Saya kira jika pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tuan Guru Abdul Rahman Limbong, Khadijah Sidek, Samsiah Fakeh, Dr Burhanuddin Helmy dan lain-lain lagi masih hidup, pasti mereka akan bangun menentang penjajahan bentuk baru ini. Amat malang Malaysia. Keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.

Justeru, saya mengajak sahabat-sahabat agar sambutan kemerdekaan ini diisi dengan perkara-perkara yang mendekatkan kita dengan Allah dan perjuangan Rasulullah saw. Perlu diingat Allah telah menegaskan di dalam Al-Quran bahawa sekali-kali tidak Dia menciptakan manusia ini saja-saja. Ada tujuan dan peranan yang terbeban di kedua pundak ini.

Jika tidak terus leka dan alpa, tidak mustahil kita menerima nasib yang sama seperti Palestin, Afganistan, Iraq, Kashmir dan Chechnya. Kemerdekaan ini wajib dipertahankan. Ia mesti dibangun dan diisi dengan kebenaran dan keadilan Islam kerana kita adalah khalifatullah fil ard.

Berkeroncong perut dek kelaparan
Menyantap bersama di dalam talam

Kuucapkan Salam Kemerdekaan

Moga Malaysia dinaungi Islam

Salam Kemerdekaan 1000 Harapan.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 comments: on "Kemerdekaan: Antara Dua Jalan"