Sunday, July 18, 2010

Nak Jimat Apalagi?


“Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”.

[Al-Isra' : 26-27]

Satu Malaysia tersentak apabila Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan kenaikan 5+1 (harga bahan bakar dan gula) berkuat kuasa 15 Julai yang lalu. Yang paling terkesan pastinya golongan berpendapatan rendah apalagi yang tinggal di kota dan pinggirnya.

Saya faham benar dengan defisit kewangan negara. Itu kita maklum. Kegawatan ekonomi yang menghantui seluruh dunia hari ini lebih parah berbanding krisis ekonomi 1997 dahulu. Pakar ekonomi menjangkakan akan berlaku gelombang kedua. Itu lebih parah lagi.

"Negara kita, tanggungjawab kita". Ini tema Hari Kemerdekaan pada 1998. Ketika itu saya masih di bangku sekolah rendah. Kita difahamkan tentang tanggungjawab kita terhadap negara ini. Dari pucuk pimpinan negara sampailah kepada rakyat bawahan. Semua punya amanah dan tanggungjawab.

Apabila naik sahaja harga barangan asas, para pemimpin menasihatkan rakyat.

"Ubah gaya hidup!"
"Rakyat mesti belajar berjimat"
"Jangan membazir..." Bla, bla, bla...

Maka media arus perdana pun dengan bersungguh mencari fakta dan noktah-noktah bagi mengiyakan apa yang keluar dari mulut pemimpin negara.

Sepatutnya kedengaran seperti ini,

"Wahai para pemimpin negara, ubahlah gaya hidupmu yang penuh mewah itu"
"Pemimpinlah yang mesti berkorban terlebih dahulu sebelum rakyatnya.."
"Pihak istana mesti contohi Khulafa' Ar-Rasyidin!"

Tidakkah para pemimpin negara membaca dan mengambil ibrah dari kisah Imam Nawawi dan Al-Malik Al-Zahir di zamannya? Kemana perginya Penasihat Agama Perdana Menteri? Dimana suara mufti dan penasihat Raja-raja? Apakah ulama sudah bisa, pekak dan buta?

Imam Nawawi memperlihatkan ketegasan dengan menolak untuk memberikan fatwa mengharuskan kerajaan mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi tentera Tatar yang mengancam negara pada ketika itu. Kerajaan mahu gunakan untuk jihad pertahan negara dan tanah air umat Islam.

Ya. Harta itu semata-mata untuk jihad.

Ulama-ulama ramai dibunuh kerana menentang hasrat kerajaan. Imam Nawawi tetap dengan pendiriannya enggan menyokong sekalipun beliau tahu semua itu untuk kepentingan negara.

Tegas Imam Nawawi kepada Al-Malik Al-Zahir:

"Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki talipinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga Baitul Mal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya s.a.w."

Nah, itulah jawapan seorang ulama besar dalam mengatakan sikapnya terhadap hasrat kerajaan. Imam Nawawi bukan tidak sedar negara diancam tentera kuffar. Imam Nawawi bukan tidak tahu itu semua adalah untuk jihad di jalana Allah. Bahkan beliau mengerti. Namun ilmu dan kebenaran menjadi prinsip yang sangat mahal dalam kamus hidupnya.

Hasrat itu hanya boleh dilakukan apabila kemewahan para pemimpin negara dikorbankan, pembaziran perbendaharaan negara dielakkan.

Dalam pada Kerajaan Malaysia minta rakyat berjimat cermat, cuba kita lihat di sekeliling kita.

Pembinaan Istana Negara, komisyen kapal selam Scorpene kepada Perimekar, bayaran perkhidmatan APCO sebagai penasihat kerajaan dan banyak lagi. Itu belum lagi skandal-skandal yang menimbun. FELDA, Tabung Haji, Bank Islam, PPRT, Sime Darby.

Semua ini telah menelan perbendaharaan negara atau dalam kata lain wang rakyat sebanyak lebih dari RM20 bilion.

Dahulu semasa kenaikan 30 sen dan 78 sen harga bahan bakar. Kerajaan kata penjimatan RM4.4 bilion dan RM15 bilion itu nak guna untuk naik taraf, tambahbaik perkhidmatan awam. Apa kesudahannya?

Pengangkutan awam semakin baik? Komuter, Monorel, LRT makin efisyen?

Sudah-sudahlah memberi alasan yang kelakar. Rakyat bukan bodoh. Rakyat memerhati dan mengikuti setiap tindakan kerajaan dengan penuh minat. Ini bukan zaman 50an, 60an.

Mesej buat kerajaan, rakyat bukan tidak tahu keadaan ekonomi negara bahkan rakyatlah orang pertama yang menanggungnya.

Rakyat sudah lama berjimat cermat demi meneruskan kehidupan di tanah air tercinta ini. Apalagi yang nak dijimatkan?

Kami tak punya banglo mewah seperti menteri-menteri dan exco. Kami tak punya elaun-elaun khas macam menteri dapat. Tol kami bayar bukan percuma macam menteri-menteri. Minyak untuk kenderaan, kami beli dengan duit sendiri bukan bayar dengan wang rakyat seperti menteri-menteri dapat. Bil air, elektrik dan telefon itu kami bayar bukan percuma macam kamu menteri-menteri.

Saya tak rasa menteri-menteri yang rajin menasihat rakyat itu tidak faham keadaan ini.

Sekali lagi ditegaskan. Rakyat sangat faham dengan situasi negara. Marah rakyat bukan kerana tidak menerima realiti tetapi marah kerana pemimpin tidak pernah ubah gaya hidup apalagi raja-raja.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

3 comments: on "Nak Jimat Apalagi?"

sharemotivasi said...

setuju. entah mana slogan "rakyat didahulukan" dibuang secara tetiba