Wednesday, January 14, 2009

KUIS: Itu Kena Tanya Dia

Ada beberapa individu dan perkumpulan yang tidak senang dengan tindakan saya memberikan sokongan dan harapan bagi mengemudi badan tertinggi mahasiswa kepada bekas Pengerusi Sekretariat Induksi dan Taaruf MPPKUIS, Sdr Nasrul Izad Mohd Isa yang bertanding dalam PRK kali ini.

Saya teringat apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat mengutarakan pandangan peribadi beliau agar Mohammad Sabu kembali diangkat menjadi calon PAS bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu. Alasan Tuan Guru ialah Mohammad Sabu telah terbukti berwibawa dan lantang mengangkat suara rakyat di Parlimen dan semestinyalah sudah terbukti melalui pengalamannya sebelum-sebelum ini.

Bila Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abd Hadi Awang mengumumkan YB Abdul Wahid Endut sebagai calon di KT, Tuan Guru Nik Aziz tidak keberatan menerimanya bahkan menyokong penuh. Kata Tok Guru, pendapat dia sebelum ini hanyalah pendapat peribadi berdasar beberapa asas. Apa-apapun Majlis Syura adalah pemutusnya. Yang penting ialah calon itu tidak merugikan gerakan Islam.

Bukanlah pendapat Tok Guru itu bermaksud untuk menafikan kebolehan pemimpin-pemimpin PAS Terengganu. Bukan juga untuk memperlekehkan kewibawaan anak tempatan. Pendapat Tok Guru hanyalah satu pendapat. Yang baiknya Tok Guru (sesuai dengan statusnya sebagai seorang ulama' besar) bagi hujah dan asas sebab apa dia bersuara begitu. Dia tak cakap kosong. Masalah nak terima atau tak, itu cerita kedua.

Berbalik kepada komentar saya, sebenarnya kalau diteliti baik-baik tanpa perlunya gelojoh, jelas kenyataan saya itu dibuat ketika pagi semalam. Sebab itu mukaddimah kenyataan atau artikel itu ada seruan agar warga KUIS keluar mengundi. Takkanlah sudah petang, sudah tutup fail baru saya nak seru keluar mengundi? Nak mengundi apanya lagi?

Nah, terang lagi bersuluh kenyataan saya itu dibuat sebelum keputusan PRK diumumkan oleh pihak SPR. Jadi apa silapnya? Mana salahnya? Tak timbul soal diskriminasi. Tak timbul soal memandang rendah. Tak timbul soal menafikan hak siapa-siapa. Takde langsung.

Sekarang kita maklum bahawa Akram Ikrami Taib Azzamuddin menerima undian tertinggi diikuti oleh Nasrul Izad sendiri.

Bila ini berlaku, maka sudah tidak timbul perkara yang saya nyatakan. Mahasiswa punya pilihan. Kalam saya bukan firman atau sabda. Kalam saya tetap kalam seorang insan yang hina dan dina di sisi-Nya.

Saya juga tak keberatan untuk memberikan sokongan yang padu kepada Akram Ikrami. Pemuda ini punya kelebihan yang tersendiri sehingga diangkat oleh masyarakat kampus bagi mewakili suara mereka. Tak timbul soal saya tidak menyokong dan mendokong suara majoriti. Akram Ikrami ada kredibiliti. Begitu juga Nasrul Izad. Mereka berdua punya fikrah dan tarbiyyah sahihah. Nasrul Izad adalah penerima Anugerah Kepemimpinan Siswa sempena Istiadat Konvokesyen KUIS, Akram Ikrami pula adalah penerima Anugerah Pemimpin Harapan sempena ASI 2008. Dari segi undian, Akram Ikrami adalah kelebihan. Nasrul Izad pula ada kelebihan dari segi pengalaman. Gandingan mereka pastinya gandingan yang mantap dan unggul.

Yang lebih utama dan penting ialah individu yang ingin diangkat sebagai orang no.1 MPMKUIS mestilah orang yang punya fikrah dan tarbiyyah. Itu sahaja.

Saya tak nampak apa-apa kerugian kalau Akram diangkat sebagai presiden begitu juga Nasrul Izad. Kedua-keduanya tetap menguntungkan masyarakat kampus.

Cuma saya agak terkilan tentang seperkara ini. Akram Ikrami Taib Azzamuddin sebelum ini telah dihalang dari bertanding dalam PRK kali ini oleh satu golongan yang diketuai oleh seorang bekas pemimpin mahasiswa KUIS. Mereka melahirkan kekesalan dan kekecewaan apabila Akram Ikrami menetapkan pendirian untuk terus bertanding.

Alih-alih, individu tersebut membuat satu kenyataan terbuka menyataan sokongan penuh kepada Akram Ikrami untuk diangkat sebagai Presiden MPMKUIS ke-11.

Apa maksud semua ini? Siapa individu dan golongan tersebut? Hanya Akram Ikrami orang yang tepat untuk menjawabnya.

Semua orang mampu dan boleh menyatakan sokongan dan dokongan kepada sesiapa yang dimahu. Persoalannya, adakah sokongan itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan? Atau sekadar menanam tebu ditepi bibir?

Bicara soal ini memang saya rasa sedih dan kecewa. Ya, itulah hakikatnya. Masa senang ramai kerumun. Tahniah, syabas, gembira, sokongan dan seumpamanya datang melimpah ruah. Mengapa hanya selepas menang? Kenapa tidak sama bersingsing lengan berkempen, menampal poster dengan mereka? Sama-sama berkeringat, sama-sama menahan rasa letih dan mengantuk. Ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni.

Yang ini pun kena tanya kepada Nasrul Izad dan Akram Ikrami.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

1 comments: on "KUIS: Itu Kena Tanya Dia"

Penganalisis Minda said...

kini semuanya hampir terjawab, hanya masa yang akan menyelesaikan semuanya...
cuma samada penyelesaian itu secara baik ataupun tidak...