Saturday, January 23, 2010

Gerakan Mahasiswa Kerugian di 'Lembah Harapan'


"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan yang beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran"

[Al-Asr 103: 1-3]

Setiap dari kita diajar agar memperuntukkan seluruh masa dan kehidupan dengan melakukan ubudiyyah kepada Allah Taala agar nanti tidak pula kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dicop rugi oleh Allah dan Rasul-Nya. Moga peringatan ini kekal dalam minda kita.

Kini IPT seluruh negara sedang hangat dengan pesta demokrasi, Pilihanraya Kampus (PRK). Arus perdana negara mengguna pakai sistem demokrasi bagi menentukan kepemimpinan mahasiswa. Sebilangan kecil IPT negara yang menggunakan sistem syura untuk maksud itu, antaranya KIAS di Kelantan.

Sebagai mahasiswa yang pernah menuntut di sana dan terlibat secara langsung dengan politik kampus, maka saya hanya memfokuskan penulisan ini dengan isu sekitarnya sahaja.

Sistem demokrasi mula diperkenalkan di KUIS hanya selepas 3 tahun penubuhannya. Kini usia KUIS sudah 15 tahun. Ini bermakna PRK kali ini adalah yang ke-12 diadakan.

Sedari wujudnya badan tertinggi mahasiswa sehinggalah kini, MPMKUIS tidak pernah dikuasai oleh Pro-Aspirasi. Walaupun 13 tahun KUIS di bawah kerajaan negeri yang diperintah oleh UMNO/BN, MPMKUIS terus dikuasai oleh Pro-Mahasiswa. 2 tahun di bawah kerajaan pimpinan PR, Pro-Mahasiswa tetap menguasai.

Bukan kata tiada langsung sosok peribadi yang pro-aspirasi. Tapi hanya sekerat dua. Sesi 2007/2008 dahulu ada. Begitu juga bagi sesi 2006/2007 dan beberapa tahun sebelumnya. Pro-aspirasi tiada kekuatan apalagi momentum. Mereka lumpuh.

Alhamdulillah pucuk pimpinan MPMKUIS kebanyakannya mempunyai fikrah Islam yang sahih dan jelas. Kita tetap berpegang kepada dasar kita iaitu Islam. Kita mempunyai beban prinsip kerana itu kita tidak berkomprosi dengan apa sahaja anasir-anasir keji seperti nasionalisme, sosialisme, liberalisme, pluralisme dan segala macam lagi. Cuma pendekatan bagaimana berjuang dalam gerakan mahasiswa itu sahaja yang berubah-ubah mengikut keperluan. Paksinya masih Islam. Ilmu dan kebenaran.

Mutakhir ini politik kampus di 'Lembah Harapan' itu menjadi kacau bilau. Mahasiswa menjadi lelah dan bosan dengan permainan politik. Pertimbangan politik mengatasi kepentingan mahasiswa itu bukanlah satu perkembangan yang baik.

Isunya bukan Pro-Aspirasi. Golongan bingai itu mati di KUIS. Tapi isunya ialah perbezaan pendekatan dalam mencapai matlamat yang disasarkan.

Yang di sini berhempas pulas bersilat di di dalam gelanggang memperjuangkan hak dan kepentingan mahasiswa tanpa meminggirkan adab berilmu dan pemikiran yang cerah. Pepatah pujangga berbunyi, bagai menarik rambut dalam tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berserakan.

Yang di sana laungkan kebangkitan, ultra-mahasiswa. Mereka mahu memobilisasi mahasiswa dengan apa cara sekalipun asal matlamat itu bisa dicapai. Arusnya, arus revolusi. Berpatah arang, berkerat rotan.

Yang samanya ialah mereka ini menjunjung Islam sebagai dasar, punya fikrah, lahir dari tanzim haraki, pro-mahasiswa, menjual hak mahasiswa itu tiada dalam kamus perjuangan mereka. Cuma di sana adalah satu garis yang tidak bertemu. Pendekatan.

Beginilah. Sesungguhnya apa sahaja yang kita lakukan atas muka bumi ini adalah ibadah. Lambang ubudiyyah yang jelas kepada Sang Pencipta. Maka sebagai ibadah pastinya kita tidak mahu rosakkan ia dengan sifat-sifat mazmumah yang memakan mahmudah bagai api dalam sekam. Pastinya kita mahu persembahkan sesuatu yang tidak punya cacat leka kehadapan Allah swt.

Kata Prof Dr. Yusuf Al-Qaradhawi, di saat kuffar bersatu memerangi Islam, kita mencincang-lumat sesama kita.

Jujurnya kita berdepan dengan pertembungan yang merugikan bukan sahaja gerakan mahasiswa bahkan kepada gerakan Islam di kampus. Penggerak Jemaah kampus yang berbilang seperti PAS, ABIM, JIM, HALUAN, dan ISMA seharusnya meneliti realiti yang sedang kita hadapi di 'Lembah Harapan'. Bimbingan para murabbi sangat diperlukan.

Mahasiswa haraki seharusnya menghadamkan Fiqh Aulawiyyat dan Fiqh Ikhtilaf dengan sebaik-baiknya.

2010 bagi saya adalah tahun untuk kita memuhasabah kembali sejauh ini gerak usaha kita di kampus. Jangan ulang babak-babak peperangan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah kerana itu rencana musuh yang sedikitpun tidak menguntungkan kita.

Jangan cuba-cuba ingin menggantikan Biah Solehah kepada Biah Fitnah. Jangan kerana fikrah, hilang ukhuwah.


Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

2 comments: on "Gerakan Mahasiswa Kerugian di 'Lembah Harapan'"

Mahasiswa Menggugat !!! said...

betul ke selama nie pro-mahasiswa yang menguasai KUIS?
ingat,pro-mahasiswa tidak sesekali berkompromi dengan kolonial pentadbiran yang membunuh kebebasan mahasiswa,tapi mpm KUIS sebelum nie (terutama mpm 08/09) terus dan terus menerus berkompromi dan membiarkan diri dihinjak-hinjak oleh pihak pentadbiran yang bobrok !
buktinya,lihat sahaja HIMSIS,sanggup menjual maruah mahasiswa dengan menjadi juru cakap pentadbiran!
memang berfikrah islam yang sama tapi prinsip yang menentukan segalanya !

arrazzi alhafiz said...

Cadangan saya, belajarlah sejarah dan perjuangan mahasiswa di bumi KUIS. Bertemulah dengan bekas-bekas pimpinan mahasiswa dari zaman awal hinggalah sekarang.

Prinsipnya mudah. Kita junjung kebenaran dan kebaikan dari sesiapa pun. Kita menolak kebatilan dan kejelekkan dari siapa pun dia. Fiqh keanjalan ini diajar dan tunjukkan oleh Nabi saw dan khulafa' arrasyidin.

Soal dakwaan isu HIMSIS, perkara itu sudah dijelaskan semasa pertemuan sulit dengan penggerak GMS tempoh hari. Sebab itu saya tidak mengulas dalam penulisan saya selama ini kerana menghormati permintaan dari pihak GMS sendiri. Saya masih pegang pada janji yang saya setujui itu. Itulah adab dan akhlak kita.

Sungguh gerakan mahasiswa telah, sedang dan terus berpencak silat dengan mereka. Bacalah dengan baik waqi' dan uruf 'Lembah Harapan' itu.

Tahun 2010 marilah kita memuhasabah kembali diri kita tidak kiralah dari aliran mana sekalipun. Jangan sampai kepentingan puak melebihi kepentingan mahasiswa seluruhnya.